RABIUL AKHIR: KAUM YAHUDI DIUSIR MADINAH
Antara peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rabiul Akhir yang boleh dijadikan panduan dan teladan adalah turunnya Surah Al-Hasyr yang bermaksud “pengusiran”.
Apa yang berlaku dalam surah ini? Dan sempena apakah peristiwa ini berlaku? Jom sama-sama kita telusuri kisah ini. Surah Al-Hasyr ini ialah tentang pengusiran kaum Yahudi Bani An-Nadhir keluar dari Kota Madinah.
Siapakah Bani An-Nadhir ini? Bani Al-Nadhir ini ialah antara salah satu kabilah yang terbesar daripada bangsa Yahudi yang tinggal di Madinah.
Sebelum ini, kaum Yahudi dan umat Islam telah mempersetujui perjanjian damai melalui Piagam Madinah agar tidak menghunus senjata dan sentiasa tolong- menolong antara satu sama lain. Piagam ini ditubuhkan Rasulullah SAW untuk menggariskan hak dan tanggungjawab antara penduduk berdasarkan prinsip-prinsip Islam bagi pembentukan sesebuah negara.
Kisah ini bermula apabila salah seorang sahabat Nabi SAW iaitu Amru bin Umayyah Ad-Dhamri yang telah membunuh dua orang dari Kabilah Qilab kerana terkeliru. Maka, Rasulullah SAW bersetuju untuk menjatuhi hukuman Diyat ke atas sahabat tersebut asbab pembunuhan ini.
Ketika berbincang dengan para sahabat untuk membayar ganti rugi kepada keluarga yang dibunuh Amru, Rasulullah SAW mencadangkan untuk memohon bantuan kepada Yahudi Bani Nadhir kerana mereka juga telah berjanji untuk saling membantu seperti yang tertulis dalam Piagam Madinah.
Mereka telah bersetuju untuk membantu Rasulullah SAW dan berpura-pura menyambut baik kedatangan Rasulullah SAW dan para sahabat ke sana. Namun itu semuanya hanya palsu dan mainan belaka.
Pada ketika itu, Rasulullah SAW dan para sahabat sedang menunggu sambil berdiri di tepi tembok Bani Nadhir. Dan pada ketika itu jugalah, kaum Yahudi ini berkhianat serta merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dengan salah seorang daripada mereka mencadangkan untuk memanjat tembok di mana Rasulullah sedang berdiri lalu menghempapkan batu besar ke atas kepala Baginda SAW.
Malaikat Jibril Sebagai Pembawa khabar
Namun, mungkin kaum Yahudi ini lupa bahawa Rasulullah SAW adalah seorang rasul yang dikurniakan dengan segala mukjizat-mukjizatnya dengan izin Allah SWT. Meskipun pakatan itu dibicarakan secara sembunyi-sembunyi, namun pengkhabaran ini tetap sampai jua kepada Rasulullah SAW melalui Malaikat Jibril sebagai pembawa khabarnya.
Lantas Baginda SAW terus meninggalkan perkampungan Bani Nadhir itu. Dan kemudiannya menceritakan kepada para sahabat akan niat keji mereka itu. Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW mengirimkan utusan ke Bani Nadhir memerintahkan mereka untuk meninggalkan perkampungan mereka kerana telah melanggar perjanjian.
Datang pula dalam peristiwa ini, sosok Abdullah Bin Ubay Bin Salul yang Allah SWT nyatakan kemunafiqkannya telah membelot Rasulullah SAW dan menyuruh kaum Yahudi Bani An-Nadhir pertahankan perkampungan mereka dan berjanji akan menghantar 2000 orang tentera yang akan bersama An-Nadhir dalam peperangan nanti.
Namun, apabila Rasulullah SAW mengepung perkampungan itu, bantuan yang dinanti daripada Abdullah Bin Ubay tidak kunjung tiba. Inilah ciri-ciri dan sifat orang Munafiq, pasti tidak akan menunaikan janjinya. Akhirnya, kaum Yahudi Bani An-Nadhir pun akur dengan perintah itu dan mereka keluar dari Kota Madinah dengan membawa barang-barang keperluan disebabkan pengkhianatan mereka kepada Rasulullah SAW.
Tag:ustazustazahcom