BIASAKAN TAHIYYATUL MASJID
Diriwayatkan Abu Qatadah Al-Ansari R.A, beliau berkata Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Apabila salah seorang daripada kamu masuk ke masjid, maka janganlah dia duduk sehingga selesai solat dua rakaat”. (Riwayat Bukhari no. 1167)
Jika dahulu, amalan solat sunat tahiyyatul masjid ini tidak pernah diabaikan oleh para ulama dan orang awam. Namun, apa yang berlaku pada zaman-zaman yang terkemudian, amalan ini semakin luput bahkan mereka seakan tidak memahami dengan jelas berkenaan solat sunat tahiyyatul masjid. Jelas kelihatan pada zaman ini di Malaysia khususnya, apabila musim cuti sekolah atau perayaan, ramai yang menjadikan masjid-masjid sebagai destinasi persinggahan buat mereka. Ada yang berhenti di masjid sekadar atau semata-mata untuk membuang hadas. Adakah perbuatan ini salah? Jawapannya tidak. Tetapi disana ada amalan yang perlu dilaksanakan sebagai adab atau tanda penghormatan kita apabila kita berada dimasjid iaitu menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid.
Menurut Al-Allamah Ibnu Qayyim dalam Zaadul Ma’aad, Nabi sallallahu alaihi wasallam menganjurkan solat dua rakaat tahiyyatul masjid bagi orang yang masuk ke masjid. Bahkan ini lah perbuatan yang perlu dilakukan dahulu sebelum bertegur sapa dengan jemaah yang berada di masjid. Solat tahiyyatul masjid ini adalah tanda kita menghormati masjid yang kita masuki dan ianya merupakan hak Allah yang perlu kita utamakan. Situasi ini lah yang berlaku pada zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dimana apabila para sahabat memasuki masjid, mereka akan melaksanakan solat sunat dua rakaat dahulu sebelum memberi salam kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam.
Apakah hukum solat sunat tahiyyatul masjid ini? Sepakat imam-imam empat mazhab berpandangan ianya adalah sunat. Menurut Imam An-Nawawi dalam majmu’ al-muhazzab menyatakan sepakat ulama menyatakan solat sunat tahiyyatul masjid ini adalah sunnah dan jika tiada keuzuran makhruh hukummnya jika duduk dalam masjid tanpa menunaikan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu. Lalu bagaimana pula mereka yang terlupa untuk menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum duduk. Hal ini sabit dengan kisah dimana baginda sallallahu alaihi wasallam mengarahkan Sulaik Al-Ghatfani agar melakukan solat sunat dua rakaat selepas dia duduk. Daripada Jabir R.A berkata ketika sulaik Al-Ghatfani masuk untuk solat jumaat dan ketika itu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berada diatas mimbar, beliau terus duduk. Maka baginda bertanya kepada beliau yang bermaksud “Adakah kamu telah mendirikan solat sunat dua rakaat?” maka jawab sulaik “belum”. Kemudian baginda bersabda yang bermaksud “ bangun dan solat dua rakaat”. Maka disini jelas bagi sesiapa yang masuk ke masjid dan terus duduk kerana jahil atau lalai, dituntut untuk mereka untuk menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid. Maka disini jelaslah bahawa betapa pentingnya solat sunat tahiyyatul masjid ini sebagai lambang penghormatan kita kepada masjid. Namun perlu diingatkan, perintah ini luput kepada mereka yang masuk ke masjid untuk menunaikan solat sunat yang lain atau solat wajib.