APA ADA PADA MUHARRAM?
Muharram seperti yang diketahui adalah bulan pertama dalam Sistem Islam Takwim Hijrah. Pada asasnya, Muharram bererti diharamkan atau dilarang kerana Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah pada bulan tersebut.
Firman Allah SWT, maksudnya, “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Luh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.” Surah al-Taubah (36).
Selain itu, bulan Muharram juga turut dinyatakan di dalam matan Hadis, maksudnya, “Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban,” Riwayat al-Bukhari (184).
Hal ini jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana Allah SWT mengharamkan kita berperang pada bulan-bulan haram. Amalan soleh juga diberikan ganjaran yang besar di dalam bulan-bulan haram ini.
Antara salah satu perkara yang amat digalakkan dilaksanakan dalam bulan Muharram ialah banyakkan berpuasa. “Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram,” Riwayat Abu Daud (2429). Terdapat riwayat lain juga menyokong bahawa betapa afdhalnya jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Muharram. “Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah,” Riwayat al-Tirmizi (741).
Kendatipun kita digalakkan untuk berpuasa pada sepanjang bulan Muharram, tetapi terdapat hadis khusus yang menyatakan bahawa kita sangat digalakkan untuk berpuasa pada Hari Asyura yang jatuhnya pada 10 Muharram. “Berpuasa pada hari ‘Asyura, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya,” Riwayat Ibn Majah (1738).
Akan tetapi pada hari Asyura tersebut, orang-orang yahudi juga berpuasa kerana Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israil daripada musuh mereka. Lalu Nabi SAW memerintahkan umat Islam agar melaksanakan puasa Tasu’a’ yang bermaksud hari yang ke 9 Muharram.
Hal ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. “Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya,” Riwayat Ahmad (2154).
Pernyataan ini disokong dalam sebuah riwayat hadis yang lain pula apabila Rasulullah SAW seakan lebih cenderung untuk lebih memilih berpuasa pada sehari sebelum hari Asyura. “Sekiranya tiba tahun yang akan datang insya-Allah aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram. Maka tidak datang tahun hadapan melainkan Rasulullah telahpun wafat.” (HR Muslim).
Akhir kata, semoga Allah SWT sentiasa memelihara dan membimbing hati kita agar berterusan merindui untuk melaksanakan amal ibadah dan mengimarahkan masjid serta surau pada setiap masa sekaligus mampu merasai kenikmatan manisnya iman dalam beribadah kepadaNya sepanjang kehidupan.