BEZAKAH TEMPOH IDDAH SETIAP WANITA?
Perceraian merupakan jalan yang telah diberikan oleh syarak apabila berlakunya kemudaratan ataupun syiqaq (persengketaan yang berpanjangan) dan sebab- sebab lain yang diharuskan syarak. Isteri yang telah diceraikan akan menjalani tempoh iddah yang bertujuan bagi mengetahui kebersihan rahimnya daripada mengandung atau sebagai suatu tempoh bertenang selepas kematian suaminya. Jika berlaku juga perceraian maka suami isteri perlulah mengetahui apa itu iddah. Hukum iddah menurut syarak adalah wajib ke atas wanita yang bercerai atau kematian suami.
Iddah terbahagi kepada dua iaitu iddah raj’ie iaitu iddah yang membolehkan bekas suami merujuk semula isterinya. Ia hanya untuk talak satu dan talak dua sahaja. Yang kedua adalah iddah bain yang tidak membolehkan bekas suami merujuk semula isterinya melainkan dengan akad nikah yang baru. Ia adalah merangkumi talak tiga (cina buta), lian, fasakh, khuluk (tebus talak) dan sebagainya.
Pengertian ‘iddah ini adalah tempoh menunggu yang wajib terhadap wanita tertentu yang mana ia telah ditentukan oleh Allah swt bagi isteri yang kematian suami atau diceraikan oleh suaminya atau difasakh melalui mahkamah. Dalil At- Talaq ayat 4:
وَٱلَّـٰٓـِٔى يَئِسْنَ مِنَ ٱلْمَحِيضِ مِن نِّسَآئِكُمْ إِنِ ٱرْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَـٰثَةُ أَشْهُرٍۢ وَٱلَّـٰٓـِٔى لَمْ يَحِضْنَ ۚ وَأُو۟لَـٰتُ ٱلْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مِنْ أَمْرِهِۦ يُسْرًۭا ٤
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
Tempoh ‘iddah wanita yang bercerai ialah tiga kali suci. Jika wanita tersebut ditalaq semasa dalam keadaan yang suci, tempoh ‘iddahnya tamat apabila datang haid yang ketiga. Jika ditalaq semasa dalam keadaan yang haid, ‘iddahnya tamat apabila datang haid yang keempat. Jika wanita itu ditalaq ketika mengandung, tempoh ‘iddahnya sehingga dia bersalin atau kandungannya gugur. Bagi isteri yang kematian suami hendaklah menjalani tempoh iddah selama 4 bulan 10 hari. Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 234:
Maksudnya: “Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber’iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis ‘iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat”.
Hikmah pensyariatan ‘iddah yang lainnya juga adalah untuk memastikan kekosongan rahim supaya tidak bercampur benih dan membolehkan perempuan yang kematian suami menzahirkan kesedihan/penghormatan kepada suami yang meninggal dunia. Walaupun memberi tempoh kepada pasangan suami isteri supaya berfikir dan mengambil keputusan hendak rujuk atau tidak. Selain itu iddah adalah untuk memanjangkan masa rujuk jika cerai itu talak raj’i.