JALAN KE NERAKA: SIHIR
Jika menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sihir dari sudut bahasa ialah perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus. Ramai dalam kalangan para ulama’ yang mengeluarkan definisi bagi sihir antaranya, Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitab Fathul Haq al-Mubin fi ‘Ilaj al-Sor’ie wa al-Sihr wa al-‘Ain mengatakan bahawa Sihir adalah jampi atau mantera yang memberikan pengaruh samada zahir atau batin seperti membuat orang lain menjadi sakit atau membunuhnya. Ia bertujuan juga untuk memudaratkan emosi, fikiran atau akal manusia. Imam al-Qurtubi pula memberikan definisi bahawa sihir asalnya adalah tangkal atau tali yang berhelah iaitu tukang sihir melakukan sesuatu sehingga ia bertukar menjadi suatu yang bukan hakikatnya. Takrifan tersebut diumpamakan seperti seseorang yang berada di bawah cahaya matahari yang panas terik ketika berjalan akan melihat jauh di hadapannya bayangan air yang bergerak-gerak iaitu fatamorgana.
Sepakat dalam kalangan para ulama menghukum bahawa sihir ini merupakan salah satu dosa besar. Sihir mampu menjerumuskan manusia kepada syirik dan menjadi kufur kepada Allah SWT. Hal ini kerana bilamana seseorang yang mengamalkan sihir atau meminta kepada tukang sihir sama seperti mereka percaya bahawa adanya kuasa lain selain daripada Allah SWT. Mereka percaya adanya kuasa lain yang mampu menandingi Kekuasaan dan Kebesaran Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Jauhilah tujuh (dosa) yang membinasakan!” Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai, Rasulullah, apakah itu?” Baginda SAW menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan haq, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari daripada peperangan, menuduh zina terhadap wanita-wanita yang menjaga kehormatan, beriman dan yang bersih.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Para Ulama telah menghukum mereka yang melakukan sihir kepada dua iaitu pertama jatuh kufur yang mewajibkan hukuman bunuh. Kedua, Mereka dihukum fasiq namun tetapi dihukum pancung. Mereka tidak dianggap keluar daripada Islam selagi mana mereka tidak mendakwa bahawa mereka mampu dan mempunyai kudrat untuk menukarkan ciptaan Allah SWT.
AMALAN SIHIR DALAM MASYARAKAT MELAYU
Berdasarkan pernyataan Penasihat Umum Pertubuhan Akademi Rawatan Islam Syifa’ Sunnah (ARISS), Mubi Mat Hussain kepada harian metro, beliau berkata amalan sihir, santau dan yang bercanggah dengan ajaran Islam masih banyak diamalkan di Malaysia. Bahkan setiap kali apabila beliau mengadakan siri jelajah untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia berkenaan sihir di masjid-masjid di Malaysia, pasti ada yang akan terkena gangguan ujar beliau. Beliau berkata lagi, masih ramai juga yang menggunakan khidmat golongan USKUN (Ustaz Dukun) bilamana ingin berubat. USKUN ini golongan yang kelihatan seperti ustaz-ustaz namun mempunyai kaedah atau ritual yang tidak berlandaskan agama apabila ingin membantu pesakit.
Banyak jenis amalan-amalan sihir yang wujud sekian lamanya dalam masyarakat Melayu. Sebagai contoh, sihir pengasih atau penunduk untuk menundukkan suami atau isteri atau sesiapa yang diminatinya, sihir pelaris untuk memajukan perniagaan, santau yakni sihir untuk memudaratkan seseorang yang tidak disukai oleh pelakunya, sihir penutup rezeki yang digunakan untuk menjatuhkan perniaagaan orang lain. Kesemua ini jelas menjerumus manusia kepada lembah kekufuran kepada Allah SWT. Mereka seakan-akan percaya bahawa ada kuasa lain mampu menandingi kuasa Allah SWT. Mereka juga seakan percaya bahawa mereka mampu menentukan rezeki mereka sendiri dengan bantuan selain dari Allah SWT. Bahkan lebih teruk apabila sampai tahap dimana mereka percaya kuasa-kuasa sihir ini mampu menandingi kuasa Allah SWT dan mampu memberikan apa sahaja yang mereka inginkan.
Sebagai kesimpulan, kecenderungan seseorang untuk jatuh kufur itu sangat tinggi apabila mereka mengamalakan sihir atau minta bantuan kepada pengamal sihir. Sedarlah bahawa mereka yang kufur kepada Allah SWT tiada tempat dan bahagiannya di syurga Allah di akhirat kelak.