Manifestasi Cinta Para Sahabat
Para sahabat r.anhum merupakan tunjang utama dalam penyebaran Islam ke seantero dunia. Malahan ada makam para sahabat yang dikebumikan di luar wilayah Arab seperti Saad Abi Waqqas di China dan Abu Ayub Al-Ansari di Istanbul, Turki untuk menyebarkan syiar agama Islam. Para sahabat ini sanggup mengorbankan harta,keluarga malahan nyawa demi memperjuangkan Islam dan membantu Rasulullah SAW dalam 23 tahun Baginda berdakwah. Rasulullah SAW juga memuji para sahabat Baginda dalam satu hadis.
Dari Abdullah Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.”
(Riwayat Bukhari,No:3651)
Saya ingin kongsikan sebuah kisah bukti kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW untuk kita sama-sama mendapat iktibar dan ibrah.
Seorang sahabat bernama Tsauban sangat cintakan Rasulullah SAW. Beliau selalu berdamping dengan Rasulullah SAW. Suatu malam, Tsauban tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan dirinya yang tidak dapat bersama Rasulullah SAW saat itu.
Beliau berbisik kepada dirinya: ‘Ketika di dunia aku terpaksa berpisah berpisah dengan Rasulullah SAW lebih-lebih lagi di malam hari, bagaimana pula di akhirat nanti? Kalau aku di syurga, sudah tentu Rasulullah SAW berada di syurga di tingkat yang paling istimewa dan aku di tingkat yang lain. Dan jika aku di neraka sudah pasti aku tidak akan bertemu langsung dengan Rasulullah.’ Kerana mengingatkan hal ini menyebabkan beliau tidak dapat tidur sepanjang malam.
Pada keesokan harinya menjelang waktu Subuh, setelah solat Subuh berjemaah bersama Rasulullah SAW, Baginda memandang ke arah para sahabat. Tiba-tiba Baginda terpandang wajah Tsauban yang kedua-dua biji matanya merah lalu Baginda memanggil Tsauban ke hadapan.
Rasulullah SAW bertanya: “Adakah kamu sakit,wahai Tsauban?” Tsauban menjawab: “Tidak wahai Rasulullah.” Rasulullah SAW bertanya lagi: “Kenapa kedua-dua matamu merah?” Tsauban pun menceritakan apa yang telah berlaku semalam. Ketika itu Rasulullah SAW diam tidak berkata apa-apa kerana syurga bukanlah milik Baginda. Dalam keadaan begitu, Baginda tidak dapat memberi jawapan yang pasti. Maka turunlah wahyu yang menjawab mengenai persoalan tersebut:
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 69:
وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi dan orang-orang siddiqin, dan orang-orang yang syahid. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman dan rakan (kepada orang-orang yang taat itu).”
Kemudian Baginda SAW bersabda:
من أَحْيَا سُنَّتِي فَقَدْ أَحَبَّنِي وَمَنْ أَحَبَّنِي كَانَ مَعِي فِي الْجنَّة
.
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya ia telah mencintai aku dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-sama aku di dalam syurga.”
(Hadis riwayat Tirmizi dan Tabrani)
Kesimpulannya, para sahabat yang ada di kalangan mereka yang dijamin syurga oleh Rasulullah SAW sendiri ingin bersama-sama Rasulullah SAW bukan sahaja di dunia malahan di akhirat sana. Ini menunjukkan betapa besarnya cinta mereka terhadap Baginda dan banyak juga kisah-kisah lain yang menunjukkan kecintaan para sahabat yang tak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW. Oleh itu, kita sebagai umatNya hendaklah gigih menyatakan rasa cinta kepada Baginda setiap hari dengan berselawat kepada Baginda dan moga-moga itu asbab kepada syafaat Baginda kepada kita di akhirat kelak.
Wallahuaklam.