Ibrah Ayat: Surah Al-Baqarah ayat 97 – 101
Pada 12 Februari 2023, diadakan sebuah karnival yang membawa tema ‘Memasyarakatkan Al-Quran’. Karnival ini dimulakan dengan alunan bacaan surah Al-Baqarah ayat 97 sehingga 101 yang dialunkan oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman. Diikuti dengan terjemahan ayat yang dibaca oleh Ustaz Najmi Ammar. Tidaklah ayat itu dibaca hanya sekadar terjemahannya. Ustaz Uda Kassim yang merupakan penasihat Ustazustazah Com Sdn Bhd telah menghuraikan maksud tersirat disebalik ayat yang dialunkan. Permulaan acara yang begitu indah apabila kita semua diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berserta kefahaman yang jelas yang membuatkan Al-Quran itu dekat dengan hati kita. Ibrah ayat adalah seperti berikut:
قُلْ مَن كَانَ عَدُوًّا لِّجِبْرِيْلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَى قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللهِ مُصَدِّقاً لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَ هُدًى وَ بُشْرَى لِلْمُؤْمِنِيْنَ
(97) Katakanlah : Barang siapa yang jadi musuh dari Jibril , maka sesungguhnya dia itu telah menurunkannya ke dalam hati engkau dengan izin Allah , menyetujui apa yang ada dihadapannya dan petunjuk dan kabar gembira bagi orang-orang yang beriman .
مَن كَانَ عَدُوًّا ِللهِ وَ مَلآئِكَتِهِ وَ رُسُلِهِ وَ جِبْرِيْلَ وَ مِيْكَالَ فَإِنَّ اللهَ عَدُوٌّ لِّلْكَافِرِيْن
(98) Katakanlah: Barangsiapa yang jadi musuh dari Allah dan Malaikat-malaikatNya, dan Rasul-rasulNya , dan Jibril dan Mikail, maka sesungguhnya Allah adalah musuh dari orang- orang yang kafir.
وَ لَقَدْ أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ وَ مَا يَكْفُرُ بِهَا إِلاَّ الْفَاسِقُوْن
(99) Dan sesungguhnya telah Kami turunkan kepada engkau akan ayat-ayat yang jelas-jelas. Dan tidaklah kafir kepadanya melainkan orang-orang yang fasik.
أَوَ كُلَّمَا عَاهَدُوْا عَهْداً نَّبَذَهُ فَرِيْقٌ مِّنْهُمْ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لاَ يُؤْمِنُوْنَ
(100) Dan apakah tiap-tiap kali mereka membuat perjanjian dilenyapkan (saja) oleh segolongan dari mereka ? Bahkan terbanyak di antara mereka tidaklah percaya.
وَ لَمَّا جَاءَهُمْ رَسُوْلٌ مِّنْ عِنْدِ اللهِ مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيْقٌ مِّنَ الَّذِيْنَ أُوْتُوْا الْكِتَابَ كِتَابَ اللّهِ وَرَاءَ ظُهُوْرِهِمْ كَأَنَّهُمْ لاَ يَعْلَمُوْن
(101) Dan tatkala telah datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah, menyetujui apa yang ada serta mereka , telah melemparkan segolongan dari mereka yang diberi Kitab itu akan Kitab Allah ke belakang mereka , seolah-olah mereka tidak mengetahui.
Ibrah ayat dari Ustaz Uda Kasim;
Allah menceritakan perihal suatu golongan orang-orang Yahudi. Mereka ini suatu kaum yang telah turun pada mereka sebelum ini Kitab Taurah melalui Nabi Musa Alaihissalam & pastinya wahyu itu disampaikan oleh malaikat Jibril yang merupakan malaikat yang ditugaskan untuk menyampaikan wahyu oleh Allah.
Ketika Nabi Musa membacakan Kitab Taurah kepada Bani Israil, Bani Israil boleh beriman kepada Kitab Taurah dan Nabi Musa. Namun begitu, setelah wafatnya Nabi Musa Alaihissalam, tibalah masanya Allah mengutuskan seorang Rasul yang bukan dari kalangan Bani Israil tetapi dari kalangan bangsa Arab iaitu Muhammad bin Abdullah SAW.
Bani Israil menyangka, Nabi akhir zaman dan sifat-sifat Nabi akhir zaman yang dibaca dari Kitab Taurah adalah dari kalangan Bani Israil juga.Tiba-tiba sangkaan mereka meleset sama sekali. Allah telah mengutuskan seorang Rasul dari Bani Hashim Al-Quraisy iaitu Muhammad bin Abdullah SAW. Maka ketika itulah, timbul perasaan dengki dalam diri mereka kerana mereka merasakan hanya Bani Israil sahaja yang berhak memiliki keistimewaan Nubuwwah. Sedangkan mereka lupa bahawa ramai dalam kalangan para anbiya’ yang dari kalangan Bani Israil, Bani Israil jugalah yang membunuh para nabi ini. Bani Israil sendirilah yang mengkhianati nabi-nabi.
Lalu kedengkian, semakin menguasai diri mereka. Apabila Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dan kaum Yahudi Madinah tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Walaupun mereka tahu, inilah nabi yang mereka tunggu-tunggu selama ini, yang disebut dalam Kitab Taurah mereka. Tetapi disebabkan berlainan bangsa, mereka menolak untuk beriman dengan baginda SAW.
Antara sebab dan alasan yang diberikan oleh Bani Israil kenapa tidak ingin menerima dakwah baginda SAW adalah kerana ia disampaikan adalah daripada Jibril Alaihissalam. Berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Saidina Anas bin Malik menceritakan tentang ada beberapa orang pendeta Yahudi berjumpa baginda SAW dan bertanya soalan-soalan yang dimana soalan-soalan tersebut hanya boleh dijawab dengan benar oleh seorang Rasul. Setiap satu soalan yang diajukan baginda SAW menjawabnya dengan benar. Mereka mengakui jawapan itu betul lagi benar. Walaupun baginda menjawab dengan tepat dan itu merupakan sebahagian tanda kerasulan baginda, orang-orang Yahudi ini bertanya ‘Wahai Muhammad, dari mana engkau dapat jawapan-jawapan ini? Soalan ini sangat penting untuk dijawab kerana ia menentukan sama ada kami akan beriman dengan engkau atau tidak.” Lalu baginda SAW berkata, “Jawapan-jawapan ini adalah dari Allah yang disampaikan oleh Jibril kepada aku. Lalu mereka menjawab, “Oleh kerana jawapan ini disampaikan olehi Jibril, maka kami tidak akan beriman dengan kau. Jika ia disampaikan oleh malaikat Mikail, maka kami akan beriman dengan kau.”
Apakah bezanya antara malaikat Jibril dan Mikail? Sedangkan keduanya merupakan utusan Allah. Ini menunjukkan kedunguan mereka dan dengki dalam hati mereka yang menebal demi untuk menolak untuk beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Sifat ini yang sangat berbahaya dalam diri manusia.
P.H.D adalah sangat berbahaya dalam diri manusia dan sangat dibenci oleh Allah. Apakah PHD? Ianya ialah Perasaan Hasad Dengki. Kenapa Allah benci? Kerana ia tidak redha dengan pembahagian rezeki yang Allah aturkan kepada orang lain. Hasad dengki itu ibarat api yang memakan kayu kering. Jelas menunjukkan betapa bahaya dan cepatnya baraan api itu sebagaimana cepatnya perasaan hasad dengki itu mengotorkan dan merosakkan hati kita.
Hindarilah perasaan ini. Rebutlah peluang dalam menjadi hamba dan ummah yang mulia dengan memuliakan manusia lain. Meraikan kejayaan orang lain. Bersainglah secara sihat supaya keredhaan Allah itu sentiasa bersama kita. Insha Allah.
Wallahualam.