BADAL HAJI: LAKSANAKANLAH HAK ARWAH TERSAYANG
IBADAH Haji merupakan Rukun Islam yang kelima bagi sekalian Umat Islam yang berkemampuan dan ianya dihukumkan Wajib untuk ditunaikan sekurang-kurangnya hanya sekali dalam seumur hidup. Sekiranya ia ditunaikan lebih daripada sekali, maka ianya dikira sebagai Sunat sahaja. Seperti mana Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya”, Surah Ali-Imran: 97.
Menurut Bayan Li Al-Haj Siri 2: Pengertian Haji Dan Umrah Serta Perbezaannya yang ditulis di dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, “kemampuan” untuk menunaikan Haji itu ialah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan juga untuk orang lain. Kemampuan juga bermakna seseorang itu mampu menyediakan perbelanjaan kendiri, mempunyai kenderaan serta aman sewaktu dalam perjalanan menunaikan Haji. Seseorang itu juga perlulah sihat tubuh badan dan mempunyai kelapangan masa seperti cuti dan bebas daripada segala kongkongan mana-mana pihak.
Kita mulakan dengan makna perkataan “Badal” itu sendiri. Badal adalah perkataan bahasa Arab yang bererti ‘ganti’, atau ‘menggantikan’. Badal Haji pula adalah bermakna mewakilkan kepada waris atau orang lain untuk menggantikan seseorang yang uzur seperti sakit yang tiada harapan sembuh, terlalu tua, atau yang telah meninggal dunia untuk menunaikan ibadah Haji kerana tidak sempat menunaikan ibadah tersebut ketika masih hidup.
Perlu kita maklumi, asas syarat-syarat untuk mengerjakan haji terbahagi kepada lima yakni, Islam, Baligh, Berakal, Merdeka dan Berkemampuan. Jika terpenuhi kesemua syarat ini, maka seseorang itu wajib mengerjakan Haji di tanah suci Mekah Al-Mukarramah.
Rentetan daripada itu, bagi syarat yang kelima iaitu “Berkemampuan”, apakah yang dimaksudkan dengan berkemampuan? Seperti yang telah dikarang oleh al-Imam al-Syafie di dalam kitabnya, al-Fiqh al-Manhaji, beliau menyebut berkemampuan itu adalah apabila seseorang itu mampu dan berupaya untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan tubuh badannya sendiri tanpa mengalami sebarang kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya. Selain itu, seseorang itu juga hendaklah memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia.
Maka di sini, jika seseorang telah mencukupi syarat-syarat wajib Haji, namun belum sempat menunaikan haji meskipun sudah berkemampuan, maka warisnya wajib mengerjakan Badal Haji bagi ibu atau bapanya yang telah meninggal dunia. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk mengerjakan haji. Adakah aku perlu mengerjakan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya, tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bukankah sekiranya ibumu berhutang, kamu akan menyelesaikannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Tunaikanlah hutang Allah kerana hutang Allah lebih berhak ditunaikan”, Riwayat al-Bukhari (7315)
Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, di dalam Al-Kafi #1849: Adakah Wajib Mengerjakan Badal Haji Bagi Orang Yang Telah Meninggal Dunia, mengupas secara terperinci akan Hadis ini. Penulis laman itu mengupas bahawa apabila Haji disamakan dengan hutang, maka ia merupakan suatu perkara yang besar dan amat mustahak kerana hutang wajib dibayar. Beliau menambah lagi bahawa wajib mengerjakan Haji bagi pihak si mati kerana ia merupakan beban hutang bagi si mati yang mana perbelanjaan tanggungan kos Haji itu diambil daripada harta tinggalan si mati. Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta pusaka yang mencukupi, maka gugur kewajipan haji ke atas si mati.
Akhir kata, semoga para Haji dan Hajjah dikurniakan Haji yang Mabrur dan Mabrurah seusainya para jemaah pulang ke tanah air dan akan mengekalkan momentum amalan ibadah mereka yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh semasa berada di tanah suci Mekah dan Madinah. Insya-Allah.