RASULULLAH -صلى الله عليه وسلم-MILIKI AKHLAK TERINDAH
Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- adalah nabi dan rasul terakhir yang Allah -سبحانه وتعالى- utuskan diatas muka bumi. Pengutusan Baginda sebagai penutup para Nabi ini dinyatakan secara jelas didalam al-Quran. Firman Allah -سبحانه وتعالى- :
﴿مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ …﴾ [الأحزاب: 40]
Maksudnya : «Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang lelaki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup para nabi…»
Menurut Tafsir Ibnu Katsir, ayat ini adalah merupakan bukti yang sangat tegas bahawa tidak ada nabi dan rasul setelah Baginda -صلى الله عليه وسلم- . Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- mempunyai peribadi yang sangat unggul. Baginda merupakan cerminan kepada akhlak al-Quran, sama ada dalam hal perintah, larangan, karakter dan perangai. Segala yang diperintahkan al-Quran, maka Baginda pasti akan mengerjakannya, dan apa pun yang dilarang al-Quran, Baginda pun pasti akan menghindarinya.[1] Sepertimana yang pernah dinyatakan oleh Saiyidatina ‘Aisyah R.ha tentang akhlak Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- :
كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
Maksudnya: Adalah akhlak Nabi -صلى الله عليه وسلم- itu Al-Quran. (HR Ahmad : 25813)
Keindahan akhlak Baginda -صلى الله عليه وسلم- diiktiraf oleh Allah -سبحانه وتعالى- sendiri. Hal ini dapat dilihat sepertimana yang terdapat dalam Surah al-Qalam ayat keempat, Allah -سبحانه وتعالى- berfirman :
﴿وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ﴾ [القلم: 4]
Maksudnya : «Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia»
Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- adalah orang yang mempunyai akhlak yang terbaik dalam kalangan kaumnya, dan Baginda -صلى الله عليه وسلم- adalah orang yang paling menjauhi kejahatan dan akhlak yang rendah. Baginda -صلى الله عليه وسلم- merupakan orang yang paling baik menjaga maruah, paling baik pergaulan, sebaik-baik jiran, paling berlemah lembut, paling bercakap benar dan paling amanah. Oleh itu, Baginda -صلى الله عليه وسلم- digelar dengan al-Amin oleh kaumnya. Gelaran ini diberikan kerana Baginda memiliki sifat lemah lembut, sabar, bersyukur, adil, tawaduk, menjaga kesucian diri, pemurah, berani dan pemalu.
Sifat ini diakui sendiri oleh musuh ketat Baginda -صلى الله عليه وسلم-, iaitu al-Nadr bin al-Harith daripada bani Abd al-Dar, katanya :
“Ketika Muhammad masih remaja, beliau adalah orang yang paling kamu redai, kata-katanya paling kamu percayai dan orang yang paling amanah dalam kalangan kamu. Tetapi apabila beliau dewasa dan membawa apa yang dibawanya sekarang, kamu mengatakannya sebagai tukang sihir. Tidak! Demi Allah! Beliau bukan tukang sihir”. [2]
Kemuliaan akhlak Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- turut diakui oleh masyarakat zaman Baginda. Antaranya adalah sebagaimana yang diungkapkan oleh Saiyidina Anas bin Malik r.hu yang pernah menjadi khadam Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- katanya :
خَدَمْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم تِسْعَ سِنِينَ فَمَا أَعْلَمُهُ قَالَ لِي قَطُّ لِمَ فَعَلْتَ كَذَا وَكَذَا وَلاَ عَابَ عَلَىَّ شَيْئًا قَطُّ .
Maksudnya : “Aku berkhidmat dengan Nabi -صلى الله عليه وسلم- selama 9 tahun. Dan aku tidak pernah langsung mendengar Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- berkata kepadaku ((Kenapa engkau lakukan ini dan ini?)) dan Nabi -صلى الله عليه وسلم- tidak pernah langsung mengaibkan aku dengan sesuatu pun”.[3]
-صلى الله عليه وسلم-
[1] Tafsir Ibnu Katsir. 2023. Jakarta : Pustaka Imam asy-Syafi’I @Telaga Biru.
[2] Nur al-Yaqin Kitab Sirah Rasulullah S.A.W. 1998. KL : Pustaka Salam Sdn Bhd.
[3] HR Muslim : 2309