ANJING TUHAN KE ATAS ZIONIS ISRAEL LAKNATULLAH
اللَّهُمَّ سَلِّطْ عَلَيْهِ كَلْبًا مِنْ كِلَابِكَ
“Ya Allah, kuasakan atasnya anjing di antara anjing-anjing-Mu”, Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 10346.
Agak-agaknya adakah kita pernah mendengar akan lafaz ungkapan ini? Ya, benar. Ungkapan ini termasuk dalam lafaz doa yang tertera dalam doa Qunut Nazilah. Ungkapan ini disebut oleh Rasulullah SAW terhadap seorang sosok manusia yang sangat suka menyakiti dirinya.
Siapakah sosok itu? Sosok yang dimaksudkan ialah seorang yang mati dalam keadaan sangat hina dina yakni Uthbah Bin Abu Lahab. Uthbah merupakan sepupu Baginda SAW sendiri iaitu anak kepada bapa saudara Nabi Muhammad SAW yakni Abu Lahab.
Ringkasnya, kita boleh berdoa dengan doa Qunut Nazilah dengan apa sahaja lafaz doanya mengikut situasi yang melanda. Namun perlu diingatkan, doa Qunut Nazilah ini hendaklah diucapkan ketika kita sedang menghadapi suatu musibah atau bencana yang sangat dahsyat seperti situasi kejam kini yang berlaku ke atas penghapusan etnik Palestin di Gaza.
Seperti yang sedia maklum, Rasulullah SAW sering disakiti, dicemuh dan dihina demi membawa umatnya ke jalan kebenaran. Antara gerangan yang sangat membenci Baginda SAW ialah Uthbah bin Abu Lahab. Abu Lahab dan anak lelakinya ini adalah dua sosok yang acap kali mengancam Rasulullah SAW sedangkan Baginda SAW sendiri adalah darah daging mereka.
Pada awalnya, Uthbah ini adalah seorang menantu kepada Nabi Muhammad SAW kerana dia telah bernikah dengan salah seorang puteri Baginda SAW, Ruqaiyyah. Namun, setelah Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwahnya secara terang-terangan, ini membangkitkan kebencian dalam diri dua beranak ini terhadap Nabi SAW sehinggakan Abu Lahab menyuruh anaknya, Uthbah untuk menceraikan isterinya, Ruqaiyyah.
Kebencian Uthbah terhadap Rasulullah SAW ini begitu meluap-luap sehinggakan dinukilkan di dalam Kitab Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 9 bahawa dia dengan angkuh dan bongkaknya mempersendakan serta membantah petikan ayat al-Quran yang telah didengarinya. Apabila sudah terlalu banyak hinaan yang dilakukan Uthbah terhadap Rasulullah SAW, sehinggakan kemuncaknya, Baginda SAW berdoa dengan nada yang sangat keras terhadap Uthbah yang bemaksud: “Ya Allah! Hantarlah seekor anjing daripada banyak anjing ciptaanMu untuk musnahkannya!”
Lambat-laun, doa yang diungkapkan kekasih Allah SWT ini pasti dimakbulkanNya. Uthbah telah dibaham singa walaupun dia dikawal dengan sangat ketat oleh ahli rombongannya sewaktu berada di Syam. Singa itu laju menerkam dan dengan hanya sekali terkaman sahaja, kepala Uthbah dikoyak-koyakkan.
Soalannya, yang didoakan Nabi SAW adalah anjing, namun mengapa yang membaham itu adalah singa? Ia adalah kerana sekadar mewakili semua haiwan buas yang biasanya membaham mangsa seperti anjing yang dilatih untuk memburu mangsa.
Para pembaca sekalian, doa seperti inilah yang patut kita doakan ke atas Zionis Israel Laknatullah. Bangsa bongkak seperti mereka ini sangatlah patut didoakan kehancuran dan kebinasaan ke atas mereka. Lupakah kita, terhadap apa yang terjadi ke atas kaum ‘Ad yang dihancurkan oleh angin ribut yang sangat dahsyat yang menghancurkan mereka semua sehinggakan tidak meninggalkan sedikitpun sisa baki kaum tersebut?
Janji Allah SWT tidak akan pernah silap dan pertolongan Allah SWT ke atas Palestin itu pasti benar. Berdoalah kita agar Allah SWT menghantar bala tenteraNya yang pelbagai yang mungkin terdiri daripada berbagai anjing ganas mahupun seperti bencana alam yang dahsyat yang pernah menimpa ke atas kaum ‘Ad.
Ayuhlah! Jangan putus berdoa. Teruskan bantuan kita kepada Palestin dalam apa jua bentuk sekalipun. Kewangan, makanan, pakaian mahupun bacaan Qunut Nazilah. Yakinlah, Allah SWT sentiasa bersama kita!