Kisah Perjalanan Hijrah Dan Peristiwanya
Terdapat pelbagai kisah menarik daripada perjalanan hijrah Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat sewaktu hendak berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Perlu diketahui bahawa penghijrahan ini adalah kerana agama Allah SWT semata-mata dan bukanlah melibatkan keuntungan duniawi.
Firman Allah SWT:
وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً
Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur;
(Surah al-Nisa’: ayat 100)
Berdasarkan kisah hijrah nabi Muhammad SAW, boleh dilihat daripada hadis Riwayat al-Bukhari daripada Anas RA. Kebiasaannya semasa menunggang sesuatu, Abu Bakar RA akan berada di belakang Nabi SAW. Dia kelihatan seperti seorang tua yang dikenali, sementara Nabi SAW kelihatan seperti pemuda yang tidak dikenali. Kemudian, seseorang bertemu Saidina Abu Bakar RA lalu bertanya: “Siapa lelaki di hadapanmu itu? Jawabnya: Lelaki itu adalah penunjuk jalanku. Lalu si penyoal menyangka Saidina Abu Bakar RA bermaksud jalan yang dilalui, sedangkan di sebaliknya adalah jalan kebaikan.”
Dalam perjalanan itu, mereka dikejar oleh Suraqah bin Malik. Dia menceritakan: Ketika aku sedang duduk dalam majlis kaumku Bani Mudlij, tiba-tiba seorang lelaki datang dan memberitahu sesuatu: Hai Suraqah, aku lihat kelibat orang di tepi pantai dan sangkaanku mereka adalah Muhammad dan sahabatnya. Aku berkata kepadanya: Itu bukan mereka, kamu melihat orang lain. Aku bangun dan menyuruh hambaku mencari kuda untukku. Aku membawa lembing dan menunggang kuda untuk mencari Muhammad dan sahabatnya.
Tiba-tiba kudaku tergelincir lalu aku terjatuh dan ini adalah tanda tidak selamat buatku. Aku tidak mempedulikan ramalan itu dan terus mara ke arah Muhammad. Aku mendengar bacaan ayat al-Quran yang dialunkan olehnya dan Baginda sedikitpun tidak berpaling, hanya Abu Bakar RA yang berada dalam keadaan resah gelisah. Tiba-tiba sahaja, kaki kudaku terbenam dan tidak boleh bergerak. Lantas aku merasakan kegagalan untuk menangkap Muhammad lalu aku memanggil mereka untuk berdamai. Mereka pun berhenti dan aku menceritakan segala perihal yang telah direncanakan untuk menangkap Baginda. Aku tawarkan kepada mereka bekalan makanan dan Baginda berkata: Jauhilah kamu daripada kami. Aku meminta Baginda menulis surat jaminan keamanan untukku. Amir bin Fuhairah menulisnya pada selembar kulit dan Baginda terus beredar pergi. [Sahih al-Bukhari 1/554)
Dalam satu Riwayat, Abu Bakar RA berkata: “Kami sudahpun terlepas dan tidak seorang pun berjaya menemui kami kecuali Suraqah bin Malik bin Ju’shum yang berada di atas kudanya. “Aku berkata kepada Nabi SAW: “Kita telah ditemui olehnya hai Rasulullah.” Baginda menjawab: “Jangan takut, Allah SWT bersama kita.” [Lihat Sahih al-Bukhari 1/516]
Kemudian Suraqah pulang dengan aku janji tidak akan menceritakan apa-apa pun yang berlaku ketika bertemu dengan Muhammad dan sahabatnya. Bahkan beliau yang bersungguh mahu menangkap Baginda akhirnya sanggup menjadi pengawal atau benteng kepada mereka. [Zad al-Ma’ad 2/53]
Faedah Daripada Peristiwa Di Atas:
Antaranya ialah terlalu banyak mukjizat Rasulullah SAW yang terserlah ketika hijrah Baginda nabi SAW.
-Helah syarie dibenarkan dalam Islam atau jawapan yang mempunyai dua maksud seperti yang dijawab oleh Saidina Abu Bakar di mana hal tersebut danggap tidaklah berdusta.
-Doa Nabi Muhammad SAW pasti akan dikabulkan seperti yang berlaku terhadap Suraqah. Apa yang lebih menarik daripada itu ialah janji Baginda nabi SAW untuk memberi kepadanya harta kebesaran Raja Parsi. Perjanjian dengan surat telah dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada Suraqah, antaranya sabda Baginda yang bermaksud: “Wahai Suraqah! Sesungguhnya engkau pada suatu hari kelak akan dipakaikan perhiasan berupa gelang-gelang dan mahkota emas milik Kisra.”. (Riwayat al-Bukhari).
Semoga kita semua dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT pada awal Muharram ini. Mudah-mudahan Allah SWT menerima segala amal ibadah kita.