BAIKNYA AKHLAK TANDA HAJI MABRUR
“Haji Mabrur tiada ganjaran baginya melainkan Syurga”, Riwayat al-Bukhari (1773). Setiap para jemaah yang seusainya pulang dari tanah suci Kota Mekah dan Madinah pasti berkeinginan mendapatkan Haji yang Mabrur apabila sekembalinya ke tanah air. Ungkapan ‘Semoga memperoleh haji mabrur’ adalah ungkapan yang sering kali diucapkan kepada para jemaah yang akan berangkat ke tanah suci. Namun, sejauh manakah status Mabrurnya Haji atau Umrah seseorang?
Maka, Haji yang Mabrur itu memerlukan mujahadah yang tinggi agar Haji yang dilakukan tidak dicemari dengan dosa-dosa kecil mahupun dosa-dosa besar. Selain itu, Mabrurnya Haji seseorang itu perlu dilihat apabila seseorang itu sudah berusaha keras melaksanakan kesemua syarat serta rukun wajib, dan sunnah ibadah Haji dengan sesempurna yang mungkin mengikut tertibnya. Selanjutnya, seseorang itu perlulah menjauhi kesemua larangan dan kemaksiatan agar Haji yang dilakukan semampu mungkin persis seperti yang telah dilaksanakan Baginda Rasulullah SAW.
Bagi sesiapa yang ingin menunaikan Umrah atau Haji, marilah kita hayati akan Sabda Rasulullah SAW ini, “Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang fasiq, maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan ibunya (iaitu dalam keadaan suci daripada dosa)”, Riwayat al-Bukhari (1819).
Seperti hasil tulisan Wan Ahmad Naqiuddin di dalam Irsyad Al-Fatwa Khas Haji Dan Korban Siri Ke 71: Adakah Haji Mabrur Menggugurkan Dosa-Dosa Berkaitan Kewajipan Dan Hak Ke Atas Seseorang? menyatakan bahawa Syeikh Nuruddin al-Sindi, menukilkan maksud ‘kembali sepertimana dia dilahirkan ibunya’ di dalam hadis ialah keadaan seseorang itu tanpa sebarang dosa, iaitu diampunkan semua dosa-dosanya termasuk dosa besar, dosa kecil dan dosa yang melibatkan hak-hak terhadap manusia.
Seperti yang tular baru-baru ini apabila terdapatnya seorang Muslimah perempuan yang berjoget tanpa segan silu memikirkan dirinya membawa pakaian seorang Muslimah ditambah pula dirakamkan content tersebut di Kota Suci Madinah yang mana masih ramai umat Islam yang sedang berusaha bersungguh-sungguh mengorbankan harta dan tenaga untuk sampai ke sana. Sedangkan kita yang sudah pun dipanggil menjadi tetamuNya menyia-nyiakan peluang besar tersebut dengan perkara yang lagha dan dimurkai Allah SWT.
Maka, disini penulis ingin menemplak diri penulis sendiri dan juga orang ramai yang berpeluang untuk menunaikan Umrah mahupun Haji di sana. Tidakkah kita malu apabila ingin melakukan sesuatu dosa apabila berada di sana yang sama sekali tidak mempamerkan akhlak seorang Muslim atau Muslimah seperti yang hanya memikirkan ingin membeli-belah, bercakap-cakap hal duniawi sewaktu sedang melakukan tawaf serta saie dan sebagainya.
Akhir kata, bagi mereka yang sekembalinya ke tanah air, berusahalah agar mendapat Haji dan Umrah yang Mabrur dengan sentiasa memperbaiki akhlak ke arah yang lebih Taqarrub kepada Allah SWT dengan berusaha melakukan amal ibadah agar bertambah baik berbanding sebelumnya. Selain itu, mabrurnya Haji dan Umrah seseorang boleh dilihat apabila si dia berusaha meninggalkan apa-apa saja perkara maksiat dan dosa yang pernah dilakukan di dalam hidupnya. Merintihlah dalam berdoa sepertimana kita sentiasa berusaha mengangkat tangan berdoa dengan sangat lama sewaktu Wukuf di Arafah dan di hadapan Kaabah kerana Allah SWT bukanlah hanya berada di Tanah Suci Mekah mahupun Madinah.