KAEDAH MEMBACA PERMULAAN SURAH AL-TAUBAH
Merujuk kepada pandangan Imam al-Nawawi, pembaca al-Quran dituntut membaca basmalah(bismillah) pada setiap permulaan surah melainkan pada surah al-Taubah kerana untuk menjaga kemuliaan lafaz tersebut.
Namun begitu, masih terdapat beberapa panduan dan cara-cara bagi para pembaca untuk membaca serta memulakan bacaan pada surah berkenaan. Antara kaedah yang telah ditetapkan untuk memulakan bacaan di awal surah ini ialah:
Pertama: Memulakan Bacaan Dengan Lafaz Istiazah.
Isti‘azah atau al-ta‘awuz yang dikenali dengan lafaz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) pada awal surah al-Taubah terdapat dua kaedah. Sheikh ‘Atiyyah menerangkan dua cara ini dalam karyanya:
أما إذا كان القارئ مبتدئًا بأول سورة براءة، فله فيها وجهان:
1- الوقف على الاستعاذة وفصلها عن أول السورة بدون بسملة.
2- وصل الاستعاذة بأول السورة بدون بسملة أيضًا
Maksudnya: “Adapun jika pembaca itu memulakan surah baraah (surah al-Tubah), maka untuk membaca surah itu dua wajah:
1) Wakaf pada lafaz istiazah dan membaca awal surah tersebut tanpa basmalah.
2) Sambung bacaan isti’azah dengan permulaan surah tanpa menyebut basmalah”.
(Rujuk Ghayat al-Murid fi ‘Ilm al-Tajwid)
Kedua: Membaca Akhir Surah al-Anfal dengan Awal Surah al-Taubah
Sheikh Mahmud Sibawaih menjelaskan tentang cara membaca akhir surah al-anfal dengan surah al-taubah boleh dibaca dengan tiga wajah iaitu secara qat’i (الوقف), saktah (السكت) dan membaca secara wasal (الوصل) tanpa membaca basmalah. Menurut sheikh ‘Atiyyah lagi berkenaan wajah ini:
- Wajah qat’i (القطع)
Cara bacaan mengikut wajah ini ialah dengan wakaf pada akhir surah al-anfal kemudian membaca permulaan surah al-Taubah.[4]
- Wajah saktah (السكت)
Definisi saktah (السكت) ialah diam atau menghentikan seketika bacaan dalam al-Quran tanpa menarik nafas kemudian menyambung bacaannya dengan nafas yang sama.[5] Dengan kata lain, para pembaca perlu berhenti seketika dengan kadar saktah kemudian menyambung bacaan pada surah al-taubah dengan nafas yang sama.
- Wajah Wasal (الوصل)
Bacaan dengan wajah wasal pula ialah menyambung terus bacaan ayat akhir di surah al-Anfal dengan permulaan ayat surah al-Taubah tanpa disertai dengan lafaz basmalah.[6]
Kaedah untuk memulakan bacaan surah al-Taubah boleh dibaca dengan dua kaedah iaitu melalui bacaan lafaz isti‘azah pada permulaan surah atau melalui kaedah bacaan akhir surah al-Anfal. Bagi yang memulakan bacaan dengan lafaz isti‘azah boleh menggunakan dua cara iaitu dengan wakaf(berhenti) atau wasal(sambung) antara isti‘azah dengan awal ayat surah tersebut. Manakala bagi yang menggunakan kaedah akhir surah al-Anfal boleh menggunakan wajah bacaan secara wakaf, saktah (berhenti seketika tanpa menarik nafas) dan wasal.
Tag:jomshare, sedekah, ustazustazahcom