BERSYUKURLAH, REZEKI ALLAH SUDAH TETAPKAN
Sesungguhnya tidak ada makhluk apa pun juga yang melata di atas muka bumi ini melainkan rezekinya sudah dijamin oleh Allah SWT. Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja manusia, bahkan setiap makhluk lain seperti haiwan juga telah dijamin rezekinya oleh Allah SWT. Ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Hud, ayat 6:
وَمَا مِن دَآبَّةٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزۡقُهَا وَيَعۡلَمُ مُسۡتَقَرَّهَا وَمُسۡتَوۡدَعَهَاۚ كُلّٞ فِي كِتَٰبٖ مُّبِينٖ ٦
Maksudnya: Dan tidak ada sesuatu pun makhluk yang bergerak (bernyawa) di muka bumi melainkan semuanya dijamin rezeki oleh Allah. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lohmahfuz).
Dan rezeki yang telah dijamin itu sudah ditentukan, seumpama sesuap nasi itu jikalau belum sampai rezeki, belum tentu sampai ke mulutnya. Jikalau sesuap nasi itu adalah rezeki baginya, pasti akan sampai ke mulutnya dan ditelan. Apatah lagi rezeki-rezeki yang lain.
Oleh itu, haruslah bagi mereka yang beriman memahami bahawa menyangka rezeki yang tidak akan cukup untuk dirinya adalah sesuatu sangkaan yang salah.
Orang yang tidak pernah merasa cukup dan tamak dengan dunia pasti tidak akan didapati kehendaknya melainkan apa yang sudah didapatinya sekarang. Apa lagi yang dicari? Apa lagi yang diharapkan? Tidak akan mencapai kebahagian dihatinya melainkan daripada apa yang didapati lalu diucapkan “Alhamdulillah”. Dan bukannya daripada apa yang didapati lalu diucapkan, “Tidak cukuplah ini”
Telah berkata Imam Abdullah Al-Haddad, “Yang Allah SWT telah tentukan untuk orang lain tidak akan sampai kepada kamu. Yang sudah ditentukan oleh Allah SWT untuk kamu pasti akan sampai kepada kamu”. Maka fahamilah bahawa apa yang kamu cita-citakan itu sejauh mana yang akan berlaku tetap sepertimana apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.
Begitu juga dengan ketentuan rezeki oleh Allah SWT itu, termasuklah bilangannya. Berapa yang kita dapat itulah bahagian daripada ketentuan rezeki untuk kita, sama ada ia kurang ataupun banyak menurut kita.
Maka setiap orang yang beriman akan faham, bilamana didapati rezeki walaupun zahirnya tidak cukup, tetapi mestilah mempunyai sifat menerima dan bersyukur. Itulah kadar rezeki yang telah ditentukan Allah SWT buatnya, dan akan terus berikhtiar untuk menjemput rezeki Allah SWT.
Dan jauh sekali untuk orang yang beriman mengatakan, “Rezeki seperti ini tidak sepatutnya saya dapat,” sebagai maksud tidak menerima ketentuan rezeki buatnya. Ini antara tanda orang itu tidak punyai sifat mulia Al-Qanaah.
Apakah itu al-Qanaah? Qanaah itu ialah merasa cukup dengan pemberian Allah SWT, dan tidak merasa iri hati dengan apa yang dimiliki oleh orang lain.
Selain itu, orang-orang beriman itu mestilah bertawakal kepada Allah SWT. Apakah itu erti tawakal? Tawakal itu adalah meninggalkan kebergantungan kepada sebab lalu meletakkan kebergantungan semata-mata kepada Allah SWT.
Harus difahami bahawa ini bukanlah bererti meninggalkan sebab tetapi meninggalkan kebergantungan kepada sebab. Seperti jikalau kita sakit, lalu tidak berikhtiar mencari ubat dan sekadar bersahaja menanti kesembuhan daripada Allah SWT, ini adalah salah.
Allah SWT memberi ilmu perubatan kepada para doktor, untuk mengubati orang-orang yang sakit. Yang setelah itu, Allah SWT jualah yang menyembuhkannya.
Begitu juga orang yang sengaja tidak ingin bekerja dan hanya duduk di rumah, lalu berhujahkan Allah SWT mesti memberi rezeki. Jikalau berjumpa dengan orang seperti ini, cuba beri tahu kepadanya supaya jikalau lapar dan haus, janganlah makan dan minum. Kerana bukankah dia menyangka bahawa kenyang itu akan datang kepada perutnya. Lalu mesti dijawabnya makan dan minum itu lain. Ini juga adalah pemikiran yang songsang.
Firman Allah SWT dalam surah at-Talaq, ayat 3:
وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا ٣
Maksudnya: Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah SWT akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah SWT melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah SWT telah menetapkan ketentuan bagi setiap sesuatu.
Sukalah diulangi bahawa tawakal itu bukan meninggalkan sebab tetapi meninggalkan kebergantungan kepada sebab. Ertinya, sebab itu mesti diambil tetapi tidak meyakini manfaat itu diberikan oleh sebab.
Kata Baginda Rasulullah SAW, maksudnya, “Jikalau kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, Allah SWT pasti akan memberi rezeki kepada kamu seperti mana Allah SWT memberi rezeki kepada burung.”
Seperti burung yang keluar, ketika pagi harinya lapar dan pulang pada petang hari dalam kekenyangan, bahkan dapat memberikan makanan kepada anaknya pula. Itu burung tidaklah punyai kedudukan dan pangkat, tidak punyai apa-apa sijil, namun tetap boleh makan.
Kesimpulannya, ingatlah bahawa Allah SWT yang memberi rezeki. Bukannya kerja kamu yang memberi rezeki. Bahkan, kerja kamu ataupun sesiapa sahaja hanyalah wasilah pemberian rezeki daripada Allah SWT kepada kamu.
Orang hari ini dikurniakan oleh Allah akal fikiran dan iman, namun fikirannya tetap rasa takut kepada kemiskinan pada masa hadapan, lebih daripada rasa bergantungnya kepada Allah SWT yang menjamin rezeki buatnya.