Persinggahan Rasulullah SAW di Quba’
Pada hari Isnin, 8 Rabiulawal tahun ke-14 kenabian, iaitu tahun pertama Hijrah bersamaan 23 September 622M, Rasulullah SAW tiba di Quba.
Menurut Urwah bin al-Zubair, orang Islam di Madinah mendengar bahawa Rasulullah SAW telah keluar dari Makkah. Lalu, pada setiap pagi mereka akan keluar ke padang lapang untuk menantikan Rasulullah SAW. Apabila panas semakin terik, mereka pulang. Pada suatu hari, setelah lama menanti ketibaan Baginda SAW, namun Rasulullah SAW tidak juga sampai dan mereka pun berpatah balik. Setelah pulang ke rumah masing-masing, seorang lelaki Yahudi mendaki salah sebuah tembok kepunyaan mereka untuk melakukan sesuatu tugas. Tiba-tiba dilihatnya Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya berpakaian putih sesekali terlindung oleh fatamorgana. Si Yahudi itu tidak dapat menahan perasaannya lalu dengan suara yang kuat dia melaung, “Hai, sekalian orang Arab! Inilah datuk kamu yang kamu nanti-nantikan!” Lalu orang Islam segera keluar dengan membawa senjata masing-masing.
Ibn al-Qayyim berkata, “Kedengaranlah bunyi riuh rendah dan takbir di perkampungan Bani Amru bin Auf; orang Islam yang lain turut bertakbir lantaran terlalu gembira dengan kedatangan Rasulullah SAW. Mereka segera keluar untuk bertemu Rasulullah SAW. Mereka menemui Rasulullah SAW dan mengalu-alukan kedatangan seorang nabi. Mereka mengelilingi Rasulullah SAW dan berpusing di sekitar Baginda SAW. Ketika itu, ketenangan menyelubungi diri Rasulullah SAW, dan turunlah wahyu Allah SWT:
إِن تَتُوبَآ إِلَى ٱللَّهِ فَقَدۡ صَغَتۡ قُلُوبُكُمَاۖ وَإِن تَظَٰهَرَا عَلَيۡهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ هُوَ مَوۡلَىٰهُ وَجِبۡرِيلُ وَصَٰلِحُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ بَعۡدَ ذَٰلِكَ ظَهِيرٌ ٤
Maksudnya: “Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (untuk menerima kebenaran), dan jika kamu berdua saling-membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, maka (yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah pembelanya. Selain itu, Jibrail serta orang-orang yang soleh daripada kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya,” (Al-Tahrim: 4)
Urwah bin al-Zubair berkata bahawa mereka bertemu Rasulullah SAW. Rasulullah SAW mengambil kedudukan di sebelah kanan mereka sehingga Baginda SAW berhenti di tempat Bani Amru bin Auf. Hari itu ialah hari Isnin dalam bulan Rabiulawal. Kemudian Saidina Abu Bakar r.a bangun menghadapi orang ramai sementara Rasulullah SAW duduk berdiam diri. Orang Ansar yang tidak pernah melihat Rasulullah SAW segera mengalu-alukan (dalam riwayat lain menyebut, segera datang kepada) Saidina Abu Bakar r.a. Apabila terik matahari mengenai Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar r.a pun tampil menaungi Baginda SAW dengan kain selendangnya. Maka, tahulah orang ramai yang mana satu itu Rasulullah SAW.
Seluruh penduduk Madinah bergegas-gegas menyambut kedatangan Rasulullah SAW. Hari itu adalah hari yang amat bersejarah bagi Kota Madinah. Waktu itu orang Yahudi melihat sendiri akan kebenaran perkhabaran Nabi Habquq dalam kitab mereka yang menyatakan, Sesungguhnya Allah datang dari Tayman dan Quddus datang dari bukit- bakit Faran,
Semasa di Quba, Rasulullah SAW singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. Dikatakan bahawa Rasulullah SAW singgah di rumah Saad bin Khaythamah. Ali bin Abu Talib r.a pula, setelah Rasulullah SAW meninggalkan Makkah, terus berada di Makkah selama tiga hari untuk memulangkan barang-barang amanah yang disimpankan pada Rasulullah SAW. Kemudian, beliau terus berhijrah dengan berjalan kaki sehingga ditemuinya Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar r.a di Quba’, dan beliau singgah di rumah Kalthum bin al- Hadam,
Di Quba’, Rasulullah SAW menetap selama empat hari iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Di sana, Rasulullah SAW mengasaskan Masjid Quba’ dan bersembahyang di dalamnya. Itulah masjid yang pertama sekali diasaskan atas dasar takwa selepas Rasulullah SAW menjadi nabi. Setelah berlalunya hari Khamis, iaitu pada hari Jumaat, Rasulullah SAW menunggang kenderaannya dengan perintah Allah SWT, sementara Saidina Abu Bakar r.a mengikut di belakang Baginda SAW.
Rasulullah SAW menghantar utusan kepada Bani al-Najjar (yang merupakan kaum kerabat bapa-bapa saudara Rasulullah SAW sebelah ibu). Lalu, mereka pun datang dengan siap berpedang. Rasulullah SAW bertolak menuju ke Kota Madinah. Semasa waktu solat Jumaat, Rasulullah SAW sampai di kampung Bani Salim bin Auf. Di sana, Rasulullah SAW solat bersama-sama mereka di sebuah masjid yang terletak dalam kawasan lembah. Mereka yang berada di situ ialah seramai seratus orang lelaki.” Setelah selesai solat Jumaat, Rasulullah SAW pun berlalu pergi untuk memasuki kota Madinah.
Tag:rabiulawal