ZAKAT: JANGAN CULAS, JANGAN MALAS.
“Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah SWT harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari Kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu”, Riwayat al-Bukhari, 1338.
Alangkah sedihnya, senario kini masih ramai dalam kalangan umat Islam yang culas dan malas dalam membayar zakat kerana beranggapan mereka juga merupakan golongan yang kurang berkemampuan dan tidak perlu mengeluarkan zakat kepada golongan yang kurang bernasib baik. Hal ini perlu dipandang serius dan merupakan ‘persepsi’ yang harus dibetulkan.
Hal ini demikian kerana, jumlah zakat pendapatan yang wajib dikenakan kepada seseorang hanyalah sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan kasar dalam tempoh setahun. Justeru, isunya di sini adalah persepsi terjadi kerana seseorang tidak melaksanakan pengiraan terlebih dahulu terhadap jumlah keseluruhan yang perlu dibayar.
Sudah terang lagi bersuluh, kewajipan zakat ini hanya dikenakan ke atas Muslim yang memiliki kadar nisab sebagai syarat wajib mengeluarkan zakat dan yang juga telah cukup tempoh setahun (haul) qamariah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun”, Riwayat Abu Daud (1573).
Selain itu juga, membayar zakat tidak akan sesekali mengurangkan harta malah ia akan memberikan keberkatan dan kesuburan harta kepada pemiliknya. Persis firman Allah SWT, maksudnya, “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)”, Surah al-Taubah, 103.
Antara alasan lain yang ‘popular’ yang digunakan apabila gagal membayar zakat adalah dek kerana kesibukan bekerja. Alasan sebegini rupa adalah sangat tidak relevan dan amat mendukacitakan kerana terdapat pelbagai saluran yang disediakan daripada pihak Pusat Pungutan Zakat bagi memudahkan pembayaran zakat dan ia sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa. Antaranya ialah, pembayaran secara atas talian di laman web portal pembayaran zakat dan melalui secara perbankan internet.
Rentetan daripada itu, ia amat memudahkan pembayar zakat untuk melakukannya pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu atau tempat. Tambahan pula, perlaksanaan perkhidmatan “Kaunter Zakat Bergerak” yang menggunakan pengangkutan van sebagai medium kenderaan utama untuk bergerak bersama tagline “Kami Bersedia ke Tempat Anda” adalah sangat unik dan amat praktikal. Kaunter van ini akan berada di booth atau di karnival-karnival yang menjadi tempat tumpuan.
Tuntasnya, setiap Muslim perlu menyedari bahawa harta yang dimiliki bukanlah 100 peratus hak miliknya kerana terdapat hak orang lain juga di dalamnya. Maka, ibadah zakatlah yang akan menyucikan harta tersebut dan memulangkan hak harta itu kepada yang selayaknya. Justeru, jika seseorang enggan mengeluarkan zakat secara sengaja, seseorang itu telah jatuh ke dalam golongan fasiq dan berdosa. “Adapun dalil kewajipan zakat, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir”, Fath al-Bari; 3/262.
Hikmah Mengeluarkan Zakat.
Antara hikmah mengeluarkan zakat ialah mengagihkan sebahagian kecil kekayaan golongan berada kepada golongan yang kurang berkemampuan. Hal ini akan menyebabkan tertanamnya sifat sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada yang bernasib baik dan mengurangkan perasaan iri hati dalam kalangan yang kurang bernasib baik.
Di samping itu juga, dengan mengeluarkan zakat dapat mewujudkan kesatuan Muslimin dalam urusan ekonomi dan kewangan yang diredhai Allah SWT serta melahirkan perasaan tenang dan tenteram dalam jiwa pembayar zakat sebagaimana firman Allah SWT, maksudnya, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah SWT hati menjadi tenteram”, Ar-Ra’d, 28.
Kesimpulannya, seseorang wajib mengeluarkan zakat ke atas harta mereka kerana ia bukan sahaja menyucikan harta bahkan membersihkan hati seseorang. Akhir kalam, penulis mendoakan kita sekalian diberikan keikhlasan beribadah kepadaNya dan takutlah akan azab yang menanti di hari Akhirat kelak akibat culas mengeluarkan zakat.