KEINDAHAN PAHALA 6 SYAWAL
Kaum muslim yang berpuasa Ramadan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Abu Ayyub Al-Ansari radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah saw bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْر
رواه مسلم
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)”
(Riwayat Muslim, Hadis No: 1164)
Di dalam hadis ini Nabi Muhammad saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas Ramadan akan diberi ganjaran pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Hal ini kerana puasa sunat satu hari, pahalanya bersamaan dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan pahalanya bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun. Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan menyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diberi ganjaran sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu. Paling awal dimulakan puasa sunat adalah pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ
رواه مسلم
“Rasulullah saw melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.”
(Sahih Al-Bukhari no: 1991)
Syarat-syarat dan segala adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Dikalangan para ulama’ yang lebih disepakati adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Nabi Muhammad saw hanya menyebut bulan Syawal secara umum, tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal, asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan selepas berakhir bulan Syawal.
Semua amalan sunat adalah sebagai penampung dan penambah kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Seharusnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki segala kekurangan dalam ibadat puasa di sepanjang Ramadhan. Puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada Allah swt.