Berlari Pulang Mengejar KeampunanNya
Sebagai seorang Muslim yang tidak sempurna dan masih bertatih dalam mencapai redha-Nya, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Malahan,seringkali kita terlepas pandang dan melakukan dosa kecil dan besar secara sengaja atau tidak sengaja. Sekiranya seorang Muslim melakukan sesuatu maksiat dan dosa,maka sudah tentu dia bertaubat dan menyesal akan perbuatan dosanya itu.
Seperti yang kita maklum salah satu nama dari 99 nama Allah yang mulia adalah at-Tawwab iaitu Maha Penerima Taubat. Nama dan sifat ini menunjukkan bahwa Allah itu Maha Pemaaf, Maha Penyayang, dan Maha Pengampun kepada hamba-hambaNya yang insaf, mengakui dan menyedari kesalahan dan dosanya, dengan kembali ke jalan yang benar.
MAKSUD TAUBAT
Taubat dari segi bahasa bermaksud kembali.
Taubat daripada istilah bermaksud kembali daripada maksiat, sedangkan taubat daripada Allah SWT kembali ke atas-Nya dengan rahmat.
Imam al-Ghazali mengatakan taubat pada istilah sebagaimana dinukilkan beliau di dalam kitab Minhaj al-Abidin iaiah pembersihan dan penyucian hati daripada dosa.
Imam al-Ghazali mengambil definisi taubat yang ketiga daripada gurunya Abu Bakar al-Turtusi dengan: Meninggalkan pilihan dosa seumpamanya dahulu daripadanya kedudukan (manzilah) bukan gambaran (surah) kerana membesarkan Allah SWT dan waspada daripada kemurkaan-Nya.
Ya, sememangnya Allah Maha Pengampun namun itu bukanlah sebab untuk kita sengaja berulangkali melakukan dosa dengan sesuka hati. Ianya seperti bermain-main hukum Allah dan yang merisaukan, ialah kita bakal dilaknat oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَٰئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ ۚ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
(Al-Baqarah: 160)
Maksudnya: “Kecuali mereka yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan) maka mereka itulah yang Aku terima taubatnya dan Aku-lah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Selain itu, taubat hamba juga harus dilakukan dengan segera, tidak menunda-nunda dan menangguhkan niat untuk bertaubat ini. Hal ini kerana Allah tidak akan menerima taubat orang yang sudah terlambat, yang mana ketika nyawanya sudah sampai di kerongkong.
10 GARIS PANDUAN BOLEH DILAKUKAN UNTUK DIAMPUNI DOSA
- Lidahnya sentiasa beristighfar.
- Hatinya menyesali dosa yang dilakukan.
- Meninggalkan segala perbuatan dosa.
- Berazam tidak akan mengulangi perbuatan dosa.
- Mencintai dan mengutamakan akhirat.
- Tidak cinta pada dunia.
- Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan beribadah.
- Berkata-kata hanya yang perlu sahaja.
- Makan mengikut keperluannya.
- Sedikit tidurnya.
Marilah kita bersama-sama bertekad dan menanam kesungguhan untuk bertaubat. Ia tidak memerlukan modal yang banyak, hanya berbekalkan tekad dan azam yang kuat serta dapat menahan diri daripada sebarang godaan syaitan. Saya akhiri dengan kata-kata Ibn Abbas R.Anhuma:
التَوْبَةُ النصوحُ الندمُ بالقَلْبِ، والاسْتِغْفَارُ بِالِسَانِ، والاقلاعُ بالبَدْنِ، والإِضْمَارُ عَلَى ألا يعودَ
Maksudnya: “Taubat Nasuha ialah sesal dengan hati, istighfar dengan lidah, buang perlakuan maksiat dengan tubuh badan dan berazam tidak kembali semula.”
Wallahua’lam.
Tag:AsmaulHusna, jomshare, Taubat, ustazustazahcom