BERHIBUR DI HARI RAYA
Saya yakin ramai dalam kalangan kita ini, masih lagi bak kata orang masih dalam “mode” raya. Bahkan, anak-anak pelajar sekolah dan universiti yang mendapat cuti yang panjang sudah pastinya ada diantara mereka yang menggunakan peluang ini untuk beraya menziarahi rakan-rakan, guru-guru, pensyarah-pensyarah. Alhamdulillah, berbahagialah kita semua dengan ruang dan peluang untuk meraikan hari raya Aidil Fitri pada tahun ini, satu nikmat yang tidak semua orang peroleh. Sejak kita lahir, sejak kita kecil, setiap kali hari raya aidilfitri tiba, kita sangat sinonim dengan situasi yang penuh dengan kegembiraan, penuh keceriaan, penuh dengan seribu kemanisan. Dan jika kita lihat sekeliling kita ataupun di televison, radio, media sosial dan sebagainya, banyak hiburan yang dijelmakan dalam kita meraikan hari mulia ini.
Namun, persoalannya yang perlu kita timbulkan, adakah Islam membenarkan atau Islam melarang umatnya untuk berhibur pada hari raya ini. Jawapannya sudah pasti Islam tidak melarang umatnya daripada berhibur sewaktu meraikan hari raya aidil fitri. Bahkan, Di sudut hiburan, ruang yang luas Islam berikan untuk insan, Muslim bergembira, tapi syaratnya jangan menyanggahi syariat atau berlebih-lebihan. Islam ini satu agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, bahkan hiburan inilah yang sedikit sebanyak membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu berhibur, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya. Hari raya adalah hari gembira. Namun, mestilah hiburan yang berada dalam lingkungan yang dibenarkan syarak.
Lihatlah nak menunjukan bagaimana Islam membenarkan umatnya berhibur sewaktu meraikan Hari raya Aidilfitri dapat kita lihat dalam sebuah hadis daripada Aisyah Radiallahu anha yang bermaksud “ Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah Aisyah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi SAW bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebagai kesimpulan, Hari raya di dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan. Mudah-mudahan kita sentiasa dibawah rahmat dan reda Allah SWT.