BERUSAHA DAN BERTAWAKALLAH
Penulis artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menukilkan dalam Tashih Al-Mafahim #16: Bolehkah Bertawakkal Tanpa Berusaha, tawakkal ialah menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkan kepadanya kerana disebabkan kepercayaan penuh kepada yang diserahkan atau ketidakmampuan menanganinya sendiri.
Ibnu Rajab juga meriwayatkan di dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1266, menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah sandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih kepentingan dan menolak sebarang kemudaratan berhubung urusan dunia dan akhirat.
Umum mengetahui bahawa manusia diciptakan dengan penuh kelemahan dan keterbatasan kerana yang memiliki kekuatan tanpa batas hanyalah Allah S.W.T sahaja. Maka wasilah terbaik untuk keluar daripada kelemahan diri ialah dengan menyerahkan segala hal dan kegusaran kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Sepertimana firman Allah SWT, maksudnya: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah SWT, maka Allah SWT cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)”, Surah al-Talaq, 3. Yakinlah, jika seseorang benar-benar bertawakkal kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan memberikan jalan keluar kepadanya daripada jalan yang tidak disangka-sangka.
Tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap yang menjurus untuk menggalakkan seseorang agar tidak perlu berusaha sebaik mungkin dan hanya menanti nasib sambil berpangku tangan dan berpeluk tubuh, akan tetapi tawakal itu berusaha sekuat tenaga dengan mencari seribu satu jalan dan setelah itu barulah berserah diri kepada Allah SWT yang akan menentukan hasilnya.
Tawakal yang benar juga hendaklah dilakukan dengan cara yang dihalalkan untuk memperolehi rezeki tersebut. Persis sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah SWT akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang”, Riwayat Ahmad, 1/30.
Hal ini menunjukkan bahawa tawakkal semestinya diiringi dengan usaha yang jitu dan bukannya dengan duduk bersantai-santai enggan melakukan usaha agar membawa kepada hasil rezeki yang diingini. Hal ini dapat dilihat melalui matan Hadis di atas, burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha kerana burung tersebut pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk sentiasa berusaha mencari rezeki yang halal.
Kelebihan Bertawakal Kepada Allah SWT.
Antara kelebihan dan impak jika seseorang menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT setelah berusaha bersungguh-sungguh, pasti Allah SWT akan mencukupkan segala urusan-urusan hambanya. Rasa kehambaan ini akan menjadikan seseorang sentiasa memerlukan Allah SWT di dalam hidupnya. Firman Allah SWT maksudnya: “… maka bertawakallah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”, Al-Imran, 159.
Selain itu juga, dengan bertawakal dapat menghalang daripada hasutan syaitan dan mengusir daripada jiwa seseorang rasa keraguan, was-was, perasaan persimis, percaya kepada angka dan hari-hari tertentu serta pelbagai lagi kepercayaan khurafat yang ada dalam masyarakat kini. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Tiada penularan penyakit, tiada thiyarah, tiada nasib malang pada burung hantu dan tiada musibah pada bulan Safar”, Riwayat al-Bukhari.
Maka, hendaklah kita sebagai umat Islam meyakini segala hal yang terjadi natijahnya hendaklah diserahkan keseluruhannya kepada Allah SWT. Itulah kepercayaan yang menjadi prinsip seorang Muslim melalui Rukun Iman keenam iaitu beriman kepada qada’ dan qadar. Firman Allah SWT, maksudnya, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”, At-Taubah, 51.
Kesimpulannya, marilah kita amati sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud, “Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal”, Riwayat al-Tirmizi, 2157. Janganlah kita bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha yang halal untuk memperoleh rezeki. Namun hendaklah mempunyai tekad, strategi, usaha dan doa serta diakhiri dengan redha atas keputusan Allah SWT. Jika berjaya dan terhasil, disyukurinya. Sebaliknya jika gagal, akan lebih berusaha di samping bersabar menanti natijah yang berjaya.