APA BATAS AURAT SAYA SESAMA WANITA NON MUSLIM USTAZ?
BATASAN AURAT WANITA
Secara asasnya, batasan aurat bagi wanita adalah seluruh badannya kecuali muka dan tapak tangan. Terdapat sebuah hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah menegur Asma’ Binti Abu Bakar r.a:
يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا
Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya jika seorang wanita sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (Baginda mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”
(HR Abu Daud, hadis sahih)
Akan tetapi terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan, antaranya adalah
1. AURAT KETIKA SOLAT – WAJIB bagi wanita untuk menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
2. AURAT KETIKA SENDIRIAN – Para ulama menyebutkan WAJIB menutup antara pusat hingga lutut ketika berseorangan di rumah kerana sifat malu terhadap Allah SWT dan para malaikat.
3. AURAT KETIKA BERSAMA MAHRAM DAN WANITA MUSLIM – Antara pusat dan lutut, akan tetapi seseorang wanita TIDAK BOLEH mendedahkan bahagian tubuhnya yang boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya yang lelaki kerana boleh timbul fitnah.
Ini dinyatakan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji iaitu, “Manakala (aurat wanita) di hadapan mahramnya yang lelaki adalah antara pusat dan lutut, iaitu harus baginya mendedahkan badannya (kecuali antara pusat dan lutut) di hadapan mereka dengan syarat aman daripada fitnah, jika sebaliknya (wujud fitnah) maka itu tidak boleh (haram) juga.
AURAT WANITA MUSLIMAH DENGAN WANITA NON-MUSLIM
Para Fuqaha’ berbeza pendapat mengenai hal ini, begitu juga dengan ulama-ulama di dalam mazhab Syafi’e yang mempunyai beberapa pendapat, antaranya:
🔸 PANDANGAN PERTAMA – Majoriti ulama fiqh berpandangan bahawa aurat wanita Muslimah dengan wanita non-muslim adalah seperti aurat wanita dengan lelaki ajnabi iaitu seluruh tubuh badan KECUALI MUKA DAN TAPAK TANGAN
(Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah)
🔸 PANDANGAN KEDUA – Sebahagian ulama mazhab Syafi’e berpandangan bahawa aurat wanita muslimah dengan wanita non-muslim adalah seluruh tubuh KECUALI KEPALA (termasuk leher), TANGAN (hingga siku) DAN KAKI (hingga bawah sedikit daripada lutut).
- Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitami menukilkan dalam karyanya Tuhfah al-Muhtaj: “Pandangan yang lebih sahih adalah HARAM wanita kafir zimmi dan kesemua perempuan kafir walaupun kafir harbi melihat kepada wanita Muslimah, tetapi HARUS untuk melihat dari wanita Muslimah itu apa yang zahir sewaktu bekerja.”
- Imam Al-Qalyubi berkata dalam kitab Hasyiah Qalyubi Wa ‘Umairah: “Tetapi boleh wanita kafir zimmi melihat dari wanita muslimah apa yang zahir ketika bekerja. Inilah yang muktamad.”
- Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori berkata dalam kitab Asna al-Mathalib: “Perkataannya; (anggota yang zahir ketika bekerja) iaitu muka, kepala, tangan hingga siku dan kaki hingga lutut.”
Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili menyatakan:
وَعَوْرَةٌ المُسْلِمَةِ اَمَامَ الكَافِرَةِ: عَوْرَةُ الْمُسْلِمَةِ اَمَامَ الْكَافِرَةِ عِنْدَ الْحَنَابَلَةِ كَاالرَّجُلِ الْمُحْرِمِ: مَا بَيْنَ السُّرَّةِ وَالرُّكْبَةِ. وَقَالَ الْجُمْهُوْرُ: جَمِيْعُ الْبَدَنِ مَا عَدَا مَا ظَهَرَ عِنْدَ الْمِهْنَةِ اَيِ الاَسْغَالِ الْمَنْزِلِيَّةِ
Maksudnya: “Aurat wanita Muslimah di hadapan wanita non-Muslim: Aurat wanita Muslimah menurut mazhab Hanbali adalah seperti aurat di hadapan lelaki mahram, iaitu antara pusat dan lutut.” Sebahagian besar ulama berkata: “Seluruh badan, kecuali bahagian yang nampak saat bekerja atau melakukan kesibukan di rumah.”
(Kitab al-Fiqhu Wa Adillatuhu)
KESIMPULAN:
Majoriti para fuqaha’ berpendapat bahawa aurat wanita Muslimah dengan wanita non-muslim adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan. Manakala menurut pandangan sebahagian ulama mazhab syafie (termasuk sebahagian ulama mutaakhirin mazhab syafie) berpendapat bahawa aurat wanita Muslimah dengan wanita non-muslim adalah selain daripada kepala, tangan dan kaki.
Dalam isu seperti ini, apabila dalam keadaan darurat atau tiada pilihan yang boleh dibuat saat ditempatkan di dalam satu bilik, maka aurat yang boleh ditunjuk adalah aurat yang biasa sahaja iaitu KEPALA, LEHER, LENGAN dan KAKI.
Wallahu a’lam