‘FREE RIDER’ DALAM TUGASAN ASSIGMENT
Apakah yang dimaksudkan dengan Free Rider? Free Rider menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka adalah bermaksud seseorang individu yang mendapat faedah daripada menjadi ahli sesuatu kumpulan tetapi tidak mahu menyumbang sebarang manfaat atau kebaikan untuk kumpulan tersebut.
Adakah kita lupa bahawa Allah SWT menggesa sekalian manusia agar saling bantu- membantu dan bekerjasama dalam perkara-perkara kebaikan dan juga meninggalkan perkara-perkara yang batil. Suruhan ini boleh dipraktikkan dalam apa jua tugasan yang dilakukan seperti tugasan berkumpulan sama ada dalam bidang pendidikan, ekonomi, pentadbiran dan juga sebagainya.
Namun demikian, alangkah sedihnya apabila wujud sesetengah individu yang tidak mahu memberikan sebarang bentuk kerjasama bagi menyelesaikan aktiviti tugasan berkumpulan yang telah diamanahkan tetapi kemudiannya mahu mengambil hasil atau faedah seusai ahli kumpulan yang lain menyelesaikan tugasan. Mereka inilah yang digelarkan sebagai ‘free rider’.
Umum diketahui ramai, istilah ini kebiasaannya wujud dalam kalangan para pelajar khususnya dalam kalangan golongan mahasiswa universiti. Terdapat pelbagai kesan negatif yang akan didapati sekiranya kita mengamalkan tabiat buruk ‘free rider’ ini. Antara sikap mazmumah yang akan didapati asbab amalan ‘free rider’ ini adalah berlaku khianat terhadap amanah yang telah diberikan.
Hal ini demikian kerana tugasan yang diamanahkan tidak dijalankan dengan sebaiknya dan setelusnya. Khianat terhadap amanah universiti iaitu menjalankan kewajipan sebagai seorang pelajar. Amanah bukanlah suatu perkara yang remeh dan mesti ditunaikan haknya dan tanggungjawabnya terhadap diri sendiri dan orang lain. “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”, Surah al-Anfal, 27.
Selanjutnya, mana mungkin tabiat ‘free rider’ ini tidak akan menyebabkan berlakunya penipuan seseorang individu terhadap rakan sekumpulan tugasannya. Lazimnya, mereka akan memperdaya rakan-rakan sekumpulannya dengan berbagai alasan yang tidak munasabah dalam sewaktu persiapan menyiapkan tugasan yang diberikan.
Selain itu juga, golongan yang sering bertabiat ‘free rider’ adalah termasuk dalam golongan yang tiada ketekunan dan kesungguhan yang jitu dalam menuntut ilmu. Sudah terang lagi bersuluh, mereka akan beranggapan bahawa ada teman-temannya yang lain yang akan menyelesaikan tugasan berkumpulan tersebut baginya. Sungguh nilai ketekunan yang amat diperlukan dalam diri seseorang pelajar itu amatlah nipis dan tidak bersemangat waja. “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang”, Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath, 897.
Tegasnya, tabiat ‘free rider’ ini bukanlah suatu amalan yang baik malah tidak disukai dalam agama, masyarakat dan juga rakan-rakan khususnya. Adakah kita tidak malu sebagai seorang Muslim yang seharusnya mengamalkan sikap jujur, amanah dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap tugasan yang ditetapkan?
Kesimpulannya, perbuatan bersungguh-sungguh, beramanah ini semua termasuk dalam adab-adab untuk memburu keberkatan ilmu. Persis kata-kata mutiara daripada Imam Malik R.A, “Pelajarilah adab sebelum mempelajari suatu ilmu’. Melalui adab yang dijaga, akan terserlahlah kesungguhan dan berkahnya sesuatu ilmu tersebut untuk kita bawa manfaatnya sehingga ke generasi mendatang.