MERASA MAKANAN DENGAN LIDAH BOLEH MEMBATALKAN PUASA??
Puasa merupakan salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat untuk membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.
Perbuatan merasa makanan boleh dilakukan di hujung lidah dan tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih. Situasinya adalah seperti tukang masak atau suri rumah yang sedang memasak di dapur. Merasa makanan adalah makruh sekiranya tiada hajat tetapi ianya tidak membatalkan puasa. Sekiranya terdapat hajat (untuk merasanya) maka ianya seperti berkumur. Apabila berkumur, pula jika diperhatikan masih terdapat baki-baki air yang sedikit di dalam mulut dan jika tertelan bersamanya air liur maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya amat payah untuk dielakkan.
Seperti bersugi, bersiwak dan memberus gigi ketika berpuasa, telah sepakat para fuqaha’ akan keharusannya. Begitu juga penggunaan ubat gigi. Jika kita perhatikan, semasa memberus gigi, bersiwak dan sebagainya pasti akan terdapat rasa pada lidah namun jika tidak ditelan, ianya tidak membatalkan puasa. Merasa makanan hendaklah dalam kuantiti yang sedikit seperti di hujung lidah. Namun, tidak boleh menelannya kerana jika ditelan masuk bersama air liur, batallah puasanya. Jika seseorang merasa makanan ketika berpuasa, kemudian dia meludahkannya tetapi masih berbaki rasanya pada lidah sekalipun sampai kepada tekak dan ditelannya, maka ianya tidak membatalkan puasa seseorang itu kerana ‘ain makanan tersebut telah diludahkan dan yang tinggal hanya athar (kesan) sahaja yang berbaki. Jadi, ibu-ibu bolehlah merasa makanan ketika puasa tapi ia harus diludahkan semula. Kalau mahu kepastian, boleh cuba ambil kuah menggunakan sudu, titiskan pada jari dan kemudian calitkan pada hujung lidah.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”. Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Pengharapan pula adalah dimaksudkan dengan memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya. Namun begitu, terdapat beberapa perbuatan yang boleh membatalkan puasa seseorang itu, iaitu makan dan minum. Ia menjadi batal sama ada sedikit atau banyak.ataupun sampainya ain’ kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain’ bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.
Semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), jika tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal. Merasa makanan adalah makruh jika ia dilakukan tanpa keperluan. Namun, ia tidak membatalkan puasa. Puasa tidak batal dengan merasa makanan selagimana ia tidak ditelan. Walaubagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan melainkan jika benar-benar berhajat dan mendesak. Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa merasa makanan adalah dibolehkan bagi mereka yang berhajat dengan dikecap di hujung lidahnya dan perbuatan ini tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih selagi mana makanan tersebut tidak ditelan. Situasinya adalah seperti tukang masak atau surirumah yang sedang memasak di dapur. Bagi mereka yang tidak ada keperluan untuk merasa makanan, maka hukumnya adalah makruh sebagaimana fatwa-fatwa yang dikemukakan.