QURBAN: AFDAL DIBERI KEPADA SIAPA?
Apabila menjelang bulan Zulhijjah, sudah pasti umat Islam sangat sinonim dengan amalan ibadah penyembelihan Qurban. Amalan yang disyariatkan pada tahun kedua Hijrah ini hanyalah semata-mata untuk mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Firman Allah SWT, Maksudnya, “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”, Surah Al-Kauthar, 2.
Menurut Wan Ahmad Naqiuddin dalam laman web Irsyad Fatwa, Haji Dan Korban Siri Ke-23: Pembahagian Yang Afdhal Bagi Daging Korban, hukum melaksanakan ibadah korban bagi Mazhab Syafi’ie adalah Sunat Muakkad. Hal ini demikian kerana, Qurban merupakan syiar dan tuntutan Islam yang wajib ke atas orang Muslim yang berkemampuan demi mencapai MardhatillahNya.
Selain itu, pembahagian agihan daging korban yang telah disembelih adalah berpandukan Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj: 28, “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin”. Hal ini bermakna, sunat untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut dan selebihnya diagihkan kepada golongan fakir dan miskin. Sunat memakan sebahagian daging korban itu adalah kerana untuk beramal dengan zahir nas Al-Quran dan mengambil sunnah Rasulullah SAW serta diharapkan akan mendapat ganjaran pahala kerana mengikuti perlakuan Baginda SAW.
Namun demikian, jika seseorang melakukan Korban Wajib atau Korban Nazar, maka diwajibkan ke atas mereka untuk menyedekahkan kesemua daging korban kepada golongan fakir miskin serta tidak harus bagi mereka untuk memakan sebahagian daging tersebut.
Walaupun begitu, dibolehkan juga memberi 1/3 daripada agihan daging korban tersebut kepada golongan yang kaya dan mampu tamsilnya diberikan kepada saudara-mara dan jiran tetangga. Namun, menyedekahkan kepada golongan miskin adalah lebih afdhal daripada memberikannya kepada golongan kaya. Ditulis di dalam Kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis, Maksudnya: “Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya”.
Kesimpulannya, berkorbanlah bagi golongan yang mampu demi mencapai redha Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah: 27, “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertakwa.” Allah SWT menyambung di dalam ayat yang lain pula, “Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya”, Al-Hajj: 37. Dengan berkorban, si kaya dapat membersihkan hati nurani dengan menyedekahkan daging kepada si miskin, maka sudah pasti sedikit sebanyak dapat meringkan beban si miskin dan memberi mereka merasai nikmat daging itu sendiri.
Tuntasnya, ibadah korban yang dilaksanakan dengan penuh ketakwaan dan ketaatan kepadaNya, pasti akan diganjarkan pahala yang berlipat ganda olehNya. Binatang yang menjadi korban pula sudah pastinya, akan menjadi saksi kepada amalan kita di hari akhirat kelak. Akhir kata, semoga korban yang dilakukan mendapat redhaNya dan menjadikan kita hamba yang lebih bersyukur kepadaNya.