PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ, BENARKAH PADA TANGGAL 27 REJAB?
Rejab adalah merupakan bulan yang ke tujuh daripada Tahun Hijrah dan ia merupakan antara bulan Haram yang diharamkan padanya peperangan atau pembunuhan. Bulan ini datang selepas daripada Jamadil Akhir dan selepasnya adalah Sya’ban. Bulan Rejab adalah merupakan sebahagian daripada bulan Asyhurul Hurum yang di dalamnya terdapat sebuah kisah dan peristiwa yang besar dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Sebagaimana yang telah maklum oleh masyarakat islam umumnya, Israk dan Mikraj secara umumnya akan diperingati pada tanggal 27 Rejab sebagai peristiwa yang agung yang dilalui oleh baginda Nabi Muhammad SAW yang jatuh pada tanggal tersebut.
Bahkan negara secara khususnya memberikan cuti umum pada peristiwa tersebut iaitu pada tanggal Masihi yang bertepatan dengan tanggal 27 Rejab. Lalu, apakah yang dapat kita pastikan jika peristiwa besar dalam sejarah Islam tersebut memang benar-benar terjadi pada tanggal tersebut? Para ulama berbeza pendapat berkaitan waktu berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ini. Sofiyurrahman Al-Mubarakfuri Al-Azhami dalam Rakhiqul Makhtumnya menyebutkan enam pendapat yang menjelaskan waktu terjadinya Israk dan Mikraj. Tetapi tidak ada satupun yang muktamad daripada enam pendapat ini.
Oleh hal yang demikian, tidak diketahui secara tepat berkaitan tanggal terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini. Hal ini didukung oleh Imam Al-Aini dalam Umdatul Qari-nya dan An-Nawawi dalam Al-Minhajnya menyebutkan beberapa tanggal terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj.
- Pertama, pendapat yang mengatakan bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada tahun kedua setelah diutusnya Nabi Muhammad SAW sebagai nabi.
- Kedua, Israk dan Mikraj terjadi pada tahun kelima setelah diutusnya baginda Nabi Muhammad SAW. Pendapat ini dipersetujui oleh Imam An-Nawawi dan Imam Al-Qurthubi.
- Ketiga, pendapat yang dipilih oleh Muhammad Sulaiman Al-Mansur Fauri, iaitu pendapat yang lazim dan populer di kalangan masyarakat, iaitu pada tanggal 27 Rejab tahun ke-10 setelah diutusnya Nabi.
- Keempat, pendapat Imam Al-Baihaqi yang mengambil pendapat Imam Az-Zuhri, bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada Rabi’ul Awal tahun ke-13 setelah diutusnya nabi, iaitu satu tahun sebelum hijrahnya Nabi ke Madinah.
- Kelima, menurut pendapat As-Sadi, Israk dan Mikraj terjadi pada sembilan belas bulan sebelum peristiwa Hijrah, iaitu bertepatan dengan bulan Zulkaedah.
- Keenam, menurut Al-Harbi, Israk dan Mikraj terjadi pada tanggal 27 Rabiul Akhir iaitu satu tahun sebelum hijrahnya Nabi.
- Ketujuh, pada bulan Ramadhan tahun ke-12 setelah kenabian, iaitu enam belas bulan sebelum hijrahnya Nabi.
- Kelapan, pada bulan Muharram 13 tahun setelah kenabian, iaitu bertepatan dengan satu tahun dua bulan sebelum hijrahnya nabi.
Selain beberapa pendapat di atas, ada juga pendapat yang sangat lemah, iaitu terjadinya Israk dan Mikraj sebelum Rasulullah SAW diangkat sebagai nabi. Hal ini dibantah oleh Imam An-Nawawi dalam Al-Minhaj-nya. Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa pada malam Israk dan Mikraj tersebut nabi diperintahkan untuk mengerjakan solat. Tidak mungkin hal itu terjadi jika baginda Nabi Muhammad SAW belum mendapatkan wahyu. Hal ini juga dibuktikan dengan pendapat Ibnu Hisyam bahawa pada saat terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj, Islam sudah mula tersebar di Kota Mekkah.
Pendapat lain mengatakan bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada hari Jumat yang pertama di bulan Rejab. Malam itu adalah merupakan malam kesedihan di mana baginda Nabi Muhammad SAW merasa sedih kerana ditinggalkan oleh bapa saudara dan istri tercintanya Saidatina Khadijah. Namun menurut Al-Aini, pendapat ini tidak memiliki sandaran dari sumbernya. Dari kesemua pendapat-pendapat yang kita sebutkan sebelum ini, maka pendapat manakah yang paling benar berkaitan tanggal berlakunya peristiwa israk dan mikraj ini? Secara pasti memang tidak dapat kita simpulkan pendapat manakah yang paling benar.
Hanya sahaja, semua pendapat-pendapat tersebut mengarah kepada dua hal, iaitu Israk dan Mikraj terjadi setelah diutusnya baginda Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Perbezaan pendapat atau pandangan dikalangan para ulama berkaitan peristiwa ini adalah dipengaruhi dari gaya perhitungan dan pertimbangan yang berbeza oleh masing-masing pendapat . Ada pendapat dan pandangan yang mendasarkan pada suatu kejadian, seperti sudah tersebarnya Islam di Mekkah dan sebagainya.
Dan ada yang berkhilaf atau berbeza pandangan pada jumlah bulan setelah diutusnya baginda Nabi Muhammad SAW ataupun sebelum hijrahnya nabi. Sehingga wajar apabila ditimbulkan pelbagai pendapat berkaitan bilakah yang seharusnya untuk kita memperingati peristiwa yang agung ini iaitu peristiwa Israk dan Mikraj?
Apa yang paling utama dan penting bagi kita berkaitan peristiwa peringatan Israk dan Mikraj ini adalah semangatnya, iaitu semangat untuk selalu menanam di dalam akal dah hati kita usaha dan jerih payah yang dilalui oleh baginda Nabi Muhammad SAW untuk umatnya. Terlebih lagi dalam hal bilangan ketetapan ibadah solat fardhu. Serta kisah-kisah pertemuan baginda Nabi Muhammad SAW dengan berbagai kejadian dan peristiwa yang mengiringi baginda sewaktu Israk dan Mikraj. Kerana yang paling penting adalah bagaimana kita belajar dari peristiwa-peristiwa tersebut dan muhasabah diri agar menjadi umat baginda Nabi Muhammad SAW yang taat terhadap semua tuntutan-tuntutan syariatnya.