BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 23-24 yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
Mentaati dan berbakti serta berlaku baik terhadap ibu bapa menjadi kewajiban bagi mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Hal ini kerana, selepas kecintaan kepada Allah dan Rasul, ibu bapa lah yang wajib kita kasihi dan taati. Jika tidak kerana pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa kita masa lalu sudah pasti kita tidak akan menjadi manusia yang berguna seperti sekarang.
Hayatilah nasihat Lukman Al-Hakim kepada anaknya dimana antara nasihatnya ialah taat dan berbuat baik kepada Ibu bapa. Taat akan segala perintahnya selagi mana tidak melanggar syariat Allah. Sentiasalah menjaga hati dan perasaan orang tua kita terutama bilamana mereka telah dimamah usia kerana redha Allah terletak kepada redha kedua Ibu bapa. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“ Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan orang tua dan kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan orang tua” (hadis Riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)
Antara perkara yang boleh kita lakukan kepada ibu bapa kita ialah sentiasa mengembirakan hati mereka dengan memberikan kasih sayang dan perhatian yang cukup kepada mereka. Dikala usia mereka yang semakin uzur, tiada apa yang mereka mahukan didunia ini melainkan sentiasa ingin bersama anak-anak dan ahli keluarga yang terdekat. Perkara ini sudah cukup untuk mengembirakan hati mereka. Dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“Seorang lelaki datang meminta izin kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam untuk berjihad bersama baginda, maka baginda bertanya, Adakah orang tuamu masih hidup? Lelaki itu menjawab “Ya”. Baginda bersabda, “Maka kepada mereka berdualah hendaknya engkau berjihad” (Hadis Riwayat Bukhari)
Selain itu, apabila berbicara dengan mereka, bertuturlah dengan kata-kata yang lemah lembut kerana itulah bagaimana cara kita menghormati dan menjaga hati mereka. Sentiasalah mengingati segala jasa dan pengorbanan mereka kerana itu juga salah satu cara kita bersyukur kepada Allah SWT. Semoga kita semua tergolong dalam golongan mereka yang mendapat redha Allah SWT.