BERGANDING BAHU, BERSATU, DEMI PEMBANGUNAN UMMAH
Jun 2021 ialah permulaan bagi Ustazustazah.com (UUC) dalam memulakan perjalanan dalam kempen Jejak Prihatin bagi membantu mereka yang memerlukan. Terdiri daripada golongan asnaf dan mereka yang putus punca pendapatan akibat terjejas dengan penularan Covid-19. Bantuan diberikan dalam bentuk kotak makanan yang merangkumi barang-barang asas dapur seperti beras 10kg, gula, tepung, garam, kordial, bawang, mee segera, bihun, susu sejat, biskut dan sebagainya. Bantuan khusus juga diberikan kepada mereka yang memerlukan seperti lampin pakai buang dewasa atau kanak-kanak, susu khusus untuk pesakit, kerusi roda, tongkat dan banyak lagi. Kempen ini telah menjelajah ke 8 buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Penang dan Sabah.
Perjalanan UUC diteruskan bersama dalam Kempen Rindu Masjid yang memfokuskan memperbaiki, pengubahsuaian binaan, elektrikal, dekorasi dan keperluan masjid untuk keselesaan jemaah yang hadir. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan pergerakan setiap orang terhad termasuk tidak dibenarkan ke masjid atau surau. Bersesuaian dengan kempen ini, pengubahsuaian ini juga untuk menarik semula kerinduan jemaah untuk ke masjid. Sebanyak 31 buah masjid/surau yang telah diperbaiki di serata Negeri Sembilan. Alhamdulillah.
- Lebih daripada 8000 orang yang telah dibantu
- 31 buah masjid/surau telah dibaiki
- 9 buah negeri telah dijelajahi
- 2.31 juta dana yang telah diguna dan disumbangkan
UUC meneruskan misinya dengan Kempen Bencana. Menyasarkan lokasi-lokasi yang dilanda bencana seperti banjir, terbakar dan sebagainya. Memberi bantuan kepada mereka mengikut keperluan semasa mereka dan kerahan tenaga untuk meringankan beban mereka. Alhamdulillah, sehingga Oktober 2022, UUC telah membantu 8 buah lokasi yang terkesan dan dilanda banjir. Antaranya ialah Kg Sekayu, Kuala Berang, Terengganu dan Kg Telekung, Chennah, Jelebu.
Ramadan 1443H menjadikan Kempen Infak Iftar sangat istimewa bagi mereka yang diziarahi dan dibantu keluarganya untuk membeli baju baru, sesi berbuka dan pemberian keperluan lain yang diperlukan. Kempen ini menyasarkan golongan asnaf dan anak yatim. Membelikan baju baru buat anak-anak ini menjadi satu saat yang sangat bermakna buat semua pasukan UUC yang terlibat. Ucapan terima kasih dari anak-anak ini sangat ikhlas kedengarannya.
Langkah UUC tidak akan terhenti. Perjalanannya masih panjang. Sebuah lagi kempen diadakan iaitu Nadi Al-Quran. Berbeza dengan kempen sebelum ini. Nadi Al-Quran lebih fokus kepada pembukaan atau penubuhan pusat pengajian Al-Quran percuma buat anak-anak asnaf, buat anak-anak yang jauh dari pembelajaran Al-Quran dan buat mereka yang kurang celik akan ilmu Al-Quran. Lokasi pertama Nadi Al-Quran di Kg Bahagia, Sandakan Sabah. Lokasi perkampungan pertama yang UUC jejaki. Alhamdulillah, bulan Oktober 2022 jumlah anak-anak yang belajar Al-Quran disini ialah 50 orang sedangkan permulaannya pada April 2022 ialah 20 orang sahaja atas faktor kapasiti. Nadi Al-Quran terus melebarkan sayap ke Negeri Sembilan dan Perak. Mewujudkan sebuah pusat pengajian Al-Quran percuma yang bukan sekadar mengaji. Melahirkan generasi celik Al-Quran yang berkualiti kerana mereka belia negara dan masa depan agama.
Ustazustazah.com akan terus terbang untuk menggapai matlamat meski ianya berada di langit ketujuh.
Insya Allah.