PERISTIWA MENYAYAT HATI RASULULLAH SAW BERQUNUT NAZILAH
Apa itu Qunut Nazilah? Qunut adalah suatu doa yang diucapkan ketika sedang berdiri manakala Nazilah adalah suatu keadaan yang gawat dan mencemaskan. Di sisi lain, Nazilah dari segi istilah pula adalah suatu keadaan bencana seperti peperangan, musim kemarau, wabak penyakit dan sebagainya yang menimpa atas umat Islam.
Apakah peristiwa yang menyebabkan Nabi Muhammad SAW melaksanakan Qunut Nazilah ini?
Dikisahkan Rasulullah SAW tidak berhenti membaca Qunut Nazilah ketika sedang berlakunya suatu peristiwa yang dasyat dan sangat meruntun hati Rasulullah SAW. Persitiwa itu adalah persitiwa Bi’rul Ma’unah. Mungkin ada sesetengah para pembaca tidak pernah mendengar akan peristiwa ini, jadi jom kita sama-sama mengambil peduli dan cakna akan peristiwa yang menimpa para Sahabat RA ini.
Peristiwa bermula apabila Abu Barra` bin Malik yang meminta Rasulullah SAW untuk menghantar beberapa wakil dari pihak Muslimin ke Najad bagi mengajarkan mereka agama Islam. Abu Barra’ adalah seorang yang tidak menerima Islam namun tidak juga bermati-matian menentang agama Islam ini dan beliau juga menjanjikan keamanan dan jaminan kepada Rasulullah SAW untuk melindungi wakil-wakil Islam yang dihantar ke Najad agar datang dan pulang dengan selamat daripada segala keancaman.
Namun apabila sampai sahaja di suatu tempat yang bernama Bi’rul Ma’unah, ketika mana salah seorang sahabat baginda SAW yang bernama Hiram bin Mulhan yang telah dibunuh oleh `Amir bin Tufail sewaktu sedang membawa surat Rasulullah SAW kepadanya.
Malangnya, Amir bin Tufail yang jahat ini bukan sahaja telah membunuh Hiram bin Mulhan, malah lebih dasyat daripada itu, Amir mengarahkan para pengikutnya untuk membunuh saki-baki para Sahabat yang lain kira-kira dalam 70 para sahabat RA kesemuanya.
Kejadian pembunuhan yang dasyat ini hanya disedari apabila dua orang sahabat yang lainnya telah melalui kawasan tersebut iaitu Amru bin Umayyah dan Munzir bin Uqbah.
Mereka melihat banyak burung yang sedang berterbangan di kawasan tersebut serta bergelimpangan tubuh-tubuh mulia para sahabat yang telah syahid dibunuh beramai-ramai. Munzir bin Uqbah yang baru sahaja menyedari kejadian ini juga mati syahid apabila beliau cuba menuntut bela manakala Amru bin Umayyah pula telah ditawan dan dibebaskan.
Setelah dibebaskan, Amru Bin Umayyah telah pulang dan memaklumkan akan hal ini kepada Rasulullah SAW. Peristiwa ini memberikan kesedihan yang amat mendalam dalam hati Rasulullah SAW kerana Baginda SAW baru sahaja kehilangan puluhan para sahabat dalam Peperangan Uhud yang begitu menyayat hati.
Oleh kerana peristiwa Bi’rul Ma’unah inilah, Rasulullah SAW tidak henti-henti melaksanakan Qunut Nazilah mendoakan kebinasaan dan kezaliman bagi pembunuh-pembunuh yang terlibat dalam pembunuhan para sahabat RA yang mulia.
Jika dilihat dalam senario kini, Palestin yang tidak henti-henti dilanda pengeboman dan peperangan oleh kaum Zionis Israel Laknatullah, maka sewajarnya Umat Islam menggembleng tenaga membacakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan kemenangan ke atas orang Islam dan kehancuran ke atas orang kafir yang bermati-matian memerangi kaum Muslimin. Jadi, ayuh jom kita sentiasa bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin!