Muharram: Dari Nabi Musa AS Diselamatkan Sehinggalah Peristiwa Menyayat Hati Saidina Husain R.A
Tahukah kita pada bulan Muharram ini, banyak sejarah Islam yang terlakar. Jom ambil tahu dan hayati kembali sejarah-sejarah penting yang pernah berlaku ini agar kita melalui bulan Muharram ini dengan penuh pemahaman yang benar akan bulan Allah SWT yang mulia ini.
“Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban”, Riwayat al-Bukhari (184).
Menurut Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup di dalam Irsyad Al-Hadith Siri Ke-46: “Bulan Haram Dan Kelebihan Yang Ada Padanya”, menulis bahawa Al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam tafsirnya, yakni Tafsir Ibn Kathir telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amalan soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.
- HARI NABI MUSA AS DISELAMATKAN & FIRAUN DITENGGELAMKAN
Rasulullah SAW tiba ke Kota Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW: Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut”, Riwayat Al-Bukhari (3397).
2. TAUBAT NABI ADAM AS DITERIMA
“Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari ‘Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari ‘Asyura”, Al-Durr Al-Manthur, Dar al-Fikr, 1/146.
3. PEMBUNUHAN MENYAYAT HATI SAIDINA HUSAYN R.A
Al-Husayn semoga Allah meredhainya dan melaknat siapa yang membunuhnya terbunuh pada hari ‘Asyura, tahun 61 hijrah”, Majma’ al-Malik Fahd li Tiba’ah al-Mashaf al-Syarif, 4/505.
Ekoran daripada peristiwa ini, golongan Syiah menjadikan 10 Muharram yakni Hari Asyura ini sebagai tarikh memperingati kematian Saidina Husain RA yang sudah dipenggal kepalanya. Mereka akan melakukan ritual dengan meratapi, memukul dan menyakitkan diri sendiri pada hari tersebut.
Kesimpulannya, Islam adalah Agama yang berlemah lembut dan meraikan segala emosi di dalam diri manusia. Islam juga tidak menghalang umatnya daripada mengingati mana-mana tokoh pemimpin Islam, tetapi janganlah sehingga menyakiti diri kita. Hal ini demikian kerana, kita sebagai Muslim juga dituntut hak untuk menjaga nyawa dan akal yang berada dalam 3 prinsip teratas Maqasid Syariah Islamiah.
Tuntasnya, marilah kita mengikuti garis panduan akhlak Al-Quran dan juga As Sunnah Rasulullah SAW. Gandakanlah segala amalan baik yang mampu dilakukan dalam bulan-bulan mulia yang dijanjikan Allah SWT pahala berlipat kali ganda padanya.