KESAN MAKAN YANG HARAM
Islam adalah agama yang mementingkan kesucian, sama ada zahir mahupun yang batin. Umat Islam diperintahkan agar memakan makanan yang baik-baik. Firman Allah ta’ala :
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ …﴾ [البقرة: 172]
Maksudnya : «Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…»
Setiap harta mahupun makanan yang masuk ke tubuh seseorang hendaklah dipastikan kesuciannya terlebih dahulu agar ianya tidak mendatangkan mudarat kepada kehidupan manusia.
Dunia hari ini memperlihatkan manusia mendapatkan harta dengan pelbagai cara. Ada yang mendapatkan harta dengan cara yang patuh syariah, dan terdapat juga cara perolehan harta yang tidak patuh syariah. Harta yang haram sebenarnya memberi kesan buruk walaupun ianya tidak disebari oleh kebanyakan manusia.
Antara kesan mengambil yang haram dapat diketahui sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah bin Saad al-Falih dalam kitabnya “Fannaru Aula Bihi – Atsar Aklu al-Haram”. Antara yang dinyatakan beliau dalam kitabnya ialah, dengan mengambil yang haram akan :
1.MENGHILANGKAN BARAKAH.
Menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka, barakah bermaksud mendapat reda daripada Allah, manakala menurut Kitab Mufradat fi Gharib al-Quran, barakah bermaksud ditetapkan kebaikan oleh Allah dalam sesuatu. Kamus al-Muhit pula menyatakan maksud barakah ialah berkembang dan bertambah. Firman Allah Ta’ala :
﴿يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ٢٧٦﴾ [البقرة: 276]
Maksudnya : «Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa»
Syeikh Mustafa al-Maraghi menerangkan berkenaan ayat يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ bermaksud Allah Ta’ala menghilangkan keberkatan riba dan membinasakan harta yang masuk kepadanya dan harta tersebut tidak dapat dimanfaatkan oleh sesiapapun selepasnya. Kemudian Allah Ta’ala melipat gandakan pahala sedekah, dan menambahkan harta yang keluar daripadanya.[1] Ayat ini juga memberitakan bahawa Allah swt menghapuskan riba, baik menghilangkannya secara keseluruhan, dari tangan pelakunya mahupun mengharamkan keberkahan hartanya, sehingga ia tidak dapat mengambil manfaat daripadanya bahkan Dia melenyapkan hasil riba itu di dunia dan memberikan hukuman kelak pada hari kiamat.[2]
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam r.a, ada dinyatakan bahawa akan dihapuskan keberkatan dalam urusan muamalah sekiranya terdapat unsur-unsur yang menyalahi syariat. Rasulullah SAW telah bersabda:
البَيِّعانِ بالخِيارِ ما لَمْ يَتَفَرَّقا -أوْ قالَ: حتَّى يَتَفَرَّقا- فإنْ صَدَقا وبَيَّنا بُورِكَ لهما في بَيْعِهِما، وإنْ كَتَما وكَذَبا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِما.
Maksudnya: “Pembeli dan penjual mempunyai hak khiyar (pilihan untuk meneruskan akad atau pun tidak) selagi mana mereka belum berpisah -atau Beliau berkata : sehingga berpisah-. Sekiranya mereka berkata jujur dan menjelaskan (kondisi barang dan harganya) dalam jual beli, kedua-duanya akan diberkati. Namun sekiranya mereka berdusta dan menyembunyikan (perkara yang sebenar), maka dihapuskan keberkatan jual beli mereka.” (HR al-Bukhari : 2079)
2.DOA TIDAK MUSTAJAB.
Antara kesan lain makan yang haram adalah ianya akan menghalang daripada dikabulkan doa. Imam Nawawi r.h dalam kitab Hadis 40 susunannya telah menukilkan satu hadis berkenaan kaitan rezeki yang halal dengan doa. Hadis tersebut berbunyi : Daripada Abi Hurairah -radiyallahu’anhu-, beliau berkata : Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda :
” إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ “
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian Baginda membaca firman Allah, « Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan » Dan firman Nya, «Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, …» Kemudian Baginda menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?” (HR Muslim : 1015)[3]
3.PENGHALANG DARIPADA DITERIMA AMALAN SEDEKAH, HAJI, UMRAH, DAN SEGALA HAL YANG BERKAITAN DENGAN HARTA YANG HARAM.
Sabda Nabi -sallallahu’alaihiwasallam :
إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik.” (HR Muslim : 1015)
Menurut al-Qadhi dalam mensyarahkan hadis daripada Sahih Muslim ini, beliau menyatakan, Maha Baik pada sifat Allah Ta’ala bermaksud suci daripada segala kekurangan.[4]
Antara lain, Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda :
من اكتسب مالًا من مأْثَمٍ ، فوصَل به رَحِمَه ، أو تصدَّق به ، أو أنفقَه في سبيل اللهِ ؛ جُمِعَ ذلك كلُّه جميعًا ، فقُذِفَ به في جهنَّمَ .
Maksudnya : “Sesiapa yang mendapatkan harta dari sumber yang haram lantas dia manfaatkan untuk berbuat baik dengan kerabatnya, sedekah kepada orang miskin, atau infak dijalan Allah maka semua amalnya tersebut dikumpulkan (tidak bernilai) dan kerananya dia dicampakkan ke neraka.” (HR Abu Daud dalam al-Marasil : 131)[5]
Seterusnya, bersedekah daripada harta yang haram tidak akan diterima oleh Allah SWT.
Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda;
(لا تُقْبَلُ صَلاةٌ بغيرِ طُهُورٍ ولا صَدَقَةٌ مِن غُلُولٍ…)
Maksudnya : Tidak diterima solat tanpa bersuci (berwuduk) dan tidak diterima sedekah daripada hasil harta yang dicuri. (HR Muslim : 224)
Kesimpulannya, mengambil atau makan yang haram mendatangkan banyak keburukan sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Memakan yang haram antara lain boleh merosakkan hati, menjadikan seseorang hidup dalam keadaan hina, resah dan tidak tenang. Perbuatan tersebut juga dijanjikan dengan azab yang buruk pada hari akhirat. Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Nisa ayat ke 10 menyatakan azab yang akan ditimpakan kepada mereka yang memakan harta anak-nak yatim secara zalim :
﴿إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا١٠﴾ [النساء: 10]
Maksudnya : «Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala(10)»
Oleh itu, marilah kita berusaha mendapatkan rezeki dengan jalan yang halal lagi baik, kerana sesungguhnya, walaupun pada zahirnya kita melihat keuntungan yang banyak serta berlipat kali ganda hasil menipu, merasuah, mencuri, riba’, merompak dan lain-lain, ianya tidaklah berkat dan tidak pula mendatangkan kebaikan dalam hidup. Bahkan, sebenarnya, setiap harta yang halal akan dihisab dihadapan Allah Taala, manakala setiap yang haram pula akan diazab pada hari akhirat yang sudah semakin hampir kepada kita. Wallahua’lam.
[1] Ahmad Mustafa al-Maraghi. 1942. Tafsir al-Maraghi. 3/61
[2] Ibnu Katsir. 2003. Tafsir Ibnu Katsir. T.tp : Pustaka Imam Asy-Syafie. 3/553
[3] Terjemahan : Syarah Hadis 40 Imam Nawawi & Tatmin al-Kafi. 2017. Zulkifli Mohamad al-Bakri.
[4] Muslim. t.th. Sahih Muslim (Syarah Muhammad Fuad Abdul Baqi). T.tp : t.pt. 2/703
[5] Terjemahan : https://jipskelantan88695409.wordpress.com/2020/09/27/hukum-sedekah-guna-duit-haram/