PUSAT NADI AL-QURAN
NADI Al-Quran merupakan sebuah program jangka masa panjang yang menyasarkan golongan asnaf, B40 dan kurang kemampuan dalam memberi ruang dan peluang pendidikan Al-Quran serta pengukuhan asas fardhu ain. Setakat 14 Jun 2023 sebanyak 6 buah pusat Nadi Al-Quran berjaya dibuka di beberapa negeri iaitu Sabah, Negeri Sembilan dan Perak. Setiap lokasi mempunyai sebab dan kisah tersendiri dalam penubuhannya. Walaupun begitu, matlamatnya tetap sama iaitu bagi melahirkan generasi celik Al-Quran dan membawa nilai Al-Quran dalam diri sepanjang kehidupannya. Nilai Al-Quran tersebut bakal menjadikan anak-anak ini bagaikan permata dicelahan kaca yang bersinar dan memberi impak serta manfaat kepada yang lain.
Dengan matlamat yang besar ini, pengukuhan bacaan Al-Quran adalah sangat penting dalam diri anak-anak sejak kecil Oleh itu Nadi Al-Quran dibuka bagi kanak-kanak sahaja iaitu mereka yang berumur bawah dari 18 tahun. Ustazustazah.com yakin dan percaya, setiap anak-anak ini mempunyai kelebihan dan nilai tersendiri untuk digilap, meski mereka hanya berumur 7 tahun ketika mula-mula mendaftar di Nadi Al-Quran -insya Allah- dengan pelbagai aktiviti dan program yang diadakan serta perancangan-perancangan supaya anak-anak ini terus didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan, dan pengalaman bagi membentuk pemikiran serta akhlak mereka.
Berikut merupakan senarai pusat Nadi Al-Quran yang sedang beroperasi dibawah seliaan Ustazustazah.com. Tenaga pengajar ditaja sepenuhnya termasuk segala keperluan-keperluan sepanjang pembelajaran dan pengajaran. Bagi Pusat Nadi Al-Quran yang pertama ialah di Kg Bahagia, Sandakan, Sabah. Kg Bahagia merupakan salah sebuah perkampungan atas air yang mempunyai ratusan anak-anak kecil. Keadaan anak-anak disana ramai yang buta huruf Al-Quran dan juga tercicir dari memasuki sekolah atas sebab dokumen. Hal ini menyebabkan ramai dalam kalangan mereka yang ketandusan ilmu agama. Mereka sangat komited dan menghargai peluang pembelajaran yang diberi. Ini membuatkan Ustazustazah.com tetap terus bersemangat dalam misi dakwah ini.
Pusat yang kedua dibuka di Kg Sri Melenggang, Rembau, Negeri Sembilan. Permulaan pembukaan pusat Nadi Al-Quran di Kg Sri Melenggang, Rembau adalah menyasarkan golongan asnaf melalui data peribadi yang Ustazustazah.com ada melalui program-program bersama asnaf sebelum ini dan juga kerjasama dengan sekolah-sekolah sekitar surau. Guru-guru sekolah tersebut telah menapis dan memberikan senarai nama pelajar yang layak untuk menyertai pusat ini. Pusat ini bagi memberi lebih peluang kepada anak-anak dalam mendapatkan pelbagai pengalaman dan pendedahan melalui aktiviti dan kaedah pengajian yang tidak tertumpu kepada buku teks.
Sekitar sesi pengajaran di Kg Sri Melenggang, Rembau, Negeri Sembilan.
Seterusnya, di Kg Karamunting, Sandakan, Sabah. Kg Karamunting merupakan kampung terpencil disebelah industri minyak sawit. Anak-anak yang bersekolah di SK Karamunting ramai yang buta huruf hijaiyah walaupun ada matapelajar bahasa Arab. Anak-anak ini terdiri daripada keluarga yang kurang mampu untuk membiayai kelas Al-Quran berbayar dan kebanyakkan anak-anak ini adalah dari golongan yatim ataupun ‘broken family’.
Taman Jelawat, Teluk Intan, Perak merupakan pusat yang keempat dibuka di Perak. Nadi Al-Quran menaja pembelajaran anak-anak dan ramai dalam kalangan mereka, keluarganya tergolong dalam golongan asnaf dan B40 yang kurang mampu untuk membiayai kos pembelajaran Al-Quran secara tetap setiap bulan. Memberi galakan positif dan sokongan buat anak-anak untuk terus belajar Al-Quran.
Pusat kelima juga merupakan pusat kedua di Perak ialah di Taman Sri Bahagia, Teluk Intan, Perak. Program ini sangat membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dalam pengajian Al-Quran memandangkan kelas adalah percuma. Majoriti pelajar di pusat ini merupakan golongan b40 dan warga tempatan disitu yang memudahkan perjalanan mereka ke kelas sama ada berjalan kaki atau menaiki basikal memandangkan ada ibu bapa yang bekerja sehingga lewat malam. Ini memberi lebih ruang dan peluang kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu agama dan tiada sebab untuk tidak hadir kerana pusat ini hanya dalam taman perumahan sahaja.
Lokasi yang baru dibuka pada Disember 2022 ialah di Kg Gana, Kota Marudu, Sabah. Pengenalan bersama warga Kg Gana adalah ketika Ustazustazah.com dibawa ke sana oleh ikon UUC iaitu Ustaz Nazrey Johani dalam suatu program pengislaman. Rata-rata peratus penduduk yang memeluk Islam kian meningkat di sana. Perkenalan bersama tenaga pengajar sana yang juga seorang muallaf juga menjadi titik permulaan pembukaan pusat Nadi Al-Quran di Kg Gana bagi terus mendidik dan memberi pengajian Al-Quran serta memperkuatkan asas agama dalam kalangan anak-anak disana.
Nadi Al-Quran terus melangkah ke depan dan melebarkan sayapnya terutamanya di Sabah. Seperti di Kg Bahagia, permintaan untuk mengikuti pembelajaran Al-Quran sangat menggalakkan. Oleh itu, dibina dan dibuka kelas baru pada Mei 2023 buat anak-anak di Kg Bahagia. Alhamdulillah sekarang mampu menempatkan lebih dari 100 orang pelajar untuk mempelajari Al-Quran di kampung tersebut.
Sekitar sesi pembelajaran di Kg Bahagia, Sandakan, Sabah yang mengambil pendekatan kaedah guru muda bagi pelajar yang telah memahami sesuatu bab itu.
Semoga usaha ini terus memberi manfaat kepada lebih ramai anak-anak dan melahirkan mereka yang menerapkan nilai Al-Quran dalam kehidupan harian mereka. Jika mereka menjadi doktor, mereka akan menjadi doktor yang berpegang teguh dengan ajaranNya. Jika mereka menjadi angkasawan, merekalah yang terus berdakwah melalui kehebatan dan kebesaran penciptaanNya. Jika mereka menjadi jurutera, tetaplah pendirian mereka dalam melakukan projek dengan telus.
Rabbi yassir wala tuassir ya karim