PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN
AL-QURAN menurut kamus al Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧) فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.
(Surah al-Qiyamah: 17-18)
Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.
Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa ialah Al-Quran itu Kalam mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mashaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah.
Pengertian Nuzul al-Quran
Nuzul al-Quran bermaksud penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Antara dalil yang menyatakan tentang penurunan al-Quran adalah, firman Allah SWT:
وَبِالْحَقِّ أَنزَلْنَاهُ وَبِالْحَقِّ نَزَلَ ۗ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا
Maksudnya: “Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmah Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar)
Peringkat Penurunan al-Quran
Menurut Syeikh ‘Abd al-‘Azim al-Zurqani dalam kitabnya Manahil al-‘Irfan fi ‘Ulum al-Quran, penurunan al-Quran itu terbahagi kepada tiga peringkat. Ia boleh dijelaskan seperti berikut:
Peringkat Pertama: Al-Quran diturunkan secara sekaligus pada waktu yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَّجِيدٌ ﴿٢١﴾ فِي لَوْحٍ مَّحْفُوظٍ
Maksudnya: “(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.”
Dalam mentafsirkan ayat di atas, al-Tabari dan al-Qurtubi menyatakan bahawa Luh Mahfuz di sisi Allah dan dipelihara daripada syaitan untuk sampai kepadanya.
Peringkat Kedua: Al-Quran diturunkan daripada Luh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah atau langit dunia. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
Maksudnya: “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran.”
Menurut al-Qurtubi, ayat ini telah disepakati oleh para ulama’ dan tiada khilaf bahawa penurunan yang dimaksudkan adalah daripada Luh Mahfuz ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar secara sekaligus.
Peringkat Ketiga: Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat daripada langit dunia kepada Nabi SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:
نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ ﴿١٩٣﴾ عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنذِرِينَ ﴿١٩٤﴾بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ
Maksudnya: “Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.”
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Al-Quran telah diturunkan secara sekaligus pada dua peringkat, iaitu ketika penurunannya ke Luh Mahfuz dan ketika penurunannya ke Bait al-‘Izzah atau langit dunia.
Inilah yang dimaknakan oleh firman-firman Allah SWT yang menyebut bahawa al-Quran diturunkan secara sekaligus.
Maksud al-Quran diturunkan secara berperingkat pula adalah ketika penurunannya daripada langit dunia kepada Rasulullah SAW bermula detik awal Nabi menerima wahyu, sehinggalah yang terakhir.
Tag:alquran, ustazustazahcom