SOLATKU KEBAHAGIAANKU SIRI 3 : MARTABAT SOLAT DALAM ISLAM
KEDUDUKAN SOLAT
Solat mempunyai kedudukan yang sangat mulia dan tinggi dalam Islam. Ianya merupakan ibadah yang disyariatkan kepada Nabi Muhammad -sallallahua’alaihiwasallam- secara terus pada malam Israk Mikraj. Menurut Tafsir fi Zilal, solat ialah perhubungan dan pertemuan di antara hamba dengan Allah, dan daripada perhubungan inilah hati mendapat kekuatan, roh menikmati hubungan, dan jiwa mendapat bekalan yang lebih berharga daripada harta kekayaan dunia dan segala isinya.[1]
PERKARA TERAKHIR YANG TERUNGKAI DARIPADA IKATAN ISLAM.
Sabda Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- :
لَتُنتَقَضَنَّ عُرى الإسلامِ عُروةً عُروةً، فكُلَّما انتَقَضَت عُروةٌ تَشَبَّث النَّاسُ بالتي تليها، فأَوَّلُهنَّ نَقضًا الحُكمُ، وآخِرُهنَّ الصَّلاةُ
Maksudnya : “Akan terungkai ikatan Islam satu persatu, ketika terungkainya satu ikatan, nescaya manusia akan mengikuti yang selanjutnya. Perkara yang mula-mula terungkai adalah pemerintahan dan akhirnya yang terungkai adalah solat.” (Al-Jami’ al-Soghir : 7232)[2]
Sebagaimana yang disebutkan dalam portal al-Durar al-Saniah, syarahan hadis diatas menyatakan bahawa manusia tidaklah meninggalkan Islam secara sekaligus, akan tetapi ikatan agama itu akan terungkai sedikit demi sedikit dalam diri seseorang. Hal ini berlaku apabila manusia mengabaikan sebahagian daripada rukun Islam satu persatu. Perkara terawal yang akan terungkai ialah hukum, sehingga manusia akan meninggalkan hukum syarak dan mengangkat serta menggunapakai hukum ciptaan manusia. Kemudian perkara terakhir yang ditinggalkan oleh manusia dalam urusan agamanya ialah solat. Sehingga apabila seseorang itu solat, dia melaksanakannya dengan sifat solat yang tidak diterima.[3]
Dalam riwayat lain ada menyebutkan, “Perkara terawal yang diangkat daripada seseorang manusia adalah sifat amanah. Dan perkara terakhir yang masih berbaki adalah solat. Dan hampir-hampir seseorang yang menunaikan solat itu, tidak ada kebaikan padanya.”
ANTARA PESANAN AKHIR NABI -sallallahu’alaihiwasallam- SEBELUM WAFAT.
Solat adalah merupakan antara pesanan akhir Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- sebelum kewafatan Baginda. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud :
وَأَوْصَىْ النَّاسَ، فَقَالَ: الصَّلَاةُ الصَّلَاة ُوَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانَكُمْ[4]
Maksudnya: Kemudian baginda berwasiat kepada manusia, seraya berkata : “Jagalah solat, jagalah solat dan budak-budak kalian (jangan sekali-kali kalian abaikan).”[5]
ALLAH TAALA MEMUJI ORANG YANG MENDIRIKAN SOLAT DAN MEREKA YANG MENYURUH KELUARGANYA MENDIRIKAN SOLAT.
Firman Allah swt :
﴿وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا٥٤ وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا٥٥﴾ [مريم: 54-55]
Maksudnya : «Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi(54) Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!(55)»
Menurut tafsir Ibnu Katsir, ayat ini menunjukkan pujian yang indah dan sifat terpuji baginda Nabi Ismail alaihissalam. Baginda merupakan seorang yang sabar dalam ketaatannya kepada Allah, serta memerintahkan juga kepada ahli keluarganya untuk taat.
ALLAH TAALA MENCELA ORANG YANG MENYIA-NYIAKAN SOLAT DAN BERMALAS-MALASAN UNTUK MENUNAIKANNYA.
Firman Allah Ta’ala :
﴿فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا٥٩﴾ [مريم: 59]
Maksudnya : «Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)(59)»
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Nisa’ :
﴿إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَى يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا١٤٢﴾ [النساء: 142]
Maksudnya : «Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)(142)»
[1] Yusof Zaki. T.th. Terjemahan Tafsir Fi Zilalil Quran (Surah al-Baqarah). t.tp : t.pt.
[2] Al-Suyuti. 2004. Al-Jami’ al-Soghir fi Ahadis al-Basyir al-Nazir. Beirut : Darul Kutub al-Ilmiyyah. 5/444
[3] Portal Al-Dorar Al-Saniah (Al-Mausu’ah al-Hadisiyyah). https://www.dorar.net/hadith/sharh/126196
[4] Hadis Riwayat Abu Daud : 5156
[5] Sofiurrahman al-Mubarakfuri. 2007. Al-Rahiq al-Makhtum. Qatar : Wizarah al-Auqaf wa al-Syu un al-Islamiyyah. 469