Edisi Hijrah: Kisah Al-Mut’im Bin Adi
Kebiasaan kita pasti akan mengetahui dan pernah mendengar kisah berkaitan perjalanan hijrah nabi Muhammad SAW dan para Sahabat baginda. Namun, pernahkah anda tahu mengenai kisah salah seorang kafir Quraisy yang turut terlibat dalam perjalanan hijrah baginda nabi SAW? Dia merupakan seorang pemimpin Quraisy yang terkenal dan sehingga ke akhir hayatnya tidak pernah memeluk Islam. Namun, dia seorang yang telah berjasa kepada Rasulullah SAW. Kafir Quraisy tersebut ialah Al-Mut’im Bin Adi.
Pada tahun dukacita iaitu selepas kewafatan isteri dan bapa saudara bagindaو iaitu Saidatina Khadijah dan Abu Talib, kaum Quraisy mula menentang dakwah baginda nabi SAW di kota Mekkah. Oleh itu, Rasulullah SAW mula mencari ruang dakwah yang baru dan memperkembangkan dakwahnya ke kota Taif bersama Zaid bin Harithah. Kota Taif merupakan salah satu kota yang terbesar di Hijaz selain dari Mekkah. Rasulullah SAW berharap agar dapat berdakwah di sana iaitu kepada kaum Bani Thaqif dan berhasrat menjadikan Kota Taif sebagai pusat penyebaran dakwahnya.
Malangnya, dakwah Rasulullah SAW telah ditolak oleh penduduk kota Taif. Malah, baginda turut dihina, diejek dan dilempar dengan batu sehingga berdarah. Ketika Rasulullah SAW pulang dari berdakwah di Kota Taif, baginda nabi SAW telah disekat dari memasuki Kota Mekkah atas peraturan dan perancangan yang dibuat oleh pihak kafir Quraisy.
Nabi Muhammad SAW telah menghantar wakil ke ketua-ketua kabilah kafir Quraisy untuk meminta perlindungan, tetapi semuanya telah ditolak kecuali hanya seorang yang menerimanya, iaitu ketua kabilah kafir Quraisy yang bernama Al-Mut’im bin Adi.
Dalam masyarakat Arab jahiliah, memberi perlindungan kepada seseorang adalah suatu kebanggaan. Jika seorang ketua kabilah memberi perlindungan kepada seseorang, nyawa orang yang dilindunginya itu adalah lebih penting daripada ahli keluarganya sendiri (juga disebut sebagai ‘jiwar’). Jiwar adalah satu amalan musyrikin Arab yang bererti memberi perlindungan atau suaka politik. Amalan ini menegaskan bahawa seorang ketua kabilah boleh menyatakan dengan bebas untuk memberikan perlindungan kepada seseorang, sehingga sesiapapun tidak boleh menyakiti orang itu sebagai penghormatan kepada orang yang melindunginya dan pengakuan terhadap ketokohan, kehormatan dan pengaruhnya.
Al-Mut’im bin Adi adalah seorang tokoh musyrikin Arab yang memberi perlindungan kepada Rasulullah SAW untuk memasuki Kota Mekkah. Al Mut’im bin Adi telah berkata kepada anak-anaknya: “Bersiaplah kamu semua dengan memakai senjata dan tunggu di setiap penjuru kaabah. Aku lindungi Muhammad”. Dalam sirah Ibnu Hisyam, diriwayatkan bahawa Abu Jahal sempat bertanya kepada Al-Mut’im bin Adi. “Adakah kamu sekadar melindungi sahaja atau mahu menjadi pengikut sekali? Jawab Mutim, “Aku hanya memberi ‘jiwar’ (perlindungan) kepadanya”. Akhirnya Abu Jahal pun berkata, “Kami melindungi siapa sahaja yang engkau lindungi.” (Ar-Rahiq Al-Makhtum)
Selepas itu, mereka pun menuju ke Masjidil Haram. Rasulullah SAW melakukan tawaf di Ka’abah, menunaikan solat di sana dan pulang ke rumahnya selepas selesai. Orang kafir Quraisy tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan hanya melihat sahaja. Baginda nabi SAW telah berjaya kembali ke Kota Mekkah dengan jiwar (suaka/perlindungan) daripada al-Mut’im bin Adi.
Rasulullah SAW sangat mengingati jasa al-Mut’im bin Adi walaupun dia bukan seorang muslim. Dia telah meninggal sebelum peperangan Badar dalam keadaan tidak islam. Apabila peristiwa Perang Badar berlaku di mana umat Islam telah beroleh kemenangan dan mendapat ramai tawanan perang. Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya al-Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan bebaskan dia.” (HR Bukhari 4023)
Inilah kisah bagaimana seorang yang bukan Islam (non-Muslim) menolong Rasulullah SAW dan dakwah Islam. Rasulullah SAW juga sangat mengingati jasa orang lain walaupun orang tersebut adalah kafir. Inilah nilai kemanusiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW selaras dengan ajaran agama Islam. Selain itu, mengambil perlindungan dari orang kafir untuk menolak bahaya dengan cara yang tidak bercanggah dengan hukum Islam adalah harus.
Al-Quran menjelaskan kedudukan Islam mengenai hubungan diantara orang Islam dan bukan Islam dengan amat terperinci dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8 dan 9 yang bermaksud:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨
إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ٩
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS 60: 8-9)
Ungkapan ‘Allah SWT tidak melarang kamu’ dalam ayat ini membawa maksud bahawa umat Islam perlu hidup secara damai, harmoni dan sejahtera bersama mereka yang bukan Islam selagi mereka tidak memerangi, memusuhi, menzalimi atau mengusir umat Islam dari kampung halaman kita.
Malah, Muslim diwajibkan untuk berdakwah dan mengajak mereka yang bukan Islam agar menerima ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT sebagaimana Rasulullah SAW menyeru kaum Quraisy, kaum Ansar dan bani Thaqif untuk menerima Islam.
Islam mengajar kita berakhlak mulia dan menjalin hubungan baik diantara satu dengan yang lain agar kita dapat hidup dalam suasana yang baik dan sejahtera. Inilah keindahan agama Islam yang bersifat Rahmatan lil Alamin. Semoga kita sentiasa mengamalkan al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan seharian dan termasuk dalam golongan yang bertakwa kepada Allah SWT.