JALAN DAKWAH KITA
2021, nama Ustazustazah.com hanya bergerak sebagai satu jabatan yang memberi balik kepada masyarakat melalui kolaborasi bersama organisasi-organisasi luar yang memerlukan tenaga kerja untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan. Setahun berjumpa pelbagai latarbelakang keluarga, pemikiran dan kisah. Setahun juga belajar erti kegigihan, perancangan dan kesyukuran.
Berteraskan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali 3 perkara; sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak soleh yang mendoakan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Mencari ruang-ruang dan jalan-jalan sedekah yang boleh disalurkan supaya ia sampai ke golongan yang disasarkan. Setahun, perjalanan yang diatur dalam menyebarkan senyuman dengan menghulurkan bantuan.
2022, nama diberi ialah Ustazustazah Dot Com Sdn Bhd (UUC). Dengan teras yang sama, mempunyai tiga jalan utama bagi meneruskan perjalanan UUC iaitu pengurusan projek, konsultasi dan pendidikan. Langkah terus diatur diatas jalan-jalan ini. Menyebarkan lebih banyak kebaikan kepada lebih ramai mereka yang memerlukan. Bukan lagi memberi terus ‘ikan’ untuk dimasak, tetapi ‘joran’ yang boleh digunakan sepanjang hayat iaitu ILMU. Diperinci dan difokuskan lagi penyebaran ilmu ini adalah khususnya ilmu Al-Quran. Terciptalah langkah seterusnya iaitu dengan melaksanakan program yang memberikan pendidikan Al-Quran percuma kepada anak-anak yang digelar Nadi Al-Quran.
Program yang mempunyai misi yang jelas dalam melahirkan generasi celik Al-Quran, juga ingin melahirkan anak-anak yang menerapkan nilai-nilai Al-Quran dalam diri dan kehidupan seharian. Biar dewasanya mereka, walau ke bidang apa pun yang mereka jejaki, Al-Quran itu didada. Panjang perjalanan yang ingin disusun dan masih diatur. Perjalanan yang mungkin masih bertatih, namun berbekalkan matlamat yang jelas dan semangat untuk mencapai impian, tetap terus melangkah maju ke hadapan. Yakin dan percaya, anak-anak yang pada awalnya diajar walaupun sebaris ayat, dengan usaha yang istiqamah, mereka mampu menggoncangkan dunia. Menjadi pembela agama dan anak-anak kebanggaan keluarga.
Disamping ilmu yang diberi dan diterap dalam kalangan anak-anak, penyebaran ilmu juga disebar luas melalui platform digital yang kini telah dibangunkan aplikasi Khair. Segala kebaikan bermula disini. Fokus yang jelas untuk menghimpunkan segala ilmu-ilmu asas agama yang boleh dijadikan rujukan, pedoman dan bacaan. Menjadi solusi kepada mereka yang ingin memahami asas-asas dalam ilmu agama. Aplikasi yang dibangunkan demi pembangunan ummah ini juga menyebarkan seribu satu kebaikan buat semua.
Masih dengan teras yang sama, program-program berbeza dengan kaedah dan hala tuju tersendiri, menuju matlamat yang sama dan inilah jalan dakwah kita.