MENYINGKAPI RAHSIA DAN PENSYARIATAN PUASA
Puasa dari sudut bahasa bererti menahan diri daripada sesuatu sama ada kata-kata, perbuatan mahupun makanan. Firman Allah SWT, maksudnya “Sesungguhnya aku bernazar untuk berpuasa kerana (Allah) Ar-Rahman“, Surah Maryam, 26. Manakala daripada sudut syarak pula bererti menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari disertai dengan niat.
Apakah pri pentingnya kita sebagai umat Islam untuk berpuasa? Pasti kita tertanya-tanya. Hal ini demikian kerana, tidak lain tidak bukan adalah tanda pengabdian kita sebagai hamba kepada Allah SWT untuk meraih taqwa kepadaNya.
Maksud Ramadan
Menurut tafsir Al-Qurtubi, dari segi bahasa, perkataan Ramadan itu diambil daripada kata akar (رمض) yang membawa maksud panas yang semakin hangat. Selain itu, dinukilkan juga oleh Imam al-Qurtubi, bahawa perkataan Ramadan membawa maksud semakin panas orang yang berpuasa itu kerana hangat organ perutnya akibat terlalu haus.
Di samping itu juga, Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa kepanasan ini membawa makna akan meleburkan dosa seseorang melalui amalan solehnya kerana ia seakan membakar dosa-dosa melalui amalan-amalan soleh.
Seperti yang kita sedia maklum, puasa Ramadan difardukan pada tahun kedua Hijrah Nabi SAW, “Dan difardukan puasa Ramadan pada bulan Sya’ban pada tahun kedua daripada Hijrah”, Kitab Al-Iqna’. Namun begitu, kewajipan puasa Ramadan tidak pernah disyariatkan pada umat sebelum ini. Persamaan yang wujud antara umat akhir zaman dengan umat Islam terdahulu ialah hanya ibadah puasa yang disyariatkan. Tetapi kefardhuan puasa Ramadan itu sendiri hanya dikhususkan kepada Umat Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT, maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum daripada kamu, supaya kamu bertakwa”, Al-Baqarah: 183.
HUKUM MENINGGALKAN PUASA RAMADAN TANPA KEUZURAN
“Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah SWT, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.” Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Tarmizi.
Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan betapa Islam memandang prihatin perlaksanaan ibadah puasa Ramadan, bahkan ianya salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan bagi setiap Muslim yang tiada keuzuran. Ia juga jelas menunjukkan meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat diqada’ dari sudut nilainya.
Perlu ditegaskan, sebagaimana yang telah dinukilkan dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji bahawa sesiapa yang mengingkari kewajipan puasa Ramadan, akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Sekiranya ingkar dan enggan bertaubat, dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh sekiranya dia telah lama memeluk agama Islam.
Manakala sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari kewajipannya, seperti dia berkata: “Saya wajib berpuasa tetapi saya tidak mahu berpuasa, maka hukumnya fasiq dan tidak kafir. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalang daripada makan dan minum pada waktu siang hari supaya dia berpuasa, sekalipun secara zahirnya sahaja.
HIKMAH & FAEDAH PUASA
Antara salah satu hikmah diwajibkan berpuasa di dalam bulan Ramadan adalah untuk menyedarkan hati seseorang Mukmin terhadap Muraqabah yakni pengawasan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya. Hal ini demikian kerana, apabila sedang berpuasa, kita pasti merasai lapar dan dahaga, tetapi perasaan yang mengetahui bahawa diri sedang berpuasa menghalang kita daripada memenuhi kehendak jiwa untuk makan dan minum semata-mata demi melaksanakan perintah Allah SWT.
Selain daripada itu, dengan berpuasa dapat menyedarkan kita bahawa setiap orang hanyalah hamba yang perlu tunduk patuh kepada hukum Allah SWT dan mematuhi kehendakNya dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepadaNya di bulan Ramadan ini.
Sudah terang lagi bersuluh, pensyariatan puasa mampu membersihkan jiwa dan menghaluskan perasaan. Hal ini demikian kerana, jika sentiasa berada dalam keadaan yang kenyang, jiwa akan dipenuhi dengan sifat yang keras dan membawa kepada pelampauan dalam percakapan mahupun perbuatan.
Selanjutnya, dengan berpuasa di bulan Ramadan akan memupuk sikap nurani saling berkasih sayang sesama umat Islam terutama antara si kaya dan si miskin. Amat sukar bagi si kaya untuk mengasihi si fakir tanpa merasai kepayahan kemiskinan, kelaparan dan penderitaan mereka. Maka, bulan Ramadan adalah sebaik-baik pengalaman yang akan diperolehi si kaya kerana terhalang daripada memiliki makanan seperti yang sering dialami si fakir saban waktu.
Konklusinya, puasa adalah sebaik-baik perkara yang menimbulkan kasih sayang, rahmat dan kasihan dalam diri sesama manusia. Seharusnya, umat Islam tidak memandang ringan dalam masalah puasa Ramadan, tetapi hendaklah bertekad dan berazam untuk menunaikannya sebaik mungkin.
Semoga dengan ketibaan Ramadan pada kali ini akan menambahkan ketaqwaan kepadaNya. “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu”, Riwayat Al-Bukhari, (38).