NABI MUHAMMAD SAW UTUSAN ALLAH SWT
Rasulullah SAW merupakan pembawa risalah agung iaitu agama Allah SWT serta rahmat Islam buat sekalian umat manusia dan alam. Risalah penyuluh hidup yang Allah SWT umpamakan sebagai cahaya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 32:
يُرِيدُونَ أَن يُطۡفِئُواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَيَأۡبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٣٢
Sesungguhnya mereka (orang-orang kafir) sentiasa menghendaki dengan mulut-mulut mereka (pendustaan-pendustaan mereka itu dan pengingkaran mereka terhadap apa yang dibawa oleh Muhammad SAW); untuk memadamkan cahaya Allah (Islam). Tetapi Allah tetap akan menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun dibenci oleh mereka yang kufur.
Inilah risalah yang diibaratkan sebagai hujan lebat yang membawa ilmu dan petunjuk sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al- Bukhari dan Imam Muslim:
مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ، كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا
Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang aku diutuskan dengannya ini umpama hujan lebat yang membasahi bumi.
Nabi Muhammad SAW turut bersabda:
فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةُ قَبِلَتِ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتِ الكَلاَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ
Sebahagian tanah itu ada yang subur yang menyerap air, lalu ia menumbuhkan tumbuh- tumbuhan yang banyak. (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim).
Maksudnya: Ada dalam kalangan manusia yang diumpamakan seperti sebuah tanah yang subur iaitu tanah yang mampu menyerap air serta menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Lalu datangnya manusia untuk mengambil manfaat daripada tanah atau tumbuh- tumbuhan tersebut.
Golongan ini adalah golongan yang giat melakukan dakwah, menyampaikan ilmu serta membimbing manusia dengan ilmu yang mereka miliki. Dengan demikian mereka menjadi orang yang berilmu, beramal dan berdakwah sebagaimana saranan serta tugas para Rasul yang terdahulu. Golongan pertama ini merupakan yang terbaik kerana apabila mereka memperolehi suatu ilmu, mereka mampu memanfaatkannya untuk diri mereka sendiri dan juga mampu untuk berkongsi manfaat tersebut dengan orang lain.
Selain itu, golongan yang kedua sebagaimana yang Nabi Muhammad SAW sebut:
وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا
Ada juga tanah keras yang tidak menyerap air sehingga air bertakung, lalu Allah mengurniakan manfaat kepada manusia dengannya. Mereka dapat minum dan memberi minum [kepada binatang ternak dan sebagainya] serta bercucuk tanam. (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim).
Maksudnya: Mereka ini tidak subur tanahnya, tetapi tanah itu mampu menakungkan air. Maka orang ramai boleh datang untuk mengambil manfaat daripada air tersebut. Tetapi hakikatnya tanah tersebut tidak subur dan tidak mampu menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Mereka ini mampu memberikan manfaat ataupun beramal untuk diri mereka sendiri, tetapi barangkali mereka tidak mampu untuk memberi manfaat kepada orang lain, atau mereka ini tidak aktif berdakwah, menyampaikan ilmu serta membimbing manusia dengan ilmu yang mereka miliki, atau istilahnya: simpan sendiri. Lalu mereka hanya akan menakungkan manfaat untuk diri mereka sendiri sahaja, melainkan ada yang datang untuk mendapatkan ilmu darinya. Boleh jadi juga mereka ini memiliki ilmu, tetapi tidak beramal untuk diri mereka sendiri, lalu orang dapat mengambil manfaat daripada mereka, tetapi mereka sendiri tidak dapat memanfaatkan ilmu tersebut untuk diri mereka sendiri.
Seterusnya, golongan ketiga pula Nabi Muhammad SAW umpamakan sebagai tanah yang kering kontang:
وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانُ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَا
Ada pula hujan yang turun ke bahagian lain; iaitu di atas tanah rata lagi licin yang tidak menakungkan air dan tidak pula menumbuhkan tumbuh- tumbuhan. (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim).
Maksudnya: Golongan ketiga ini merupakan mereka yang pernah atau berpeluang menimba ilmu agama sama ada sedikit atau banyak, namun ilmu ini tidak menyerap ke dalam diri dan sanubari mereka untuk diingati, difahami serta diamalkan, apatah lagi untuk menyampaikan. Justeru ilmu tersebut tidak memberikan manfaat buat diri mereka sendiri dan juga tidak memberi manfaat buat orang lain. Kita mohonlah kepada Allah SWT agar menjauhkan kita daripada menjadi golongan ketiga yang umpama tanah gersang lagi tandus ini.
Kesimpulannya, cahaya penyuluh serta ilmu petunjuk inilah yang dibawa oleh insan bernama Muhammad sebagai utusan Allah demi menyelamatkan dan mengeluarkan manusia dari lembah kekufuran kepada lembah keimanan. Dua puluh tiga tahun perjuangan baginda memikul tugas sebagai Rasulullah (utusan Allah) dalam memurnikan tauhid serta meluruskan akhlak manusia sehingga disempurnakan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 3:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untukmu, dan Aku telah lengkapkan ke atas kamu semua nikmat-Ku, dan Aku telah memilih kerana kamu Islam itu sebagai agamamu.