SEBELUM & SELEPAS HIJRAH
DAKWAH RASULULLAH DI MEKAH
Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- berdakwah di Mekah selama 13 tahun sejak Baginda dilantik menjadi Rasul. Baginda menyeru manusia untuk menyembah Allah dan meninggalkan penyembahan patung berhala yang tidak mendatangkan faedah dan tidak memudaratkan, serta berakhlak dengan akhlak yang mulia. Hal ini sebagaimana dakwah Rasulullah kepada Khalid bin Said bin al-‘As bin Umaiyah bin Abd al-Syam al-Umawi al-Quraisyi[1], ketika Baginda ditanya oleh Khalid berkenaan apakah dakwah yang Baginda serukan, Baginda -صلى الله عليه وسلم- lalu menjawab :
“Aku menyeru kamu kepada hanya menyembah Allah dan tidak ada sekutu bagi-Nya, meninggalkan penyembahan batu yang tidak mendengar, tidak melihat, tidak mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan yang kamu lakukan sekarang, berbuat baik kepada kedua ibubapamu, jangan membunuh anak kamu kerana takutkan kefakiran, tidak berzina secara terang-terangan ataupun bersembunyi, jangan kamu membunuh jiwa yang tidak dibenarkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan cara yang sebenar, kamu tidak mendekati harta anak yatim kecuali dengan cara yang baik sehinggalah mereka mencapai umur baligh, kamu hendaklah mengukur dan menimbang secara yang adil, kamu hendaklah berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman walaupun ketika menghukum kaum keluarga kamu yang terdekat dan kamu hendaklah menunaikan janji dengan orang yang mengadakan perjanjian dengan kamu”.[2]
Dalam tempoh dakwah di Mekah, umat Islam telah ditekan dan disiksa dengan begitu hebat. Sahabat-sahabat Rasulullah mengalami pelbagai siksaan, sehingga terdapat diantara mereka mati kerana penyiksaan yang melampaui batas manakala sesetengah yang lain pula buta dan cacat anggota dan sebagainya.[3] Pengamalan Islam terpaksa didirikan secara bersembunyi kerana bimbang terhadap gangguan kaum kafir musyrikin.
Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- terus menyampaikan dakwah tanpa berputus asa walau ditentang oleh kaum Baginda sendiri. Strategi dan dakwah yang disampaikan akhirnya berjaya menarik hati pengunjung Baitullah yang datang daripada Yastrib[4] pada musim haji.
Penduduk Yastrib mengutuskan wakil mereka menemui Rasulullah dalam perjanjian ‘Aqabah yang pertama dan kedua. Perjanjian ini telah membuka lembaran baru dalam sirah dakwah Baginda dan menjadikan Islam semakin diterima oleh penduduk Yastrib.
HIJRAH KE MADINAH
Hijrah Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- daripada Mekah ke Madinah memberi impak yang sangat besar terhadap dunia. Hijrah tersebut sebenarnya membawa erti kelahiran sebuah negara Islam yang pertama di alam ini (ketika itu). Hijrah ini juga merupakan pernyataan akan wujudnya sebuah pemerintahan Islam (khalifah) di bawah kelolaan pengasasnya yang pertama, iaitu Nabi Muhammad -صلى الله عليه وسلم-.[5]
Pembinaan dan menegakkan sebuah negara Islam bukanlah bertujuan mendapatkan kuasa untuk bersenang lenang dengan kuasa tersebut, akan tetapi ianya merupakan tanggungjawab besar yang perlu dilakukan bagi mengangkat syiar agama Allah dimuka bumi ini agar ianya dapat diamal serta dilaksanakan secara sempurna tanpa rasa bimbang dan terus terpelihara.
KEMULIAAN SYIAR ISLAM DI MADINAH
Pasca hijrah Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- ke Madinah, umat Islam dibawah kepimpinan Rasulullah sebagai ketua negara menerapkan sistem Islam dalam setiap urusan kehidupan. Sebagaimana Islam tidak memisahkan diantara agama dengan kehidupan seharian, demikianlah umat Islam menjalani kehidupan dengan nilai-nilai Islam.
Kehidupan seseorang muslim sentiasa dipastikan diurus dan berjalan mengikut panduan syariat Allah -سبحانه وتعالى- dan melalui petunjuk Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- . Ianya merupakan kehidupan yang harmoni dan sangat kontradik dengan pemikiran materialisme[6] dan cara hidup sekular yang diamalkan oleh sebahagian manusia hari ini, iaitu dengan menganggap urusan kehidupan tiada kaitan dengan agama, serta menolak agama sebagai asas bermasyarakat dan bernegara.[7]
[1] Beliau merupakan antara golongan pertama memeluk Islam dalam tempoh dakwah Nabi di Mekah.
[2] Muhammad al-Khudhari Bik. 1998. Nurul Yaqin Kitab Sirah Rasulullah S.A.W. Tah: Samir Ahmad al-‘Athor. Terj: Hj Mohd Asri Hj Hashim. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd. 72
[3] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2016. Fiqh al-Sirah. Selangor : Dewan Pustaka Fajar (DPF). 1/121
[4] Yastrib kemudiannya digelar dengan nama Madinah
[5] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2008. Fiqh al-Sirah. Terj: Mohd Darus Sanawi ‘Ali. Selangor : Dewan Pustaka Fajar (DPF). 2/271
[6] Ideologi menyeleweng daripada kebenaran, yang menganggap kejayaan dalam kehidupan hanya diukur dengan pencapaian kebendaan.
[7] Faisal Asha’ari. 2023. Siri Pengenalan Tauhid Dan Pemikiran Islam : Perkembangan Pemikiran Dari Materialisme Hingga Demokrasi.