PROGRAM RIADAH SUNNAH: MEMANAH
Riadah atau bersukan merupakan satu aktiviti yang digalakkan dalam Islam dan juga oleh Baginda Muhammad SAW dalam menjaga kesihatan fizikal dan mental umatnya. Tenaga dan kekuatan fizikal penting bagi diri seorang muslim kerana dengan badan yang sihat dan cerdas, umatnya mampu beribadah dengan baik disamping akan terus melakukan kegiatan-kegiatan dakwah kepada masyarakat lain. Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)
Salah satu sukan yang merupakan sunnah nabi ialah sukan memanah. Terdapat banyak kebaikan dalam sukan ini, antaranya ialah ia dapat melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan target pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan keseimbangan badan. Maka jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi. Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik. Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.
Alhamdulillah, sebuah program Riadah Sunnah diadakan bersama anak-anak Nadi Al-Quran Kg Sri Melenggang pada 17 Disember 2022 bersamaan hari Sabtu yang memfokuskan sukan memanah. Program kali ini Ustazustazah.com berkolaborasi bersama salah sebuah kelab memanah di daerah Rembau iaitu Luak Rembau Warrior yang diketuai oleh Cikgu Azali. Berbekalkan tenaga seramai hampir 15 orang tenaga pengajar yang terdiri daripada ahli kelab yang merupakan pelajar sekolah rendah dan menengah, program ini berlangsung dengan lancar dengan objektif untuk memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada anak-anak Nadi Al-Quran disamping dapat meningkatkan daya keyakinan diri dan keseronokan dalam beriadah.
Program bermula dengan aktiviti senaman yang dibimbing oleh pelajar praktikal Ustazustazah.com iaitu saudara Amin Rohizam dan Nurul Izzah dibantu oleh rakannya Nur Muhammad. Setiap aktiviti sukan memerlukan suatu aktiviti pemanasan badan yang penting kerana ia bertujuan untuk meregangkan otot-otot badan dan mengurangkan kebarangkalian kecederaan semasa melakukan aktiviti fizikal. Hal ini amat dititikberatkan kerana ini merupakan aktiviti fizikal pertama anak-anak Nadi Al-Quran.
Agenda program diteruskan dengan pengenalan asas peralatan dan kemahiran memanah yang disampaikan oleh Cikgu Azali. Sesi pengenalan berlangsung selama hampir 1 jam 30 minit dan seterusnya sesi praktikal memanah diadakan. Pelbagai reaksi dapat diperhatikan daripada riak wajah anak-anak Nadi Al-Quran. Ada yang teruja, takut, seronok dan bersemangat. Alhamdulillah, setelah hampir 3 jam sesi praktikal memanah berlangsung, anak-anak yang pada mulanya takut-takut dan teragak-agak, akhirnya berjaya melepaskan beberapa kali anak panah ke arah sasaran. Mereka semakin berkeyakinan dan berani dalam mencuba perkara yang baru dipelajari.
Justeru, aktiviti sebegini sewajarnya untuk terus diadakan pada masa akan datang atau mungkin secara bulanan bagi mengekalkan dan mempertingkatkan momentum anak-anak Nadi Al-Quran disamping menerapkan nilai-nilai kebaikan disebalik sukan memanah ini dalam diri anak-anak. Semoga ini merupakan permulaan bagi melahirkan kumpulan pemanah yang hebat sehebat para sahabat di zaman khulafa ar-rasyidin.