AKHLAK SEORANG MUSLIM TERHADAP MUSLIM
ISLAM & IKATAN PERSAUDARAAN
Islam adalah agama yang Allah -سبحانه وتعالى- perintahkan kita untuk berpegang dengannya. Ianya juga adalah agama seluruh para Nabi dan Rasul, meskipun berbeza syariat dan berlainan manhaj.[1] Islam, jika dilihat kepada maksudnya dari sudut bahasa bererti penyerahan dan kepatuhan. Dari sudut syarak, Islam diertikan sebagai, masuk kedalam agama Islam. Maksud ‘masuk ke dalam agama’ dihuraikan sebagai seseorang hamba itu menyerah diri kepada Allah -سبحانه وتعالى- dengan mengikuti segala yang dibawa oleh Rasul -صلى الله عليه وآله وسلم- seperti mengucap syahadah dengan lisan, membenarkan dalam hati dan beramal dengan anggota.[2] Dalam Islam, ikatan persaudaraan yang terjalin didalamnya merupakan sesuatu yang mulia.
Persaudaraan Islam adalah kurniaan daripada Allah kepada hamba-hamba Nya yang ikhlas. Ianya perlulah diikat dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah -سبحانه وتعالى- , agar ianya dapat memberi manfaat didunia sehingga akhirat. Sebagaimana tiadanya nilai ukhuwwah tanpa keimanan, begitulah tidak dikira sempurnanya iman seseorang sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.[3]
UKHUWWAH MANIFESTASI KEIMANAN
Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah -رضي الله عنه- katanya, Nabi -صلى الله عليه وآله وسلم- bersabda :
المُسْلِمُ أخُو المُسْلِمِ، لا يَظْلِمُهُ، ولا يَخْذُلُهُ، ولا يَحْقِرُهُ. التَّقْوَى هاهُنا. ويُشِيرُ إلى صَدْرِهِ ثَلاثَ مَرَّاتٍ. بحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أنْ يَحْقِرَ أخاهُ المُسْلِمَ. كُلُّ المُسْلِمِ علَى المُسْلِمِ حَرامٌ؛ دَمُهُ، ومالُهُ، وعِرْضُهُ.
Maksudnya : “Seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain. Dia tidak menzalimi saudaranya, tidak membohonginya dan tidak menghinanya. Takwa itu di sini, sambil menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga kali. Seseorang itu sudah dianggap berdosa jika dia menghina saudara selslamnya. Tiap-tiap orang muslim itu di atas saudaranya adalah haram: Darahnya, hartanya dan maruahnya.” (Hadis Riwayat Muslim: 2564)
KEISTIMEWAAN HADIS
Menurut huraian hadis ini sepertimana yang terdapat dalam kitab Syarah Hadis 40 Imam Nawawi & Tatmim al-Kafi[4], penulis menyatakan :
“ Hadis ini menegaskan tentang kepentingan ukhuwwah Islamiyyah sebagai satu syiar Islam, hadis ini juga menerangkan dengan perintah dan larangan yang menjadikan ukhuwwah sebagai suatu realiti yang dapat dihayati dalam kalangan individu masyarakat Islam.
Hadis ini mengandungi hukum-hakam dan faedah yang besar untuk mencapai matlamat Islam yang murni dan menjaganya daripada segala kekurangan atau kecacatan supaya kalimah ukhuwwah itu tidak dijadikan sebagai slogan laungan manusia dan khayalan mereka sahaja, sedangkan mereka tidak dapat menghayatinya dalam realiti kehidupan.”
Melalui hadis ini, kita dapat melihat keindahan dan kebaikan Islam dari pelbagai sudut. Ianya bukan sahaja agama yang berkait dengan urusan akidah dan ibadah sahaja, bahkan Islam adalah agama yang sempurna, merangkumi soal akhlak dan muamalat pergaulan sesama manusia.
MUAMALAT YANG BAIK
Melayani manusia dengan akhlak yang buruk dan tingkah laku yang jelik lagi keji adalah dibenci oleh Allah -سبحانه وتعالى- , dan perkara ini sangat kontradiksi serta bercanggah dengan sunnah yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi -صلى الله عليه وسلم-.
Antara perkara yang perlu diawasi dalam hubungan sesama Muslim juga adalah, jangan menghina saudara seIslam, kerana ianya adalah termasuk dalam peringatan yang besar. Ini disebabkan Allah -سبحانه وتعالى- tidak menghina makhluk yang diciptakan dan direzekikan Nya. Subhaanallah.
Kasih sayang sesama muslim merupakan satu kemestian. Inilah perkara yang diasaskan oleh Baginda Nabi -صلى الله عليه وسلم- . Kehidupan sebegini berpunca daripada kemesraan berkomunikasi, kemesraan kecintaan dan kasih sayang serta saling bersimpati. Kejayaan Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- melahirkan masyarakat harmoni dan simpati dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan suasana kerjasama dalam masyarakat.[5]
Resmi padi. Semakin berisi semakin tunduk.
Imam al-Syahid Hasan al-Banna pernah berkata :
“Persaudaraan yang saya maksudkan ialah hati-hati dan roh-roh dihubungkan dengan ikatan akidah. Akidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain.”[6]
[1] Ibnu Katsir. 2004. Tafsir Ibnu Katsir (Terj). M.Abdul Ghoffar et al. Bogor : Pustaka Imam asy-Syafi’i. 1/279
[2] Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiyyah. 1404-1427. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Cet:2. Kuwait : Dar al-Salasil. 4/259.
[3] Ruj : Sahih al-Bukhari : 13
[4] Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2017. Syarah Hadis 40 Imam Nawawi & Tatmim al-Kafi. Cet:1. Nilai : Pustaka Cahaya Kasturi Sdn Bhd. 328
[5] Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2017. Syarah Hadis 40 Imam Nawawi & Tatmim al-Kafi. Cet:1. Nilai : Pustaka Cahaya Kasturi Sdn Bhd. 124
[6] Muhammad Abdullah al-Khatib. Muhammad Abdul Halim Hamid. 1990. Nazarat fi Risalati al-Ta’alim. Kaherah : Dar al-Tauzi’ wa al-Nashr al-Islamiyyah. 260.