ANCAMAN BUAT SANG PEMIMPIN
Berbaki beberapa minggu sahaja lagi rakyat Malaysia akan menunaikan kewajiban dan hak mereka sebagai rakyat untuk mengundi calon pemimpin pada Pilihanraya Umum kali ke-15. Tarikh Pilihanraya Umum ke-15 telah ditetapkan yakni pada 19 November 2022. Maka disini penulis ingin mengucapkan selamat mengundi kepada semua rakyat Malaysia yang telah layak mengundi. Pilihlah pemimpin yang terbaik yang sentiasa menjaga hak terhadap Allah dan juga hak kepada rakyat yang dipimpin. Kepada para pemimpin, tatkala anda dipilih untuk menjadi pemimpin, jagalah amanah ini sebaik mungkin. Sentiasa bersikap adil kepada semua golongan dan gunakanlah kuasa yang diamanahkan untuk memandu ummah dan negara ke arah kejayaan dan sentiasa diredhai Allah SWT. Takutlah kamu akan segala amaran dan ancaman dari Allah dan Rasul-nya keatas pemimpin yang zalim dan tidak berlaku adil.
Allah SWT berfirman dalam surah Asy-Syura ayat 42 yang bermaksud “Sesungguhnya jalan untuk menyalahkan hanyalahkan hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. Allah SWT berfirman juga dalam surah Al-Maidah ayat 79 yang bermaksud “Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan sesama sendiri daripada perbuatan mungkar yang telah mereka lakukan. Sesungguhnya, amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan”. Ayat ini jelas Allah SWT menujukan kepada para pemimpin yang zalim dan tidak menjaga amanah kepimpinan terhadap orang yang dipimpin bahawa perbuatan ini sangat buruk dan dijanjikan azab yang amat seksa kepada mereka.
Setiap pemimpin memegang amanah dan tangunggjawab dimana ianya akan disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak. Selaras dalam sebuah hadis daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud “Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dipertangunggjawabkan tentang kepimpinannya” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Abu Daud). Antara ciri-ciri pemimpin yang diancam oleh Allah SWT dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ialah:
- Pemimpin yang berdusta. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyatakan dengan jelas bahawa “Sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan dari golongan kami.” (Hadis riwayat Muslim). Bahkan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda lagi yang bermaksud “siapa pun pemimpin yang menipu rakyatnya, maka tempatnya didalam neraka” (Hadis riwayat At-Tabrani).
- Pemimpin yang tidak ikhlas dalam memimpin. Hal ini berdasarkan daripada sebuah hadis dimana baginda sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud “ Sesiapa yang diberikan kekuasaan oleh Allah SWT atas sesuatu rakyat, tetapi dia tidak ikhlas dalam memimpin mereka, melainkan pasti Allah mengharamkan syurga baginya” (Hadis riwayat Muttafaq alaih).
- Pemimpin yang fasik. Hal ini jelas dalam sebuah hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud “Akan datang setelahku para pemimpin yang fasik dan zalim, maka sesiapa yang membenarkan mereka dengan segala kebohongan mereka, lalu membantu kezaliman mereka, maka dia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongnya serta tidak akan berhak mendatangi telaga bersamaku di syurga” (Hadis riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak dan beliau mensahihkannya serta disepakati oleh Az-Zahabi).
Sebagai kesimpulan, buat para pemimpin yang bakal memimpin negara ini dan rakyatnya, jalankanlah amanah dengan sebaik mungkin. Jika benar beriman kepada Allah SWT dan Rasulnya, maka takutlah dengan segala ancaman yang dijanjikan oleh Allah dan rasulnya terhadap pemimpin yang zalim. Kepada para pengundi, pilihlah pemimpin yang takutkan Allah, supaya kita semua tidak tergolong dalam golongan yang membenarkan setiap kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin.