MUKMINKAH AKU? SIRI 3
KISAH ARAB BADWI MENDAKWA DIRI MEREKA BERIMAN
BAGINDA Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- pernah didatangi oleh sekumpulan orang Arab Badwi daripada Bani Asad bin Khuzaimah. Mereka datang ke Madinah menemui Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- dan mendakwa bahawa diri mereka telah beriman .
Mereka berkata kepada Rasulullah -صلى الله عليه وسلم-, “Kami menghadapmu dengan berbagai beban dan kemiskinan, kami tidak memerangimu sebagaimana bani fulan memerangimu, berilah kami sebahagian sedekah.”
Saat itu mereka merasa seolah-olah telah berbuat baik dan memberi nikmat kepada Baginda dengan keislaman mereka. Lalu Allah -سبحانه وتعالى- menurunkan ayat ke 14 Surah al-Hujurat:
﴿قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا قُلْ لَمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِنْ قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِنْ تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُمْ مِنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ١٤﴾ [الحجرات: 14]
Maksudnya : «Orang-orang ” A’raab” berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam ‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”(14)»
Penurunan ayat ini telah menyangkal dakwaan golongan Arab Badwi yang menyatakan “Kami mempercayai Allah -سبحانه وتعالى- dan Rasul Nya dalam hati kami”. Allah -سبحانه وتعالى- menerangkan bahawa sebenarnya mereka belum beriman secara sempurna, dan belum membenarkan secara benar berkaitan dengan keyakinan hati, ketulusan niat, dan kepercayaan yang utuh kepada Allah-سبحانه وتعالى- .
Allah -سبحانه وتعالى- juga memberitahu bahawa keimanan mereka belumlah tertanam kuat dalam hati mereka, namun hanya sebatas ucapan di bibir, tanpa keyakinan yang benar dan niat yang tulus.
BEZA IMAN DAN ISLAM
Berdasarkan ayat ini juga, para ulama ahlussunnah berpendapat bahawa makna iman itu lebih khusus daripada Islam. Iman tidak muncul melainkan dihati, membenarkan dalam hati disertai dengan ketenangan dan kepercayaan kepada Allah -سبحانه وتعالى-.
Islam pula adalah lebih umum daripada iman, ianya hanya sebatas mengucapkan dua kalimah syahadah dengan lisan serta memperlihatkan ketundukan dan kepatuhan kepada apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad -صلى الله عليه وسلم-.[1]
[1] Wahbah az-Zuhaili. 2005. At-Tafsir al-Munir fil ‘Aqidah wasy Syari’ah wal manhaj. Terj: Abdul Hayyie al-Kattani dkk. Tafsir al-Munir Jilid 13 : Aqidah, Syari’ah, dan Manhaj. Jakarta : Gema Insani. 13/497