CARA NABI MUHAMMAD SAW MENYAMBUT HARI RAYA
1. Memperbanyak Takbir.
2. Mandi sunat pada pagi hari raya.
3. Memakai pakaian yang terbaik.
4. Makan sebelum solat sunat Aidilfitri.
5. Mengerjakan solat sunat Aidilfitri.
6. Melalui jalan lain semasa pergi dan pulang menunaikan solat raya
7. Mengeratkan hubungan silaturahim.
8. Memberi ucapan selamat.
9. Saling maaf bermaafan.
10. Mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal.
1. MEMPERBANYAK TAKBIR.
• Firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيْٓ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْاٰنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنٰتٍ مِّنَ الْهُدٰى وَالْفُرْقَانِۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۗ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلٰى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللّٰهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ ۖ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللّٰهَ عَلٰى مَا هَدٰىكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.”
(Surah al-Baqarah 2: 185)
Waktu Untuk Bertakbir
Waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri bermula daripada terbenamnya matahari malam raya (waktu maghrib 1 Syawal) sehingga takbiratul ihram solat sunat Aidilfitri.
2. MANDI SUNAT PADA PAGI HARI RAYA
Kita digalakkan untuk mandi sunat pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sama ada menghadiri solat sunat raya ataupun tidak.
Dalilnya diambil berdasarkan amalan para sahabat:
عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya: “Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar r.a. mandi pada Hari Raya Aidilfitri sebelum pergi ke tempat solat.”
Al-Nawawi menukilkan di dalam kitab al-Majmu’:
“Imam Syafie dan alirannya berkata: Diharuskan mandi pada dua hari raya, dan perkara ini tiada perselisihan. Perkara yang muktamad padanya ialah amalan Ibnu Umar, dan turut diqiaskan pada Solat Jumaat.”
3. MEMAKAI PAKAIAN YANG TERBAIK
Imam Syafie menjelaskan dalam kitab al-Umm:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”
4. MAKAN SEBELUM SOLAT SUNAT AIDILFITRI
Daripada Anas bin Malik r.a., beliau berkata:
لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ وَقَالَ مُرَجَّأُ بْنُ رَجَاءٍ حَدَّثَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي أَنَسٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: “Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a. berkata: Rasulullah SAW memakannya dalam jumlah yang ganjil.”
(Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, kita disunatkan untuk makan sebelum melaksanakan solat sunat raya. Hal ini bagi mengelakkan segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada 1 Syawal.
5. MENGERJAKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI
Daripada Abu Sa’id Al Khudri r.a., ia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى المُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ، وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ
Maksudnya: “Pada Aidilfitri dan Aidiladha Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan), dan perkara pertama yang baginda lakukan adalah solat sehingga selesai. Kemudian baginda berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk di saf mereka. Baginda menyampaikan pengajaran, wasiat dan memerintahkan mereka. Dan apabila baginda ingin mengutus pasukan, maka baginda sampaikan atau baginda perintahkan (untuk mempersiapkannya), setelah itu baginda berlalu pergi.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari,No. Hadis 956)
6. MENGGUNAKAN JALAN YANG BERLAINAN KETIKA PERGI DAN PULANG DARI MASJID
Kita digalakkan menggunakan jalan yang berbeza untuk pergi dan pulang dari tempat solat.
Daripada Jabir bin ‘Abdullah r.a., ia berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Jika Rasulullah SAW solat hari raya, baginda mengambil jalan yang berbeza (antara pergi dan kembali ke tempat solat).”
(Hadis riwayat al-Bukhari,No. Hadis 986,)
7. MENGERATKAN HUBUNGAN SILATURAHIM
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.”
(Hadis riwayat al-Bukhari,No. Hadis 5986.)
8. MEMBERI UCAPAN SELAMAT DAN MENDOAKAN
• Daripada Jubair bin Nufair r.a. katanya:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).”
(Ibnu Hajar, Kitab Fath al-Bari, Syarah Bab Makan Sebelum Keluar Solat Pada Hari Raya Aidilfitri, diriwayatkan oleh Jubair bin Nufair, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani)
9. SALING MAAF BERMAAFAN
Firman Allah SWT:
وَسَارِعُوْٓا إِلٰى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالْأَرْضُۙ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَۙ
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa,”
الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى السَّرَّۤاءِ وَالضَّرَّۤاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِۗ وَاللّٰهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَۚ
Maksudnya: “(Iaitu) orang yang berinfak, pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”
(Surah Ali ‘Imran 3: 133-134)
10. MENGERJAKAN PUASA SUNAT ENAM HARI DI BULAN SYAWAL
Daripada Abu Ayyub al-Ansari r.a., meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa selama setahun.”
(Hadis riwayat Muslim, No. Hadis 1164)