MASYA-ALLAH, MULIANYA RASULULLAH TERHADAP OKU
Islam amat mengangkat darjat golongan yang lemah sama ada golongan fakir, miskin mahupun golongan OKU. Hal ini dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW menyantuni para sahabat yang berstatus OKU ini. Sabda Nabi SAW: “Adalah dilaknat orang yang memesongkan orang buta dari jalan laluannya”, Riwayat Ahmad.
Antara kisah yang penulis nak bawakan yang dinukilkan oleh Nurfazleen Safina Abd Jamil, Rasulullah Amat Memuliakan Golongan OKU dalam laman Majoriti Refleksi Tanpa Prejudis, adalah tentang betapa santunnya dan baiknya Nabi junjungan kita, Rasulullah SAW terhadap salah seorang sahabatnya ialah apabila, sahabat Baginda SAW, Abdullah bin Ummu Maktum RA merupakan seorang yang buta. Baginda SAW sangat sayang padanya sehingga disediakan waktu khusus untuknya mengumandangkan azan kerana beliau merupakan salah seorang Muazzin.
Meskipun keadaan fizikalnya yang buta, tetapi beliau antara yang terawal memeluk Islam dan menyahut seruan Baginda SAW untuk berhijrah daripada Kota Mekah ke Madinah Al-Munawwarah yang pastinya sangat jauh perjalanannya serta dipenuhi dengan pelbagai ancaman daripada pihak Musyrikin sepanjang perjalanan. Masya-Allah!
Selain itu, Julaibib RA yang juga merupakan salah seorang sahabat yang cacat, katik, tidak pula tampan, tidak berharta serta berkeluarga, malah tiada apa yang boleh dibanggakan dengannya. Kehadiran dan kehilangannya juga sama sekali tidak disedari oleh yang lainnya. Namun demikian, Baginda SAW sangat menyayangi Julaibib RA sehinggakan Baginda SAW mencari jodoh yang terbaik buat Julaibib RA.
Diceritakan di dalam Sirah Nabawiyah Kama Ja’at fii Ahadis Sohihah, bahawa saat Julaibib RA mati syahid dalam medan peperangan, sebahagian para sahabat sama sekali tidak menyedari kesyahidan Julaibib RA sehinggalah Rasulullah SAW bersabda, “Aku telah kehilangan Julaibib. Dia sebahagian daripada diriku dan aku sebahagian daripada dirinya”.
Selanjutnya, di kisah yang lain, apabila salah seorang sahabat, Abdullah bin Mas’ud RA ditertawakan sewaktu sedang memanjat sebatang pokok lantaran kerana kakinya yang terlalu kecil dan juga lemah, lantas Baginda SAW menidakkannya dan bersabda, “Apa yang membuatkan kamu ketawa? Sesungguhnya kaki Ibn Mas’ud lebih berat di atas timbangan amal berbanding Bukit Uhud”, Riwayat Ahmad.
Di samping itu, mulianya akhlak Rasulullah SAW terhadap golongan OKU ditunjukkan apabila Baginda SAW memuji Amru ibn al-Jamuh, yang keadaanya sedang berkaki cacat dengan menggambarkan bahawa keadaan beliau pasti akan sempurna di syurga kelak.
Tambahan pula, salah seorang sahabat Baginda SAW, Abdullah ibn Ummi Makhtum, yang juga merupakan orang yang cacat penglihatan matanya namun telah diberi kepercayaan yang sangat tinggi oleh Baginda SAW untuk menjadi juruazan di Madinah serta menjaga Kota Madinah ketika para pejuang Muslim yang lainnya pergi berjihad menegakkan Islam.
Akhir kata, semoga kisah-kisah seperti ini memberi kesedaran kepada kita semua betapa Agama Islam sangat memuliakan golongan-golongan yang istimewa ini. Marilah kita sentiasa berdoa agar dilindungi daripada tergolong dalam golongan orang-orang yang menzalimi dan dizalimi oleh orang lain. Jom kita ikut akhlak Rasulullah SAW! Penulis tamatkan nukilan dengan sebuah hadis untuk kita renungi dan bermuhasabah bersama-sama. Sabda Baginda SAW, “Sebaik-baik kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan (orang lain) merasa aman dari kejelekannya”, Riwayat At-Tirmidzi, 2263.