JANGAN BUAT ORANG LARI!
Nabi -صلى الله عليه وسلم- mempunyai akhlak yang terpuji. Sesiapa yang mengenali Baginda -صلى الله عليه وسلم- pasti akan terpegun dan mencintai diri Baginda. Hal ini dapat dibuktikan dengan terdapat banyak riwayat hadis yang menceritakan berkenaan kesempurnaan dan kebaikan akhlak Baginda, termasuklah daripada isteri Baginda -صلى الله عليه وسلم- sendiri.
Antara kebaikan akhlak Nabi -صلى الله عليه وسلم- , dapat kita lihat dalam satu hadis yang terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhari, iaitu Imam al-Bukhari ada menukilkan hadis yang diriwayatkan daripada Saiyidina Anas, bahawa Nabi -صلى الله عليه وسلم- bersabda :
(يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوْا وَلَا تُنَفِّرُوْا)
Maksudnya : “Permudahlah dan jangan mempersulit. Sampaikanlah berita gembira dan jangan membuat orang lari!”
Imam al-Nawawi r.h dalam menghuraikan hadis ini menyatakan, jika hanya disebutkan perkataan يَسِّرُوا –permudahlah-, tentu hal itu juga berlaku atas orang yang memberi kemudahan hanya satu kali namun memberi kesulitan berkali-kali. Maka Nabi -صلى الله عليه وسلم- menyebutkan perkataan يَسِّرُوا yang kemudiannya ditegaskan dengan kata وَلَا تُعَسِّرُوا – dan jangan mempersulit!– untuk mencegah tindakan membuat kesulitan dalam segala kondisi.[1]
Dalam matan hadis ini juga disebutkan perkataan وَبَشِّرُوْا – “Sampaikanlah berita gembira.”, menurut Imam Ibnu Hajar, hadis ini juga ada disebutkan dalam hadis yang lain dengan lafaz yang berbeza, iaitu وَسَكِّنُوا [2] yang bermaksud – buatlah tenang – yang menjadi lawan kepada perkataan وَلَا تُنَفِّرُوْا – jangan membuat orang lari –
Tujuan daripada perintah ini adalah untuk menarik hati orang yang baru masuk Islam dan bersikap tidak keras terhadap mereka pada awal pertemuan. Begitulah juga dalam melaksanakan teguran dan berhadapan dengan orang yang melakukan perbuatan maksiat, hendaklah menggunakan metode kelembutan agar seruan itu boleh diterima.
Hadis ini juga ada dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab Riadus Solihin, dan menurut huraian hadis ini yang dinyatakan dalam Kitab Nuzhah al-Muttaqin, hadis ini mengandungi faedah yang dinyatakan sebagai kewajipan seseorang mukmin itu ialah untuk menjadikan manusia menyukai kebaikan dan menggalakkan mereka untuk melakukan kebaikan, serta berhati-hati daripada menjadikan orang ramai menjauhi kebaikan atau lari daripadanya. Hal ini boleh berlaku sekiranya seseorang mukmin itu bersikap keras dan kasar dengan mereka.[3]
Kesimpulannya, sepertimana yang terdapat dalam riwayat yang lain dengan sedikit perbezaan dari sudut lafaz hadis ini, ianya menunjukkan bahawa Nabi -صلى الله عليه وسلم- mengajar sahabat-sahabat Baginda r.hum agar sentiasa mempermudahkan manusia dalam setiap urusan. Hadis ini juga mengandungi himpunan kebaikan untuk dunia dan juga akhirat. Hal ini kerana, dalam urusan-urusan yang berkaitan dengan dunia, Nabi -صلى الله عليه وسلم- memerintahkan agar dipermudahkan, manakala dalam perkara yang berkaitan dengan akhirat, diperintahkan agar memberikan janji-janji yang baik dan memberikan berita yang menggembirakan sebagai membenarkan diri Baginda yang merupakan rahmat bagi sekalian alam sama ada didunia mahupun di akhirat.[4]
Melalui hadis ini juga, Islam perlu difahami dalam bentuk agama yang bersifat wasatiyyah dan tidak bersifat melampau. Ianya hadir dalam keadaan yang mudah untuk diamalkan dan tidak membebankan manusia dengan perkara-perkara yang tidak mampu untuk dilakukan.
[1] Ibnu Hajar al-‘Asqalani. Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari (Kitab Ilmu). Jakarta : Pustaka Imam Asy-Syafi’i. Jil 2/98
[2] Imam al-Bukhari. Sahih al-Bukhari (Kitab al-Adab : Bab Qaul al-Nabi Sallallahu’alaihiwasallam : Yassiru wa la Tu’assiru) – Hadis No:6125. T.tp : Dar al-Tuq al-Najah. 8/30
[3] Mustofa Said al-Khin. Mustofa al-Bugha. Muhyiddin Misto. Ali al-Syarbaji. Muhammad Amin Lutfi. 1987. Nuzhatul Muttaqin Syarh Riadus Solihin Min Kalam Saiyidil Mursalin. Beirut : Muassasah al-Risalah. 532
[4] Alwi bin Abd al-Qadir al-Saqqaf. 1443H. Al-Dorar al-Saniyyah : Al-Musu’ah al-Haditsiyyah. https://dorar.net/hadith/sharh/148938