RAIKAN SYAWAL
Alhamdulillah, satu lagi anugerah, nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita semua iaitu nikmat untuk meraikan Hari Raya Aidil Fitri. Satu hari, yang dikenali sebagai hari kemenangan buat umat Islam, dan menjadi kewajipan kita untuk sentiasa bersyukur dan memuji akan kebesaran Allah SWT akan anugerah ini.
Namun,sama ada kita sedar atau tidak meskipun hari raya aidil fitri ini merupakan hari kemenangan hari kegembiraan buat Umat Islam, tetapi kita di Malaysia ini sebahagiannya meraikan hari mulia ini dengan kesedihan. Bahkan, kalau kita lihat di television, radio dan sebagainya menambahkan hadirnya perasaan sedih dalam diri umat Islam di Negara ini dalam meraikan syawal. Kenapa saya kata seperti berkenaan, jika kita tengok ketika raya ini lah banyak filem-filem, rancangan-rancangan yang menyentuh hati yang disiarkan. Bahkan, disesetengah kawasan yang takbir rayanya terlalu mendayu sehinggakan hari yang sepatutnya kita bergembira dan memuji kebesaran Allah SWT bertukar menjadi suasana yang sedikit sedih.
Hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi sesuatu bangsa semata atau cetusan idea mana-mana pihak. Bahkan hari raya ini Adilifitri ini adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada padanya hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum Muslimin membesarkan Allah, ia juga adalah hari kemenangan dan kegembiraan. Bahkan, kalau kita lihat Nabi Sallallahu alaihi wasallam juga menunjukkan bagaiman baginda menghayati hari raya ini dengan penuh kegembiraan dan ceria. Sepertimana kata Ummu Atiyyah Radiallahu anha : Rasulullah SAW memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin”. (Riwayat Bukhari).
Daripada hadis ini sudah cukup menjelaskan bagaimana Baginda Sallallahu alaihi wasallam sangat menggalakan umat Islam untuk meraikan hari raya Aidil fitri ini dengan penuh kegembiraan dan ceria. Tidak kira siapa pun, lelaki perempuan, kaya miskin, kanak-kanak atau golongan dewasa. Semua berhak dan perlu meraikan hari raya dengan kebebasan dan kegembiraan. Sebagai kesimpulan, muslimin muslimat, kita kene sedar, kena faham bahawa hari raya aidilfitri ini merupakan salah satu nikmat dan anugerah terbesar yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Tidak semua hambanya mendapat ruang dan peluang untuk meraikan hari kemenangan dan kegembiraan Islam ini. Perbanyakanlah berzikir memuji membesarkan Allah SWT. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang bersyukur keatas setiap nikmat yang diberikan.