WAKAF HARTA DIBAWA MATI
Wakaf adalah satu amalan atau kaedah dalam islam yang penuh dengan keajaiban dalam mengurangkan kemiskinan sesebuah masyarakat di samping memperkukuhkan ekonomi sesebuah negara. Wakaf juga mampu mengurangkan jurang taraf hidup antara golongan kaya dan miskin. Melalui wakaf, pelbagai kemudahan awam dalam sesebuah negara dapat disediakan seperti jalan raya, jambatan, hospital, universiti, perpustakaan dan banyak lagi tanpa menggunakan wang negara. Sejarah telah membuktikan keajaiban wakaf dalam mengukuhkan ekonomi negara dan taraf hidup rakyat. Kejayaan amalan wakaf yang diamalkan dalam kerajaan-kerajaan islam lampau seperti Daulah Ayyubiyah, Daulah Uthmaniyyah dan sebagainya menjadi saksi utama tentang ajaibnya amalan wakaf ini.
Perkataan wakaf dari segi bahasa ialah al-habsu “الحبس “yang berasal dari kata kerja habbasa “حبس “habsan “حبسا “iaitu menjauhkan orang dari sesuatu atau memenjarakan. Kemudian kata ini berkembang menjadi habbasa “سّحب “yang bererti mewakafkan harta kerana Allah. Wakaf berasal daripada kalimah waqafa “وقف “dan tahbis “تحبيس “ bermaksud menahan.
Manakala perkataan wakaf menurut istilah para fuqaha’’ pula seperti menurut pandangan Mazhab Shafi’i ialah menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seseorang yang diharuskan dan ada pada ketika itu. Malah menurut beliau lagi, wakaf ialah penahanan sesuatu harta dari pemiliknya yang asal dan berpindah kepada pemilik yang baru untuk menguruskannya supaya dapat mengambil faedah dari harta wakaf itu untuk tujuan kebajikan serta untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Perkataan “ditahan” di atas membawa erti bahawa sesuatu harta yang diwakafkan (mawquf) tidak boleh dilibatkan dalam mana-mana transaksi atau pindah milik seperti dijual, dicagar dan sebagainya. Sebagai penerima wakaf (mawquf ‘alayh), seseorang itu hanya boleh manfaatkan harta berkenaan tanpa mempunyai hak pemilikan penuh. Justeru pemilikan ini boleh dikategorikan di bawah “pemilikan tidak sempurna” (milik al-naqis).
Ini kerana wakaf bukanlah akad yang berbentuk pertukaran tetapi ia adalah akad yang menggugurkan hak milik untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah dan hak milik itu akan berpindah kepada Allah s.w.t. Pewakaf tidak diharuskan mengambil manfaat daripada apa yang diwakafkan kecuali harta yang diwakafkan itu berbentuk kegunaan umum seperti masjid, tanah perkuburan dan sekolah, kecuali jika pewakaf meletakkan syarat bahawa dia juga boleh mengambil manfaat wakaf tersebut berdasarkan bahagian yang diperuntukkan kepadanya.
konsep wakaf sebenarnya tertumpu kepada pembekuan atau pemegangan aset yang diwakafkan dan penyaluran manfaat harta yang diwakafkan berkenaan untuk digunakan. Dilihat dari sudut pemilikan aset berkenaan, wakaf dianggap sebagai hak milik Allah. Konsep ini menekankan bahawa pewakaf dan aset yang diwakafkan tidak mempunyai sebarang hubungan lagi selepas sesuatu kontrak perwakafan diwujudkan. Oleh itu seseorang pewakaf tidak mempunyai sebarang hak untuk menjalankan apa-apa transaksi terhadap aset yang diwakafkan.
Oleh itu, Ibadah wakaf ini merupakan salah bentuk amal jariah yang diberikan ganjaran pahala yang berlipat-ganda oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
(Surah al-Baqarah: 261)
Selain itu, dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda mengenai amalan wakaf ini diberikan ganjaran pahala yang berterusan meskipun si pewakaf sudah meninggal dunia:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: Apabila telah mati seorang manusia, maka terputuslah baginya pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.
Riwayat Muslim (1631)
Sedekah jariah yang disebutkan di dalam hadis di atas merujuk kepada wakaf kerana ia memberi manfaat yang berterusan kepada orang ramai, sedangkan sedekah biasa yang lain kebanyakannya hanya terhad manfaatnya kepada individu tertentu yang menerima sedekah sahaja. Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menyebutkan bahawa:
وَالصَّدَقَةُ الْجَارِيَةُ مَحْمُولَةٌ عِنْدَ الْعُلَمَاءِ عَلَى الْوَقْفِ كَمَا قَالَهُ الرَّافِعِيُّ فَإِنَّ غَيْرَهُ مِنْ الصَّدَقَاتِ لَيْسَتْ جَارِيَةً، بَلْ يَمْلِكُ الْمُتَصَدَّقُ عَلَيْهِ أَعْيَانَهَا وَمَنَافِعَهَا نَاجِزًا
Maksudnya: Sedekah jariah yang disebutkan di dalam hadis menurut para ulama ialah merujuk kepada wakaf. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Rafi’e. Ini kerana sedekah selain wakaf bukanlah bersifat jariah (memberi manfaat yang berterusan), bahkan dimiliki oleh orang yang menerima harta dan manfaat sedekah itu sahaja.
(Rujuk: Mughni al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3/522)
Akhir kalam, semoga dengan sedikit pencerahan mengenai amalan wakaf ini, Allah SWT membuka pintu hati kita agar mula melakukan amalan wakaf yang banyak manfaatnya. Seterusnya dapat menyumbang kepada penjanaan ekonomi ummah dalam skala yang besar.
Dikarang oleh : Nurul Izzah
Disunting oleh : Nur Alifah Ilyana