Edisi Hijrah: Kisah Uthman Bin Talhah
Sesungguhnya Allah SWT dan Rasul-Nya mengiktiraf hak dan sumbangan bukan Muslim sepertimana Uthman bin Talhah. Tahukah anda siapakah Uthman bin Talhah dan apakah sumbangannya terhadap Islam? Kisah Uthman bin Talhah ini terdapat dalam buku Hadith ath-Thulatha karya Imam Hassan al-Banna di bawah tajuk Islah an-Nafs.
Kisahnya bermula ketika Ummu Salamah R.A keluar berhijrah, tiada seorangpun yang menemani beliau kecuali bayi beliau. Beliau telah keluar untuk berhijrah secara berseorangan. Beliau telah bertemu di tengah jalan (dikatakan di Tanaim) dengan Uthman bin Talhah. Uthman tidak sekali-kali merenung ke arah beliau dan dia bertanya:”Siapakah berserta engkau?”. Ummu Salamah menjawab: “tiada seorangpun yang menyertai aku kecuali Allah”. Uthman berkata kepada Ummu Salamah: “aku akan menemani engkau”. Uthman telah menemani Ummu Salamah (dalam perjalanan) itu selama lapan hari dan lapan malam sehingga Ummu Salamah sampai di Madinah. Ummu Salamah mengatakan: “Wallahi! aku tidak pernah melihat seorang teman perjalanan yang lebih baik daripada dia, dia telah mengenderai tali kekang unta, Wallahi! dia tidak mengendah perkara lain sehingga kami menghampiri Madinah”. Uthman mengatakan: ” Ya inilah dia Yathrib, dan mereka itu adalah sahabat-sahabat engkau”. Lalu Uthman meninggalkan Ummu Salamah untuk kembali semula ke Makkah. Ummu Salamah ketika itu adalah di antara wanita yang sungguh cantik, sedangkan Uthman yang masih kafir itu pula adalah seorang pemuda yang penuh sifat kelelakiannya. Rasulullah SAW bersabda pada peristiwa pembukaan Kota Makkah ketika Saidina Abbas menghalang Uthman “tinggalkanlah dia (jangan diapa-apakan dia) kerana dia seorang yang mempunyai sifat kelelakian (yang sempurna)”.
Sekiranya kita melihat di dalam Sirah Ummu al-Mu’minin Ummu Salamah, kita akan bertemu catatan yang lebih terperinici tentang bagaimana Uthman bin Talhah menyantuni Ummu Salamah. Uthman akan menurunkan unta sehingga unta duduk dan akan berpindah ke tempat yang lain untuk membiarkan Ummu Salamah turun daripada unta dalam keadaan selamat dan terpelihara. Uthman akan membiarkan Ummu Salamah berehat di bawah teduh sedangkan dia hanya mengawasi dari jauh, Dia akan menyiapkan unta sebelum Ummu Salamah datang untuk menunggangnya bagi meneruskan perjalanan.
Kita boleh melihat tentang asbabun nuzul bagi ayat 58 surah an-Nisa sebagaimana yang diberitahu oleh Imam Baghawi:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah amat baik peringatan-Nya kepada kamu dengan perkara ini. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Kata Imam al-Baghawi:
“Ayat ini diturunkan pada peristiwa Uthman bin Talhah dari Bani Abdu al-Dar, dia adalah penjaga kunci pintu Kaabah. Ketika Rasulullah SAW memasuki Makkah pada hari pembukaan Kota Makkah, Uthman telah mengunci pintu Kaabah dan beliau menaiki bumbung Kaabah. Rasulullah SAW telah bertanya tentang kunci Kaabah dan diberitahu yang kunci itu disimpan oleh Uthman, Rasulullah SAW telah meminta kunci tersebut daripadanya tetapi dia enggan, dia berkata : “sekiranya aku mengakui yang dia itu Rasulullah niscaya aku tidak menafikan kunci itu daripadanya”. Kemudiannya kunci itu direbut oleh Saidina Ali RA dari genggam tangannya dan kemudiannya Saidina Ali RA membuka pintu Kaabah. Rasulullah SAW telah memasuki Kaabah dan bersolat dua rakaat di dalam Kaabah. Ketika Rasulullah SAW keluar daripada Kaabah, Saidina Abbas RA telah memohon kepada Rasulullah SAW untuk menjadi pemegang kunci pintu Kaabah, supaya dapat digabungkan tugasnya sebagai penyedia bekalan air (bagi jamaah haji) dengan tugasan menjaga kunci Kaabah.
Lalu Allah menurunkan ayat ini. Rasalullah SAW pun mengarahkan agar dipulangkan kunci kepada Uthman bin Talhah dan dipohon kemaafan daripadanya. Saidina Ali RA telah melaksanakan arahan ini. Uthman telah berkata kepada Saidina Ali RA:”engkau telah membenciku, engkau telah menyakitiku, sekarang engkau berlemah-lembut terhadapku”. Saidina Ali RA telah menjawab: “Allah telah turunkan ayat al-Quran tentang hal engkau ini”, lalu Saidina Ali RA membaca ayat tersebut kepadanya. Kemudian Uthman terus melafazkan:
وأشهد أن لا اله الله أشهد أن محمدا رسولالله
Selepas itu anak kunci Kaabah terus berada di tangannya. Ketika beliau meninggal dunia, kunci tersebut diserahkan kepada saudaranya Shaibah. Anak kunci Kabaah berada di tangan anak cucu mereka sehingga Hari Qiyamah.”
Secara kesimpulannya, kisah Uthman bin Talhah dalam dua peristiwa ini sangat penting untuk kita teliti. Kita dapat melihat bagaimana seorang pemuda yang bukan Islam, di antara pahlawan Quraisy yang memusuhi Islam, tetapi secara sukarelanya telah menawarkan khidmat untuk menemani seorang tokoh muslimah yang penting dalam hijrahnya untuk menyertai perkumpulan ummah yang diketuai oleh Rasulullah SAW di Madinah. Dia telah melaksanakan pertolongannya dengan penuh amanah dan sangat menjaga kehormatan Ummu Salamah di sepanjang perjalanan. Nilai perilaku yang baik dan tinggi ini telah diiktiraf oleh umat Islam yang masih dalam suasana perang terhadap pimpinan Quraisy di Makkah.
Sedangkan dalam kalangan kita pada hari ini pula terasa amat sukar untuk mengiktiraf dan memuji kebaikan pihak yang bukan Islam,lebih-lebih lagi sekiranya dia memusuhi agama kita. Kemarahan kita kerana penentangannya terhadap Islam akan menutup pandangan kita daripada melihat kebaikannya yang mungkin sahaja tidak terdapat pun pada diri kita sendiri.
Manakala pada peristiwa kedua, kita dapat menyaksikan penyerahan amanah di dalam ajaran Islam bukan hanya berlaku dalam kalangan kita sahaja. Bahkan kita diwajibkan menyampaikan amanah kepada seorang yang bukan Islam walaupun dia tersenarai sebagai penentang Islam sekalipun (iaitu dalam hal yang berkaitan dengan hak-haknya). Kita tidak akan menafikan hak-hak mereka semata-mata di atas sentimen yang dia menentang kita.
Rasulullah SAW menunjukkan contoh tauladan yang terbaik dalam hal ini. Sentimen negatif terhadap Uthman bukan terdorong kerana perkiraan duniawi tetapi kerana dia menentang agama Allah dan Rasul-Nya. Tetapi Rasulullah SAW melaksanakan amanah dengan mempertahankan hak Uthman sebagai penjaga kunci Kaabah. Bahkan Rasulullah SAW memperkukuhkan penyataan itu dengan mengisytiharkan yang hak itu kekal pada tangan Uthman dan keturunannya.
Sikap Rasulullah dan pengisytiharan yang dibuat oleh baginda jelas menunjukkan kebenaran yang diajar oleh Islam adalah logik yang mengatasi logik akal biasa manusia kerana ianya bersifat Rabbani. Inilah yang menyebabkan penentang tegar umpama Uthman bin Talhah yang sebelumnya telah terbuka hati untuk menyaksikan kebenaran Islam.
Islam mengajar kita bahawa amanah adalah suatu perkara yang tidak boleh ditukar ganti walaupun terhadap hak-hak orang yang bukan Islam apatah lagi terhadap sesama muslim. Kesan daripada amanah yang ditunaikan itulah yang mendorong Uthman bin Talhah untuk memeluk agama Islam.