APA YANG KITA FIKIR, RASA DAN UNGKAPKAN ADALAH DOA
Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa saya diberikan peluang untuk bersama dengan UstazUstazah dot com (UUC). Masih segar di ingatan ketika saya baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ditanya oleh arwah ayah apa yang saya mahu lakukan sementara menunggu keputusan SPM. “Saya mahu menjadi ahli sukarelawan banjir”. Itulah yang saya katakan kepadanya. Ketika itu Malaysia sedang mengalami musim banjir yang teruk terutamanya di kawasan Pantai Timur dan saya berasa kasihan kepada mangsa banjir di samping mahu merasai pengalaman baru. Namun, saya tidak berpeluang menjadi ahli sukarelawan kerana saya tidak tahu bagaimana mahu mendaftar menjadi ahli sukarelawan dan saya pula kurang arif tentang internet seperti email,whatapp dan lain-lain kerana hanya menggunakan telefon biasa bukannya telefon pintar. Apabila saya menyertai UUC barulah saya dapat merasai sendiri pengalaman bagaimana membersihkan rumah mangsa banjir dan menyantuni mangsa tersebut. Sesungguhnya, mangsa banjir tidak mampu menyembunyikan kesedihan di hadapan saya dan mereka meluahkan segalanya kepada saya. Tiba-tiba saya teringat kembali saya pernah mengatakan saya mahu menjadi ahli sukarelawan 6 tahun yang lalu. Sungguh saya tak sangka Allah mengabulkan permintaan saya walaupun saya hanya bercakap kosong ketika itu. “Aku adalah sepertimana sangkaan hambaku, dan Aku bersama dengannya ketika ia mengingati Aku. Jika ia ingat akan aku di dalam hatinya, aku ingat kepadanya di dalam hatiku. Dan jika ia ingat kepadaku di khalayak ramai, nescaya aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai yang lebih baik. Dan jika ia mendekatiku sejengkal, Aku pun mendekatinya sehasta. Dan jika ia mendekatiku sehasta, nescaya aku mendekatinya sedepa. Dan jika ia mendekatiku sehasta, nescaya aku mendekatinya sedepa. Dan jika ia datang kepadaKu berjalan, maka Aku akan datang kepadanya sambil berlari Hadith Qudsi riwayat Syaikhan, Tirmidzi dan Abu Hurairah ra. Maka, bermula saat ini hendaklah kita menjaga apa yang fikir,rasa dan cakap kerana risau akan memakan diri sendiri. Janganlah kita berkeluh kesah dan berfikiran negatif kerana Allah sentiasa tahu apa yang terbaik untuk hambaNya