AIR MATA TAUBAT NASUHA
MAKSUD TAUBAT
Dari sudut bahasa, taubat daripada perkataan التَّوبَةُ bermaksud pulang dan kembali.[1] Taubah juga adalah pengakuan, penyesalan dan menjauhi, serta berazam untuk tidak kembali melakukan dosa.[2] Manakala dari sudut istilah, taubah ialah penyesalan dan menjauhkan diri daripada dosa kerana ianya adalah dosa (dan bukannya meninggalkan dosa disebabkan kemudaratan yang berlaku terhadap badan dan harta), serta berazam untuk tidak kembali melakukan dosa itu sekadar yang mampu.[3] Selain itu, menurut kitab al-Kifayah, taubat bererti kembali kepada Allah.[4]
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, taubat bermaksud sesal akan dosa (perbuatan jahat dan lain-lain) dan berazam tidak akan berbuat dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah melakukan kesalahan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Taubat juga bermaksud kembali kepada Tuhan (dengan meninggalkan perbuatan dan lain-lain yang dilarang dan membuat apa-apa yg disuruh).[5]
HUKUM BERTAUBAT
Berkata para ulama, taubat itu adalah wajib hukumnya bagi setiap dosa yang dilakukan.[6]
Firman Allah swt :
﴿… وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ٣١﴾ [النور: 31]
Maksudnya : «… dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya(31)»
RUKUN-RUKUN TAUBAT[7]
Rukun dan syarat taubat ada 3, iaitu :
1.Meninggalkan dosa dan maksiat. Ianya adalah merupakan bukti keseriusan taubat seseorang.
2.Mengakui kesalahan dan menyesali perbuatannya. Hal ini bererti seseorang yang bertaubat haruslah ada rasa didalam dirinya penyesalan di atas maksiat yang dilakukan.
3.Bertekad untuk tidak mengulangi dosa, iaitu mestilah berazam untuk meninggalkan segala perbuatan maksiat yang sentiasa dilakukan itu.
Sekiranya seseorang yang ingin bertaubat meninggalkan salah satu daripada syarat atau rukun-rukun diatas, maka taubatnya adalah tidak sah.[8]
Rukun dan syarat taubat diatas adalah dosa yang dilakukan oleh seseorang hamba terhadap Penciptanya. Sekiranya dosa yang dilakukan oleh seseorang itu adalah dosa terhadap manusia, maka syarat yang keempat perlu ditambah, iaitu :
- Hendaklah mengembalikan akan hak orang yang dizaliminya itu atau meminta dihalalkan.[9]
PERIHAL TAUBAT
Taubat adalah merupakan permulaan jalan bagi para salikin, iaitu permulaan bagi orang yang hendak berjalan menuju kepada Allah.
Firman Allah swt :
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا …﴾ [التحريم: 8]
Maksudnya : «Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, …»
Maksud nasuha ialah tulus ikhlas kerana Allah Ta’ala dan tidak terdapat kecacatan padanya.[10]
KELEBIHAN TAUBAT
Allah menyukai orang-orang yang bertaubat.
Firman Allah swt :
﴿… إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ٢٢٢﴾ [البقرة: 222]
Maksudnya : «… SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri(222)»
Diampunkan dosa-dosa.
Firman Allah swt :
﴿وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ١٣٥ أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ١٣٦﴾ [آل عمران: 135-136]
Maksudnya : «Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)(135) Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal(136)»
Firman Allah swt :
﴿إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا٣١﴾ [النساء: 31]
«Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)(31)»
Dalam ayat di atas menerangkan kepada kita bahwa syarat dihapuskan dosa-dosa adalah dengan bertaubat.[11] Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bertaubat dan agar kita dapat kembali pulang kepada Allah swt dalam keadaan Allah redha kepada kita dan dalam keadaan suci bersih daripada maksiat.
[1] Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiyyah. 2006. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Kuwait : Tob’u al-Wizarah. 14/119.
[2] Mu’jam Ma’ani – likulli rasm makna. https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/%D8%AA%D9%88%D8%A8%D8%A9/ . diakses pada 7 Oktober 2022.
[3] Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiyyah. 2006. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Kuwait : Tob’u al-Wizarah. 14/119
[4] Ahmad Fariz Mohd Zaini al-Mawi. 2017/2018. Al-Kifayah (Pada Menjelaskan Matan al-Kharidah al-Bahiyyah Bagi Imam Ahmad ad-Dardir Rahimahullah). Kaherah : Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir. 173.
[5] Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=taubat&d=175768&#LIHATSINI . diakses pada 7 Oktober 2022.
[6] Mustofa Sa’id al-Khin, Mustofa al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syarbaji, Muhammad Amin Lutfi. 1987. Nuzhatul Muttaqin syarh Riyadussolihin Min Kalam Sayyidil Mursalin. Beirut : Muassasah al-Risalah. 32.
[7] Ahmad Fariz Mohd Zaini al-Mawi. 2017/2018. Al-Kifayah (Pada Menjelaskan Matan al-Kharidah al-Bahiyyah Bagi Imam Ahmad ad-Dardir Rahimahullah). Kaherah : Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir. 173. Syeikh Abdu al-Shamad al-Falimbani. 2011. Hidayah al-Salikin Fi Suluki Maslaki al-Muttaqin. Selangor : Al-Hidayah House Of Publishers Sdn Bhd. 198-200.
[8] Mustofa Sa’id al-Khin, Mustofa al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syarbaji, Muhammad Amin Lutfi. 1987. Nuzhatul Muttaqin syarh Riyadussolihin Min Kalam Sayyidil Mursalin. Beirut : Muassasah al-Risalah. 32.
[9] Syeikh Abdu al-Shamad al-Falimbani. 2011. Hidayah al-Salikin Fi Suluki Maslaki al-Muttaqin. Selangor : Al-Hidayah House Of Publishers Sdn Bhd. 198-200.
[10] Abu Hamid al-Ghazali. 2005. Mukasyafah al-Qulub al-Muqarrib ila ‘Allam al-Ghuyub. Tahqiq : Ahmad Hijazi al-Saqa. Beirut : Dar al-Jil. 93.
[11] Ahmad Fariz Mohd Zaini al-Mawi. 2017/2018. Al-Kifayah (Pada Menjelaskan Matan al-Kharidah al-Bahiyyah Bagi Imam Ahmad ad-Dardir Rahimahullah). Kaherah : Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir. 174.